Buletin

WRC2 – STRATEGI GUS GREENSMITH BERHASIL UNTUK MENANG DI SAFARI RALLY KENYA

Pemandu Gus Greensmith berjaya mengungguli saingan bagi kelas WRC2 FIA World Rally Championship (WRC) di Safari Rally Kenya sekali gus merupakan permulaan yang sempurna buat beliau bagi musim ini dengan mencatat kelebihan 1 minit 23.1 saat bersama jentera Skoda Fabia RS Rally2.

Pemandu Britain tersebut berjaya memulakan aksi pada hari Jumaat dengan yakin bagi mendahului saingan dengan kelebihan lebih daripada 3 minit daripada saingan utama Oliver Solberg yang mengalami masalah tayar pancit.

Kemenangan Gus Greensmith itu dilihat merupakan suatu permulaan yang baik dan sempurna memandangkan beliau baharu sahaja memulakan aksi dalam saingan WRC2 musim ini setelah memilih untuk tidak beraksi dalam dua perlumbaan awal bagi mengutip mata.

Sungguh pun begitu, pemandu rali dari Sweden Oliver Solberg berjaya bangkit untuk cuba mengejar Gus Greensmith yang turut memandu jentera yang sama apabila berjaya memenangi 11 SS daripada 19 SS yang berlangsung. Namun jurang masa yang dihadapi terlalu besar dan Oliver Solberg akur untuk berpuas hati menduduki podium kedua bagi kelas WRC2 dan ketujuh keseluruhan perlumbaan di Safari Rally Kenya.

Menariknya, Oliver Solberg turut berjaya mencatatkan masa terpantas di Wolf Power Stage,sekali gus menjarakkan pungutan mata keseluruhan dalam kelas WRC2 dan juga pungutan mata untuk FORUM8 WRC2 Most Stage Wins Award.

Oliver Solberg berjaya meninggalkan seorang lagi pemandu yang turut memandu jentera Skoda Fabia RS Rally2, Kajetan Kajetanowicz dengan kelebihan masa tujuh minit lebih. Dengan keputusan ini, Oliver Solberg dilihat selesa untuk mendahului pungutan mata dengan kelebihan 18 mata di hadapan Yohan Rossel yang memutuskan untuk tidak beraksi di bumi Afrika kali ini.

Tempat keempat dan kelima keseluruhan menjadi milik Nicolas Ciamin dan Charles Munster yang mana mereka membuat penampilan pertama berlumba di Safari Rally Kenya dengan keduanya turut memandu jentera Hyundai i20 N Rally2.

Perlumbaan berikutnya di Croatia pasti lebih menarik apabila Yohan Rossel akan kembali beraksi untuk mengutip mata penting bersama beberapa nama seperti Nikolay Gryazin dan juga Nicolas Ciamin. Sami Pajari dan Gus Greensmith juga akan beraksi namun keduanya memutuskan untuk tidak mengutip mata di Croatia nanti.

BACA : WRC2 2024 – OLIVER SOLBERG HEBAT DI BUMI SENDIRI. SYABAS ANAK MUDA!

BACA : WRC2 2024 – YOHAN ROSSEL BANGKIT UNTUK MENANG DI MONTE CARLO

Google ads

B K

Back to top button