
XPENG X9 – MOBILITI MASA DEPAN DARI STAR TREK
Dalam dunia MPV mewah, formula rekaan luar berkotak kotak yang diguna sebenarnya sudah lama membeku dalam garis masa. Toyota Alphard, Toyota Vellfire, dan Toyota Estima serta kebanyakan MPV konvensional akan menggunakan kad yang sama.
MPV besar berkotak, kusyen empuk, dan kemasan krom yang menjerit “aku kaya tapi low-profile”.
Memasuk era MPV berkuasa bateri, corak rekaan tersebut masih diteruskan. Mungkin kerana itulah yang diimpikan oleh bakal pembeli. Sebagai contoh Denza D9 jelas ambil inspirasi Alphard, Zeekr 009 pula cuba untuk menjadi Rolls-Royce versi MPV.
Tetapi Xpeng X9 datang dengan pendekatan yang berbeza seperti MPV khusus untuk kapten kapal angkasa Star Trek yang tersalah park di parkir pusat beli-belah. Garang, futuristik, dan bila dipandu ia memberi vibe MPV dari filem Back to the Future.


Dari segi rekaan luaran, Xpeng X9 memang datang dengan citarasa berani. Ia lari terus dari bentuk bulat dan konservatif yang ada pada Estima atau kotak mewah seperti Vellfire. Garisan badan direja dengan tajam, lampu depan nipis dan nampak lebih rendah bagi sebuah MPV membuatkannya nampak lebih seperti kenderaan konsep yang terus masuk kilang produksi.
Wajah depan nampak Xpeng X9 kelihatan agresif, berteknologi tinggi dan garang. Ini jenis rekaan yang sama ada orang terus jatuh cinta, atau langsung tak boleh terima dan mungkin hanya boleh diterima oleh satu spektrum pembeli sahaja.
Dengan panjang mencecah 5,293 mm, lebar 1,988 mm dan jarak roda 3,160 mm, X9 sebenarnya lebih besar daripada Alphard dan Vellfire. Wheelbase ini setara dengan Zeekr 009 dan Denza D9, menjadikan ruang kabin bukan isu langsung.
Profil sisi Xpeng X9 pula mengingatkan kita kepada Tesla Cybertruck yang tajam, bersegi dan industrial. Bahagian belakang nampak kemas dan moden, dengan tulisan XPENG bercahaya yang bagi sentuhan premium futuristik.


Masuk ke dalam, suasana terus berubah ke arah executive lounge. Material lembut digunakan dengan meluas bagi memenuhi ciri rekaan minimalis kabin, dan hampir tiada butang fizikal yang wujud melainkan di roda stering.
Bahasa rekaan ini menggambarkan Xpeng X9 jelas dibina untuk era digital tapi memerlukan sedikit masa untuk anda belajar menggunakannya. Skrin multimedia sebesar 17.3 inci menjadi pusat kawalan utama, dipadankan dengan meter digital 10.25 inci untuk paparan pemandu.
Skrin besar tadi disambung dengan sistem bunyi yang premium. Ia terdiri daripada 23 pembesar suara dengan kuasa 2,180 watt melalui Xopera Audio System. Untuk operasi sistem multimedia yang lancar, ia dikuasakan oleh cip Qualcomm Snapdragon 8295.


Namun, falsafah less button ini ada kelebihan dan kekurangan. Banyak fungsi asas seperti cermin sisi, penghawa dingin dan tetapan kenderaan perlu dibuat melalui sentuhan dalam menu yang tertanama di dalam skrin.
Steering pula hanya ada 2 butang utama, jadi semuanya bergantung pada sistem. Jika ia tidak digunakan, ia boleh menjadi butang penyaman udara. Atau jika ciri XPilot digunakan, ia melaraskan jarak antara kenderaan. Walaupun bentangan papan pemuka nampak moden dan kemas, tapi bukan jenis yang intuitif untuk semua orang.
Sama seperti kebanyakan MPV mewah lain, keistimewaan X9 adalah pada kusyen barisan kedua yang menempatkan dua kerusi kapten dengan mod zero-gravity, fungsi mengurut, ciri pengudaraan, dan juga unit storan sejuk menjadikannya hampir setara kelas pengalaman menaiki pesawat kelas pertama.


Skrin 21.4 inci pula akan disimpan di atas bumbung dan terbuka secara automatik, ciri pengecas telefon tanpa wayar disediakan pada bahagian perehat, poin USB-C, dan ciri meja lipat menjadikan X9 serba lengkap untuk eksekutif yang berehat, bekerja dan bermesyuarat di atas jalan.
Ruang barisan ketiga pula masih praktikal dan luas. Untuk keluar masuk juga mudah dengan ciri butang “one touch exit” bagi memberikan ruang untuk akses penumpang. Malah ciri pengecasan USB-C serta corong penyaman udara turut ditawarkan dengan ciri menyandar yang dikuasakan oleh motor elektrik.
Ruang kargo menawarkan kapasiti sebesar 755 liter dan boleh digandakan menjadi 2,554 liter apabila kusyen dilipat walaupun MPV ini menggunakan suspensi “air sus” dan penyerap hentakan boleh laras.


Dari sudut teknikal, XPENG X9 dibina atas platform SEPA 2.0 dengan sistem elektrik 800V. Suspensi depan menggunakan double wishbone manakal roda belakang menggunakan rekaan multilink. Semua sistem ini digabungkan dengan suspensi udara dan pelarasan ketinggian lima peringkat.
Damping atau penyerap hentak boleh ditukar antara soft, normal dan sport. Untuk sistem bantuan pemandu, X9 menggunakan cip pemprosesan khusus NVIDIA DRIVE Orin-X dengan kuasa pengiraan 254 TOPS, disokong 3 radar mm-wave, 12 sensor ultrasonik dan 12 kamera. Ia ibarat anda memandu komputer yang canggih
bagi varian yang kami pandu uji, unit ini menggunakan bateri LFP berkapasiti 85.5 kWh, memberikan jarak sehingga 510 km WLTP. Pengecasan pantas dengan sistem DCFC yang boleh menerima sehingga 283 kW membenarkan pengecasan bateri dibuat dari 10–80% dalam masa 20 minit sahaja. Pengecasan menggunakan sistem AC 11 kW pula ambil lebih kurang 9.5 jam untuk 5–100%.


Dari segi pemanduan, semua varian X9 menggunakan konfigurasi pacuan roda depan dengan motor elektrik menghasilkan 315 hp dan 450 Nm. Walaupun nampak macam berkuasa, tetapi berat 2,640 kg MPV ini memang besar.
Tetapi ia masih lagi menghasilkan pecutan 0–100 km/j sekitar 7.7 saat, masih munasabah untuk MPV sebesar ini. Kelajuan maksimum pula dihadkan pada 200 km/j. Kecekapan tenaga pula agak mengagumkan untuk saiznya. Ia boleh menjadi serendah 15.9 kWh/100 km di bandar dan sekitar 18.7 kWh/100 km secara purata pada kelajuan 110 km/j.
Salah satu aspek yang membantu kecekapan tenaga ialah pekali seretan udara 0.236 banyak membantu jarak pemanduan. Empat mod pemanduan ditawarkan oleh Xpeng X9 iaitu Eco, Normal, Sport dan Individual.

Tetapi penulis suka mengetengahkan kelebihan platform SEPA 2.0 yang menggunakan penyerap dual-chamber serta sistem air suspension yang membolehkan kekerasan dilaras dari very soft hingga sport. Suspensi udara membolehkan ketinggian Xpeng X9 naik sehingga +40 mm atau turun sehingga -40 mm.
Sistem ini membolehkan pemandu menukar fokus pemanduan sama ada kepada keselesaan atau kestabilan. Pada kebanyakan masa penulis merendahkan Xpeng X9 pada tahap maksimum dan penyerap hentak ditala pada kekerasan maksimum.
Brek regeneratif pula ditawarkan pada tiga tahap dan seperti biasa penulis akan meletakkan brek regeneratif pada tahap minum. Ujian membrek dari kelajuan 80–0 km/j di jalan basah mencatat sekitar 40 meter, satu angka yang agak meyakinkan untuk sebuah MPV berat.

Stereng pula ditawarkan dalam mod soft, normal dan sport. Rasanya tidak terlalu ringan, masih ada berat yang wajar untuk sebuah MPV yang akan sentiasa dipandu di kawasan bandar. Dipadankan dengan tayar Michelin e-Primacy EV, tahap kesenyapan dan cengkaman memang sesuai untuk kegunaan harian.
Dalam bandar, X9 terasa sangat natural untuk pemanduan yang melibatkan kesesakan, malah sesuai digunakan sebagai kenderaan e-hailing premium dan ini adalah perkara biasa di China. Di lebuh raya, sistem Xpilot 2.5 menawarkan ciri ACC, Lane Centering Control dan Adaptive Turning Cruise, walaupun tiada fungsi auto lane change.
Dari sudut keselamatan, XPENG X9 belum diuji Euro NCAP, tetapi memperoleh penarafan 5 bintang C-NCAP dengan skor 86.8%. Bukan sempurna, tapi cukup untuk memberi keyakinan kepada kebanyakan pembeli dan dijadikan rujukan

Kesimpulannya, pasaran MPV mewah kini sedang beralih arah. Dominasi Jepun melalui Alphard, Vellfire dan Estima kini dicabar oleh Denza D9, Zeekr 009 dan XPENG X9. Denza memilih jalan selamat meniru Alphard, Zeekr pula main gaya Rolls-Royce.
XPeng X9 ambil laluan paling berani dengan rekaan yang futuristik, unik, dan terasa segar. Ia mungkin bukan untuk semua orang, tapi bagi mereka yang sudah bosan dengan Alphard yang memenuhi jalanraya, X9 adalah jawapan paling radikal dan menarik di pasaran sekarang. Tambahan pula, dengan harga sekitar RM280,708, ia jadi satu pakej yang sukar untuk diabaikan



