
LAGI MURAH RM29K, MAZDA 3 LIFTBACK 1.5 PADAT CIRI MEWAH
Apabila Mazda 3 Liftback pertama kali diperkenalkan di Malaysia pada 2019, ia dijual pada harga sekitar RM139,620 sebelum ia naik kepada harga RM 149,320. Ia merupakan satu harga yang sangat sukar untuk ditelan waima kepada peminat Mazda sekalipun.
Namun pada hari ini Mazda kembali menawarkan kembali model Mazda 3 1.5 Liftback dengan harga yang sangat kompettitif iaitu sekitar RM119,900 iaitu hampir RM29,420 lebih rendah berbanding model terdahulu.
Apa yang menjadikan tawaran ini lebih menarik ialah penurunan harga tersebut tidak datang bersama pengurangan kelengkapan yang ketara. Sebaliknya, Mazda 3 1.5 generasi terkini ini sebenarnya menawarkan lebih banyak peralatan dan teknologi berbanding apa yang pernah diberikan pada model 1.5 sebelum ini.

Perkara pertama yang menarik perhatian sebaik sahaja melihat kereta ini ialah rekaan luar yang lebih sporti. Walaupun merupakan varian paling mampu milik dalam keluarga Mazda 3 yang turut merangkumi versi 2.0 dan 2.0 Ignite Edition, sukar untuk mengatakan bahawa 1.5 Liftback ini kelihatan seperti model asas.
Mazda memberikan rim 18 inci dengan tayar 215/45 R18 lengkap dengan tayar Bridgestone Turanza, menjadikan penampilannya jauh lebih seimbang dengan reka bentuk badan yang agresif. Jika dibandingkan dengan model 1.5 terdahulu yang menggunakan rim 16 inci, rim lama itu kelihatan sedikit kecil dan kurang menyerlah berbanding keseluruhan reka bentuk Mazda 3.
Varian 1.5 ini turut dilengkapi sensor parkir hadapan, Mazda Signature DRL yang lebih premium, sensor hujan, lampu utama lengkap dengan Adaptive Front Lighting System yang mengikut arah stereng serta Automatic High Beam. Lampu hadapan LED pula melengkapkan penampilan yang masih kelihatan premium walaupun kereta ini berada pada kedudukan paling bawah dalam hierarki Mazda 3.


Untuk kemasan ruang kabin perkara yang paling mengejutkan ialah Mazda tidak cuba menjadikan 1.5 ini kelihatan seperti varian murah. Balutan berwarna merah pada tempat duduk, dashboard dan kemasan pintu memberikan suasana yang jauh lebih mahal daripada harga sebenarnya.
Malah beberapa kelengkapan yang biasanya menjadi mangsa pemotongan kos pada varian asas masih dikekalkan, termasuk power seat dengan 2 fungsi memory, paddle shifter, wireless charger dan sistem pendingin hawa dua zon.
Sistem infotainmen juga menerima skrin 10.25 inci, berbanding 8.8 inci pada model terdahulu, selain sokongan wireless Apple CarPlay manakala sistem Android kekal dengan wayar. Di hadapan pemandu pula terdapat gabungan meter digital 7 inci, jarum analog serta head-up display yang memaparkan maklumat penting tanpa memerlukan pemandu mengalihkan pandangan terlalu jauh daripada jalan.

Secara keseluruhannya, apabila duduk di dalam Mazda 3 1.5 ini, sukar untuk merasakan bahawa kita sedang berada dalam sebuah kereta yang berharga sekitar RM120,000 dan bukannya varian yang lebih mahal.
Ruang di bahagian belakang terutama ruang kaki untuk penumpang belakang agak sederhana dan lebih sesuai untuk kegunaan dua orang dewasa berbanding membawa tiga penumpang dalam perjalanan jauh. Mazda menyediakan dua port USB yang diletakkan di bahagian simpanan tengah, dan perehat tangan di belakang untuk penumpang belakang
Ini bukanlah kelemahan yang mengejutkan kerana reka bentuk Mazda 3 sememangnya lebih mengutamakan pengalaman pemanduan dan reka bentuk berbanding ruang kabin maksimum. Namun pada masa sama terdapat 2 poin cagak ISOFIX untuk kerusi bayi.

Dari sudut keselamatan pula, Mazda 3 1.5 ini menunjukkan bahawa Mazda tidak melakukan terlalu banyak kompromi untuk mendapatkan harga yang lebih rendah. Sistem keselamatan yang ditawarkan sangat komprehensif berbanding dengan varian lama yang dijual pada harga RM 149,000 dulu.
Sistem keselamatan yang ditawarkan termasuklah Blind Spot Monitoring, Rear Cross Traffic Alert, kamera undur yang lebih jelas, Lane Keep Assist, Mazda Radar Cruise Control, Lane Departure Warning serta Autonomous Emergency Braking untuk bahagian hadapan dan belakang.
Lane Keep Assist khususnya terasa matang kerana ia bukan sahaja memberikan amaran bunyi apabila kereta mula keluar daripada lorong, tetapi turut memberikan pembetulan pada stereng sekiranya ciri tersebut diaktifkan

Sistem bantuan pemanduan Mazda juga terasa sangat intuitif ketika digunakan. Mazda Radar Cruise Control misalnya mampu memperlahankan kereta apabila berdepan trafik dan kemudian menyambung semula pemanduan apabila keadaan mengizinkan.
Sistem ini tidak terasa terlalu agresif dan lebih penting, ia tidak memberikan perasaan bahawa komputer sedang melawan input pemandu. Untuk sebuah kereta dalam lingkungan harga RM120,000, tahap kematangan sistem bantuan pemanduan ini memang mengagumkan.
Malah paparan Head Up Display turut memainkan peranan dalam aspek keselamatan seperti memaparkan ciri Blind Spot Monitor secara maya dan memaparkan ciri navigasi sekiranya anda menggunakan navigasi dalam aplikasi Android Auto mahupun Apple Car Play

Di sebalik semua kelengkapan tersebut, nadi Mazda 3 1.5 Liftback ini masih merupakan enjin petrol aspirasi semula jadi 1.5 liter yang menghasilkan 118 hp dan 153 Nm. Enjin tersebut dipadankan dengan transmisi automatik enam kelajuan, bukannya CVT.
Angka kuasa ini mungkin tidak kelihatan mengagumkan di atas kertas, tetapi Mazda 3 1.5 bukanlah kereta yang dibina semata-mata untuk mengejar angka prestasi. Ini kerana berbanding dengan varian 2.0, talaan gear untuk model 1.5 direka dengan lebih agresif termasuklah final drive ratio
Mazda3 1.5 menggunakan nisbah gear yang sama asasnya dengan model terdahulu, tetapi sejak awal lagi ia diberikan final drive 4.605 yang jauh lebih agresif berbanding varian 2.0 yang menggunakan 3.850. Jadi walaupun outputnya hanya 118 hp dan 153 Nm, multiplication torque di roda pada gear rendah jauh lebih tinggi daripada yang kita bayangkan apabila hanya melihat angka brochure.

Tetapi ketika dipandu secara santai, karakter enjin ini sebenarnya sangat menyenangkan kerana pada kelajuan sekitar 110 hingga 120 km/j di lebuh raya, putaran enjin masih berada dalam keadaan yang munasabah sekitar 2600 ke 2800 RPM.
Ini membenarkan Mazda 3 1.5 menawarkan penggunaan bahan api yang cekap iaitu sekitar 18 km/l. Angka itu mungkin sedikit lebih rendah berbanding model 1.5 terdahulu dengan rim 16 inci yang boleh menghampiri 21 km/l dalam keadaan tertentu, tetapi ia masih merupakan angka yang baik untuk sebuah kereta dengan tayar 18 inci.
Apa yang menarik tentang penggunaan transmisi enam kelajuan ialah rasa pemanduannya. Mazda tidak menggunakan CVT yang biasanya cuba mengekalkan RPM serendah mungkin ketika cruising. Sebaliknya, enam kelajuan ini memberikan hubungan yang lebih jelas antara pedal minyak, pertukaran gear dan tindak balas enjin.


Pada kelajuan tinggi, RPM mungkin tidak serendah sesetengah kereta dengan transmisi yang mempunyai lebih banyak nisbah gear tetapi sebagai pertukaran, pengalaman memandu terasa lebih mekanikal dan lebih mengujakan terutama dalam mode Sport, gear berada dalam mode Manual dan penukaran gear dibuat dengan paddle shifter.
Untuk pemanduan biasa, 1.5 ini sebenarnya sudah mencukupi. Jika digunakan sebagai kereta harian, seseorang tidak perlu memaksa enjin untuk mendapatkan prestasi yang menyenangkan. Namun, apabila mahukan pemanduan yang lebih agresif, Mazda menyediakan Sport Mode dan paddle shifter yang boleh digunakan untuk mengawal gear secara manual.
Pemandu juga boleh memanfaatkan engine braking dan memilih gear yang sesuai sebelum memasuki selekoh untuk mendapatkan respons yang lebih segera. Sudah tentu kita tidak boleh menipu diri sendiri kerana enjin 1.5 ini bukan enjin yang betul betul berkuasa.


Pecutan sekitar 0 hingga 100 km/j mengambil masa dalam lingkungan 12 hingga 13 saat, manakala kelajuan maksimum sekitar 180-190 km/j. Jadi, sesiapa yang mencari prestasi lurus atau mahu Mazda 3 yang benar-benar pantas perlu melihat kepada varian 2.0. Namun begitu, kekurangan kuasa tidak bermakna 1.5 ini tidak menyeronokkan.
Malah salah satu perkara yang paling saya suka tentang Mazda 3 1.5 ialah karakter enjin dan bunyinya. Ketika enjin bekerja lebih keras, bunyi yang masuk ke dalam kabin memberikan sedikit sensasi sporty. Ketika coasting atau bermain dengan pedal minyak, terdapat karakter bunyi mekanikal yang membuatkan kita sedar bahawa kita sedang memandu sebuah kereta dan bukannya sekadar mengendalikan alat pengangkutan.
Enjin ini mungkin tidak menghasilkan kuasa yang besar, tetapi ia mempunyai jiwa, karekter dan sensasinya yang tersendiri

Itulah sebenarnya kekuatan Mazda 3 1.5 kerana ia bukanlah tentang seberapa pantas ia boleh sampai ke sesuatu tempat, tetapi bagaimana ia membuatkan pemandu berasa puas ketika menuju ke sana. Ia mengingatkan saya kepada konsep sebuah produk seperti MacBook Neo, iaitu menawarkan pengalaman asas yang menjadi identiti jenama pada harga yang lebih mudah dicapai.
Mazda 3 1.5 boleh menjadi pintu masuk seseorang kepada dunia Mazda sebelum mereka menaik taraf kepada model Mazda yang lebih mahal pada masa hadapan. Dari sudut pengendalian, Mazda 3 masih mengekalkan karakter yang tajam dan sporty.
Sistem G-Vectoring Control Plus membantu mengurangkan tork enjin ketika pemandu memberikan input stereng tertentu, selain menggunakan sistem brek untuk membantu menstabilkan badan kereta. Hasilnya ialah kereta terasa lebih kemas ketika memasuki dan keluar dari selekoh.

Walaupun Mazda 3 menggunakan torsion beam di bahagian belakang, perkara tersebut tidak secara automatik menjadikan pengendaliannya buruk. Dalam pemanduan sebenar, kereta masih terasa stabil dan mudah dikawal melainkan anda setiap hari memandu di litar Sepang dan kelemahan torsion beam ini akan terasa
Jika ada satu bahagian yang paling banyak memerlukan kompromi pada model ini ialah keselesaan. Rim 18 inci dengan tayar 215/45 R18 memberikan rupa yang cantik, tetapi kombinasi ini menjadikan ride atau keselesaan agak keras.
Dengan tekanan tayar sekitar 260 kPa, kereta terasa lebih melantun dan kepala penumpang boleh terasa sedikit tersengguk ketika melalui permukaan jalan yang tidak rata. Bunyi bising tayar juga lebih jelas kedengaran dalam kabin.

Tetapi elepas tekanan tayar diturunkan kepada sekitar 230 kPa, perubahan itu dapat dirasakan dengan ketara. Ride menjadi lebih baik, handling terasa lebih natural dan bunyi tayar juga berkurangan. Ini membuatkan saya teringat kepada Mazda 3 1.5 terdahulu dengan rim 16 inci yang pernah dipandu sehingga ke Perlis. Model tersebut memberikan ride yang jauh lebih menyenangkan.
Jika penulis sendiri membeli Mazda 3 1.5 ini, salah satu perkara yang mungkin saya pertimbangkan ialah menukar rim 18 inci kepada 16 inci. Ya, dari segi rupa ia mungkin tidak seagresif rim 18 inci, tetapi rim yang lebih kecil berpotensi memberikan ride yang lebih selesa, NVH yang lebih baik, penggunaan bahan api yang lebih rendah, pickup yang sedikit lebih ringan serta kos penukaran tayar yang lebih rendah.
Dalam erti kata lain, rim 18 inci ialah pilihan yang bagus untuk mata, manakala rim 16 inci mungkin pilihan yang lebih baik untuk kegunaan harian. Satu lagi perkara yang tidak saya jangka ialah prestasi sistem audio standard.

Walaupun Mazda 3 1.5 ini bukan menggunakan sistem audio premium yang mahal, kualiti bunyinya tetap mengagumkan. Ketika menguji dengan soundtrack F1 Theme, sistem audio tersebut mampu memberikan persembahan yang cukup bertenaga dan seimbang. Malah apabila dibandingkan secara subjektif dengan sistem speaker Alpine yang digunakan oleh penulis sistem audio Mazda 3 ini masih mampu memberikan pengalaman yang memuaskan.
Mazda 3 1.5 Liftback 2026 adalah sebuah kereta yang wajar dipertimbangkan kerana ia bukan sekadar versi murah kepada Mazda 3. Dengan harga sekitar RM119,620, pembeli mendapat sebuah kereta yang pada asasnya masih mengekalkan identiti Mazda melalui reka bentuk yang menarik, kabin premium, enjin aspirasi semula jadi, transmisi enam kelajuan, pengendalian yang menyeronokkan dan kelengkapan keselamatan yang lengkap.
Memang benar ia bukan kereta paling laju, bukan kereta paling luas dan keselesaan dengan rim 18 inci menjadikannnya kurang selesa. Tetapi semua kelemahan tersebut perlu dilihat dalam konteks harganya. Berbanding Mazda 3 Liftback 2023 yang berharga sekitar RM149,320, model baharu ini kira-kira RM29,000 lebih murah tetapi pada masa yang sama memberikan lebih banyak kelengkapan.

Daripada membiarkan varian 1.5 sebagai sebuah kereta yang jelas terasa murah, Mazda memberikan hampir keseluruhan pengalaman Mazda 3 kepada pembeli pada harga yang lebih rendah. Ia seperti sebuah pintu masuk kepada jenama tersebut.
Cuba dulu Mazda dengan 1.5 dahulu, rasakan bagaimana Mazda membuat sebuah kereta, dan apabila kemampuan meningkat suatu hari nanti, mungkin pelanggan yang sama akan naik taraf kepada Mazda yang lebih mahal.
Sebab itu, walaupun Mazda 3 1.5 ini bukanlah kereta paling laju atau paling praktikal dalam pasaran namun ia masih ada peminatnya. Jika sebuah MX-5 Miata dua pintu dan dua tempat duduk terlalu tidak praktikal untuk kegunaan harian, Mazda 3 Liftback ini memberikan sesuatu yang hampir sama dari segi falsafah iaitu sebuah kereta yang membuatkan kita mahu memandu, tetapi pada masa sama masih boleh digunakan setiap hari.
Dan mungkin itu sebenarnya perkara paling penting tentang Mazda 3 1.5 ini. Ia tidak cuba menjadi kereta paling hebat di atas kertas. Ia cuma mahu menjadi sebuah kereta yang membuatkan kita seronok apabila memegang stereng.





