Pandu Uji

GWM ORA 5 HEV, SIAPA KATA POWER & JIMAT TAK BOLEH BERGABUNG?

Selepas berpeluang memandu GWM ORA 5 HEV dalam sesi di Thailand, antara perkara yang paling menarik perhatian penulis ialah keupayaan sistem hibrid Hi2 menggabungkan prestasi enjin 1.5 turbo dengan sistem hibrid bagi menawarakan penggunaan bahan api yang rendah.

Program pemanduan hari kedua membawa kami dari kesibukan Bangkok ke Chonburi dan seterusnya ke Pattaya sebelum kembali semula ke Bangkok, dengan keseluruhan laluan yang ditetapkan sekitar 325 km.

Laluan ini bukan sekadar lebuh raya kerana ia turut merangkumi jalan bandar, kesesakan, jalan persisiran pantai, jalan berselekoh dan beberapa laluan yang mempunyai perubahan ketinggian di lebuh raya antara bandar Bangkok ke Chonburi dan Pattaya 

Sepanjang pemanduan, penulis berkongsi kereta dengan 2 lagi media secara bergilir-gilir. Penulis tidak cuba memandu terlalu perlahan semata-mata untuk mengejar angka penggunaan bahan api namun lebih banyak mengikut keadaan trafik Bangkok dan laluan perjalanan, dengan kelajuan sekitar 80, 90, 100 dan sesekali 110 km/j apabila keadaan mengizinkan.

Namun begitu, catatan penggunaan bahan api yang penulis dapat adalah sekitar 4.2 liter/100 km, bersamaan kira-kira 23.8 km/l. Bacaan terendah yang dicatatkan oleh Engear ialah 4.1liter/100km manakala bagi PanduLaju ialah 5 liter/100km

Angka 4.2 liter/100km ini menarik kerana ia lebih rendah daripada angka rasmi GWM iaitu 4.4 liter/100 km. Berdasarkan kapasiti tangki 55 liter, kalau penggunaan 4.2 liter/100 km itu dapat dikekalkan, secara matematik ORA 5 HEV berpotensi mencapai sekitar 1,310 km untuk satu tangki penuh. Ini merupakan kiraan berdasarkan catatan penggunaan sebenar saya, bukannya angka jarak rasmi GWM. 

Sehari sebelum perjalanan jauh itu, kami turut diberikan peluang menguji ORA 5 HEV dalam sesi dynamic drive di DAS HAUS, Bangkok. Sesi ini melibatkan ujian pecutan, slalom dan pertukaran lorong bagi melihat tahap respons, kestabilan serta keupayaan casis ketika menerima input stereng dengan pantas.

Sesi ini direka untuk memberikan gambaran awal terhadap kestabilan, respons dan penghantaran tork sebelum sesi pemanduan jalan raya yang lebih panjang. Namun yang paling mengejutkan penulis ialah keupayaan Ora 5 HEV ini sendiri

Sebagai contoh untuk pecutan, Ora 5 HEV memang terasa pantas. Dengan enjin 1.5-litre turbo yang dipadankan dengan 2-speed DHT, keseluruhan sistem hibrid ini menghasilkan 223 PS dan 476 Nm, yang berupaya menghasilkan pecutan 0-100 km/j dalam masa 7.7 saat

Apa yang saya suka, karakter ORA 5 HEV bukan sekadar mengejar angka prestasi. Ketika dipandu santai, ia masih terasa selesa dan senyap, manakala apabila pedal minyak ditekan, respons motor elektrik memberikan tindak balas yang pantas. 

Kusyen yang empuk juga menjadikan perjalanan jauh lebih menyenangkan, selesa dan mengurangkan rasa penat penulis untuk perjalanan jarak jauh. Sistem audio pula bagi saya cukup sedap untuk menemani perjalanan walaupun ia menggunakan sistem audio OEM dari GWM bukannya jenama yang mahal

Secara keseluruhan, pengalaman Bangkok-Chonburi-Pattaya-Bangkok ini membuatkan penulis melihat ORA 5 HEV sebagai sebuah crossover yang cuba mencari keseimbangan antara kuasa, keselesaan dan kecekapan bahan api.

Dengan 223 PS dan 476 Nm, ia bukan sebuah hybrid yang dibina semata-mata untuk mengejar penggunaan minyak paling rendah, tetapi catatan 4.2 L/100 km atau sekitar 23.8 km/l menunjukkan kecekapan itu memang boleh dicapai dalam pemanduan sebenar, bergantung kepada keadaan trafik dan gaya pemanduan.

Google ads
Back to top button