Advertisements
Pandu Uji

PANDU UJI AWAL MAZDA CX-5 2.5 GENERASI BARU, MENGAGUMKAN

Nama CX-5 mungkin tidak perlu dipenkalkan lagi kepada peminat Mazda, menjadi SUV ikonik dan penanda aras untuk SUV yangf mementingkan pengendalian berbanding dengan jenama lain. Pada awalnya, penulis menjangkakan CX-5 akan berkubur selepas model CX-50 dan CX-60 diperkenalkan

Namun CX-5 generasi baru sepenuhnya dengan platform baru diperkenalkan yang mengekalkan asas pacuan roda depan berbanding dengan CX50 atau CX-60 yang menggunakan pacuan roda depan.

Namun CX-5 bukan datang tanpa kontroversi dari peminat yang kurang menggemari rekaan lampu depan dengan senibina 2 lapis berbanding dengan rekaan lama yang menggunakan bentuk yang lebih tajam

Bagi penulis pula, lekukan pada bucu bampar pula kelihatan agak pelik sedikit, membiaskan cahaya seolah-olah kawasan tersebut kemik dilanggar tenuk. Dalam aspek ini, rekaan CX-60 nampak lebih tampan dan segak

Untuk rekaan sisi, CX-5 model baru menggunakan rim 19 inci hitam metalik berkilat yang memberikan imej sporti dan juga eksklusif. Perumah tayar diberikan warna hitam berkilat yang bersambung dengan skirting di bawaj pintu, seolah olah mengangkat rekaan Kodo terapung di atas udara

Bagi rekaan belakang, penulis merasakan penggunaan bentuk lampu belakang yang baru mirip rekaan BMW menjadikan bahagian belakang lebih tegap dan bersegi berbanding dengan rekaan lama yang lebih bulat.

CX-5 memilih untuk menggunakan perkataan “MAZDA” berbanding dengan logo Mazda di bahagian belajang manakala ciri dual ekzos yang menjadi identiti dikekalkan. Pintu ruang kargo boleh dibuka secara automatik yang menawarkan ruang sebesar 583 liter

Bagi unit trenkuasa pula, jangkaan awal sistem hibrid ringan 2.5 penulis meleset sama sekali. Sebaliknya CX-5 ditawarkan dengan enjin petrol 2500cc yang menjana 185hp dan 257Nm tork, mungkin kedengaran biasa sahaja malah ditala dengan sedikit rendah berbanding dengan model lama yang menjana 192hp

Namun di atas jalan raya, talaan yang lebih rendah ini memberika tork yang lebih gemuk antara 3000-4000 RPM menjadikan CX-5 ini terasa sangat bersahaja. Penulis teringat dulu, CX-5 model lama terasa sedikit malas ketika memotong, manakala model baru ini terasa lebih bersemangat pada 3000 RPM

Untuk ruangan kabin, perubahan pertama yang dilihat oleh penulis ialah penggunaan 2 tona warna beige dan hitam pada papan pemuka dan kemasan pintu manakala kusyen sendiri diberikan warna beige.

Mazda juga telah menggantikan butang rotari dengan memindahkan butang butang operasi ke bahagian stering seperti butang mode pemanduan, unit multimedia dan juga semua butang ADAS. Ruang yang kosong digantikan dengan unit pengecas telefon tanpa wayar serta ruang meletak kunci

Keadaan ini memberikan ruang tambahan kepada CX-5 selain ruang di bawah papan pemuka dan di bawah tempat perehat tangan. Skrin 10.25″ digunakan untuk paparan maklumat pemanduan manakala skrin 12.9″ digunakan untuk menempatkan sistem multimedia dan kawalan utama kenderaan

Butang penyaman udara berada secara kekal di bahagian bawah skrin walaupun anda menggunakan sambungan Andoroid Auto tanpa wayar. Bagi ruang belakang, bukaan pintu yang besar serta tambahan 115mm untuk jarak antara roda memberikan rasa yang cukup lapang

Terdapat 2 poin USB type C, corong penyaman udara, kusyen yang boleh dilaraskan pada 2 kedudukan serta bumbung kaca panaroma yang menjadi dambaan anak muda disediakan di bahagian belakang.

Dari segi prestasi, kuasa yang ditawarkan sudah mencukupi untuk kegunaan harian. Enjin memberikan daya kilas yang kuat dan responsif pada RPM pertengahan, manakala pecutan terasa linear apabila pedal minyak ditekan.

Penyaluran kuasa berlaku secara progresif tanpa terasa terlalu mendadak, menjadikan pemanduan lebih mudah dijangka dan lancar tanpa menyebabkan anda memerlukan ciri paddleshifter. Ia terasa lebih lancar walaupun menggunakan menggunakan unit trenkuasa 2.5 liter yang sama

Sistem brek juga memberikan maklum balas yang baik dengan menawarkan titik gigitan (biting point) yang terasa lebih ke hadapan serta memberikan keyakinan ketika membrek. Responsnya mudah dikawal dan tidak memerlukan tekanan pedal yang terlalu dalam untuk mendapatkan daya membrek yang dikehendaki.

Satu perkara yang menarik ialah karakter deruman bunyi enjin mekanikal yang jelas kedengaran ketika enjin bekerja yang cukup mengasyikkan. Bagi penulis, bunyi tersebut menjadikan pengalaman pemanduan lebih menarik dan tidak terlalu terasing daripada hubungan mekanikal antara enjin dengan pemandu.

Dari segi penggunaan bahan api, CX-5 baharu mencatatkan sekitar 11 hingga 14 km/liter sepanjang sesi pemanduan. Angka ini tentunya bergantung kepada keadaan trafik, kelajuan dan gaya pemanduan, namun ia memberikan gambaran awal mengenai tahap kecekapan rangkaian kuasa yang digunakan.

Aspek pengendalian juga menunjukkan peningkatan, khususnya dari segi keselesaan suspensi. Tetapan suspensi CX-5 baharu terasa lebih optimum berbanding model terdahulu. Ia lebih baik menyerap ketidaksempurnaan permukaan jalan dan memberikan pergerakan badan yang lebih terkawal tanpa mengorbankan keselesaan penumpang.

Penambahbaikan turut dapat dirasai dari segi NVH (Noise, Vibration and Harshness). Kabin CX-5 baharu terasa lebih senyap dan mempunyai penebatan bunyi yang lebih baik berbanding model lama.

Apa yang menarik ialah peningkatan ini dapat dirasakan walaupun menggunakan tayar yang sama. Ini menunjukkan usaha Mazda bukan sekadar tertumpu kepada komponen suspensi, tetapi turut melibatkan penambahbaikan pada aspek penebatan bunyi dan keselesaan keseluruhan kabin.

Ketika mengambil selekoh, CX-5 baharu menunjukkan karakter pengendalian yang tegap dan meyakinkan. Badan kenderaan terasa stabil dengan tindak balas casis yang baik walaupun dipandu dalam keadaan yang agresif.

Tetapi bila pedal minyak ditekan secara berterusan di selekoh dan dikenakan daya lateral yang tinggi, badan kenderaan masih menunjukkan controlled body roll yang membina secara linear. Pada tahap ini, pemandu perlu memberikan sedikit input stereng tambahan ke arah dalam selekoh untuk mengekalkan laluan yang dikehendaki.

Secara keseluruhan CX-5 baharu memberikan keseimbangan yang lebih baik antara keselesaan dan pengendalian. Suspensi yang lebih lembut serta kabin yang lebih senyap menjadikannya lebih mesra untuk kegunaan harian, manakala karakter casis yang tegap memastikan SUV ini masih mempunyai keupayaan untuk memberikan pengalaman pemanduan yang menyeronokkan apabila dipandu di jalan berselekoh.

Mazda CX-5 telah dilancarkan dengan harga RM 171,510 pada bulan Oktober lepas dan anda boleh mencuba sendiri SUV ini di pusat jualan Mazda. Berbeza dengan generasi lama, pembaharuan yang ditawarkan memang jelas terasa dan ia wajar berada dalam pertimbangan anda sekiranya anda sedang mencari SUV baru yang melengkapi hidup anda

Google ads
Back to top button