
PANDU UJI: ONE CHARGE CHALLENGE BYD SEALION 7 PREMIUM. SIAP NAIK GENTING LAGI
Bagi sebuah kenderaan elektrik (EV), jarak perjalanan dan kecekapan penggunaan tenaga antara perkara yang sering menjadi perhatian, khususnya apabila melibatkan perjalanan jauh. Atas sebab itu, cabaran One Charge Challenge yang dianjurkan oleh BYD Malaysia kali ini cukup menarik kerana kami perlu memandu lebih 500km dalam tempoh dua hari satu malam tanpa mengecas bateri walaupun sekali.
Bukan sekadar tidak dibenarkan mengecas, port pengecasan pada BYD Sealion 7 Premium turut dilekatkan dengan pelekat khas sebagai tanda bahawa ia tidak boleh disentuh sepanjang perjalanan. Jadi, segala perancangan laluan dan gaya pemanduan perlu dilakukan dengan mengambil kira baki tenaga yang ada.
Perjalanan bermula dari BYD Ara Damansara dengan SoC bateri pada tahap 99%, manakala jarak pemanduan yang dipaparkan ialah 649km. Dari Kuala Lumpur, kami berdepan kesesakan lalu lintas pada waktu pagi sebelum memasuki Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak.

Laluan berbukit di lebuh raya berkenaan menjadi antara cabaran awal kerana penggunaan tenaga EV biasanya meningkat ketika mendaki. Selepas itu, kami meneruskan perjalanan ke Mentakab dengan menggunakan jalan persekutuan untuk sebahagian laluan.
Apabila tiba di Mentakab untuk makan tengah hari, bacaan SoC menunjukkan 79%, dengan jarak pemanduan berbaki 517km. Dari Mentakab, kami meneruskan perjalanan ke Gambang melalui jalan lama. Pemilihan laluan ini bukan semata-mata untuk menjimatkan penggunaan tenaga, tetapi turut memberi peluang untuk merasai sendiri karekter pemanduan Sealion 7 Premium di jalan yang lebih berliku dan tidak semudah lebuh raya.
Dari aspek pengendalian, Sealion 7 Premium memberikan prestasi yang memuaskan. Sterengnya agak ringan, tetapi tindak balasnya mudah dijangka dan tidak mengambil masa lama untuk membiasakan diri. Untuk sebuah SUV elektrik yang lebih menekankan keselesaan dan kegunaan harian, karakter seperti ini boleh diterima.

Di tempat duduk belakang pula, terdapat sedikit rasa melantun ketika melalui permukaan jalan yang tidak rata. Bagaimanapun, ia masih menunjukkan peningkatan berbanding model terdahulu, hasil talaan suspensi yang telah dilakukan oleh BYD.
Sealion 7 Premium merupakan model RWD yang menghasilkan 308hp dan 380Nm, dengan kuasa dibekalkan oleh bateri Blade LFP berkapasiti 91.39kWh. BYD mendakwa model ini mampu mencapai jarak sehingga 650km mengikut kitaran NEDC.
Selepas lebih sejam memandu dari Mentakab, kami tiba di Mangala Estate Boutique Resort, Gambang. Ketika itu, SoC bateri masih berbaki 62%, manakala jarak pemanduan yang ditunjukkan ialah 404km.
Lebih penting, purata penggunaan tenaga untuk perjalanan hari pertama berada pada sekitar 13.9kWh/100km. Angka ini boleh dikatakan baik memandangkan perjalanan kami turut merangkumi lebuh raya, jalan persekutuan dan jalan lama.

Hari kedua menjadi ujian yang lebih mencabar kerana perjalanan pulang memerlukan kami menggunakan lebuh raya sepenuhnya. Kami cuba mengekalkan kelajuan sekitar 70 hingga 90km/j bagi memastikan penggunaan tenaga tidak meningkat terlalu tinggi.
Namun, penggunaan tenaga tetap meningkat kepada sekitar 14.8kWh/100km. Selepas Tol Bentong, keadaan menjadi lebih mencabar apabila laluan mula mendaki menuju ke Genting Highlands.
Tidak mengejutkan, kadar penggunaan tenaga meningkat dengan ketara sehingga 26.1kWh/100km ketika mendaki ke Ayu Awana, Genting Highlands. Kami tiba di sana dengan SoC 21% dan jarak pemanduan berbaki 138km. Secara teori, jarak tersebut sudah mencukupi untuk membawa kami pulang ke BYD Ara Damansara yang hanya sekitar 62km jauhnya.

Bagaimanapun, kami tetap mengambil pendekatan berhati-hati. Ketika menuruni Genting Highlands, sistem regenerative ditetapkan pada tahap paling tinggi bagi memanfaatkan tenaga yang dapat dikembalikan kepada bateri ketika kenderaan memperlahankan kelajuan.
Hasilnya, SoC meningkat sekitar 2%. Memang bukan jumlah yang besar, tetapi ia sedikit sebanyak membantu meningkatkan margin perjalanan. Akhirnya, kami kembali ke BYD Ara Damansara dengan SoC masih berbaki 19% dan jarak pemanduan sebanyak 120km. Ini bermakna cabaran lebih 500km tersebut berjaya diselesaikan tanpa pengecasan.
Bagi saya, ujian ini menunjukkan bahawa perjalanan jauh menggunakan EV bukanlah sesuatu yang perlu dibimbangkan. Apa yang penting ialah cara kita menguruskan penggunaan tenaga.
Pemanduan yang lebih santai, terutama di lebuh raya, boleh membantu memanjangkan jarak perjalanan. Pada masa sama, pemandu juga perlu memahami bahawa angka jarak yang dipaparkan bukan sesuatu yang tetap. Ia sentiasa berubah mengikut kelajuan, keadaan trafik, bentuk muka bumi dan gaya pemanduan.

Bukan sekadar soal jarak
Selain kemampuan perjalanan jauh, Sealion 7 Premium 2026 turut membawa beberapa peningkatan penting. Antaranya ialah penggunaan seni bina elektrik 800V BYD yang membolehkan pengecasan DC dilakukan pada kadar sehingga 230kW. Menurut BYD, pengecasan daripada 10 hingga 80% hanya mengambil masa sekitar 24 minit.
Dari aspek praktikaliti, model ini mempunyai frunk berkapasiti 58 liter dan ruang kargo belakang sebanyak 500 liter, atau sehingga 1,769 liter apabila tempat duduk belakang dilipat.
Kelengkapan dalam kabin pula merangkumi kluster digital 10.25 inci, skrin tengah 15.6 inci, paparan head-up berasaskan realiti terimbuh bersaiz 50 inci, upholsteri kulit serta sokongan Apple CarPlay dan Android Auto. Turut disediakan ialah pengecasan tanpa wayar 50W dan sistem audio Dynaudio dengan 12 pembesar suara.

Selepas menghabiskan masa dua hari satu malam dan lebih 500km bersama Sealion 7 Premium, saya melihat model ini sebagai sebuah EV yang bukan sahaja menawarkan angka jarak pemanduan yang menarik, tetapi juga cukup praktikal untuk kegunaan harian dan perjalanan jauh.
Cabaran One Charge Challenge membuktikan satu perkara: EV boleh digunakan untuk perjalanan jauh, cuma cara kita memandunya perlu sedikit berbeza.
Untuk harga RM188,800, Sealion 7 Premium sememangnya mempunyai pakej yang agak lengkap. Tinggal persoalannya, adakah anda sanggup menukar cara pemanduan untuk mendapatkan jarak perjalanan yang lebih jauh?













