
JETOUR PAMER SUV SERBA BOLEH G700 DI WUHAN
Dalam pengembaraan baru penulis ke China, Jetour selaku salah satu jenama yang bernaung di bawah entiti Chery telah menayangkan sebuah lagi SUV mewah serba boleh yang dipakejkan dalam kemasan yang cukup mewah serta trenkuasa yang bertenaga.
Jetour G700 ialah SUV off-road mewah dengan teknologi plug-in hybrid (PHEV) yang menggabungkan prestasi melampau, keupayaan lasak sebenar dan kemewahan digital dalam satu pakej. Model ini dilihat mampu mencabar pesaing seperti GWM Tank 500 dan Toyota Land Cruiser, malah menetapkan penanda aras baharu dalam segmen SUV off-road hibrid.
Dari segi prestasi, Jetour G700 menggabungkan enjin 2000cc turbo empat silinder dengan dua motor elektrik untuk menghasilkan kuasa gabungan sehingga 904 PS dan tork 1,135 Nm. Kuasa disalurkan melalui transmisi DHT dua kelajuan ke sistem pacuan semua roda elektrik (e-AWD) dimana terdapat satu motor elektrik dipasang pada gandar depan dan belakang yang membolehkan SUV seberat lebih tiga tan ini memecut dari 0-100 km/j dalam masa 4.6 saat.

Untuk sistem kuasa, Jetour menawarkan dua pilihan bateri CATL, iaitu bateri LFP 34.13 kWh dengan jarak elektrik sehingga 122 km (WLTP), atau bateri ternary lithium 59.45 kWh dengan jarak elektrik sehingga 211 km (WLTP). Jarak gabungan boleh mencecah sehingga 1,400 km (CLTC) dengan tangki bahan api 100 liter, manakala seni bina 800V menyokong pengecasan DC 170 kW yang membolehkan pengecasan 30-80% dalam masa 10 minit sahaja.
Jetour G700 ini juga menawarkan bekalan kuasa luaran V2L sebanyak 6.6 kW untuk peralatan elektrik sekiranya anda berkhemah di kawasan hutan/ Keupayaan off-road Jetour G700 dibina atas casis body-on-frame yang tahan lasak dan dilengkapi tiga kunci differensial iaitu hadapan, belakang dan di bahagian tengah, untuk cengkaman maksimum dalam keadaan melampau.
Apa yang menarik ialah Jetour G700 mampu merentas air sedalam 970 mm, dengan sudut 30 darjah dari arah depan dan sudut pelepasan 25 darjah dari arah belakang. Ia juga dilengkapi suspensi Magnetic Ride Control dan suspensi udara untuk keselesaan dan penyerapan hentakan yang unggul.

Interior G700 menampilkan paparan digital yang terkini, termasuklah skrin “Horizon” 35.4 inci merentasi papan pemuka, skrin infotainmen 15.6 inci dan skrin lipat siling 17.3 inci untuk penumpang belakang. Tempat duduk gaya kapal terbang menawarkan fungsi pemanas, pengudaraan, urutan dan boleh direbahkan sehingga 145 darjah
Suasana dalaman kabin yang mewah juga disokong dengan sistem audio Lexicon sehingga 18 pembesar suara dan kuasa pemprosesan Qualcomm Snapdragon 8255. Di pasaran China, model ini turut menawarkan sistem bantuan pemanduan Huawei Qiankun ADS 5.0 serta kawalan suara empat zon.
Dalam ujian di laluan offroad tertutup di kawasan pergunungan Moganshan, Wuhu Jetour G700 ini berupaya menunjukkan keupayaan yang mengagumkan dengan meredah kawasan offroad. Laluan yang direka oleh pasukan Jetour meggambarkan keadaan offroad di Malaysia dengan laluan berlumpur, mendaki dengan trek licin dan menuruni bukir dengan laluan lecak.

Jetour G700 juga berupaya meredah halangan anak sungai dan juga merentasi tasik sehingga kedalaman 900mm dengan mudah walaupun ketika ujian dijalankan ia hanya dipasang dengan tayar HT biasa sahaja. Tambahan pula penulis bukanlah pemandu offroad hardcore, namun memandu G700 di laluan sebegini memberikan keyakinan kepada penulis
Apa yang anda perlu buat ialah halakan sahaja stering pada arah yang ingin dituju dan tekan pedal minyak secara sekata serta pastikan G700 berada dalam XMode. Mode ini akan memastikan anda akan keluar dari semua halangan yang dilemparkan pada G700 dengan mudah seperti anda menggigit kepingan kentang goreng ketika bosan. Sangat senang.
Dari segi harga, Jetour G700 bermula dari 329,900 Yuan hingga 442,900 Yuan di China, bersamaan kira-kira RM190,000 hingga RM260,000. Untuk pasaran Malaysia, harga dijangka untuk SUV ini berada dalam lingkungan RM250,000 hingga RM300,000 selepas cukai dan duti import, memandangkan model ini telah membuat penampilan sulung di KLIMS 2026 dan dijangka dilancarkan secara rasmi tidak lama lagi.

Secara keseluruhan, Jetour G700 menawarkan gabungan kuasa hibrid lebih 900 PS, keupayaan off-road tiga kunci dan kabin mewah berteknologi tinggi pada harga yang jauh lebih kompetitif.







