Motosikal

YAMAHA YZF-R9 MASUK MALAYSIA TAHUN INI

Baru-baru ini Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) dengan rasminya melanarkan Yamaha Tracer 9 GT generasi terbaru untuk pasaran tempatan dengan harga jualan RM71,888. 

Ini merupakan pelancaran pertama motosikal dari HLYM bagi tahun 2026 namun begitu kami dimaklumkan bahawa terdapat banyak lagi model yang akan diperkenalkan tahun ini seperti tahun-tahun sebelumnya. 

Bagaimanapun, kami difahamkan HLYM akan membawa kelainan tahun ini dan membawa masuk model yang diharapkan peminat Yamaha disini. 

Menurut sumber, pihak HLYM akan memperkenalkan beberapa model baharu termasuk jentera supersport Yamaha YZF-R9. Sekiranya benar, ini bermakna R9 bakal menjadi jentera supersport pertama diperkenalkan HLYM selepas sekian lama. 

Kami juga difahamkan, selain R9, pihak HLYM juga akan memperkenalkan beberapa model yang tidak pernah ada dalam pasaran negara sebelum ini termasuk XSR 155.

Atas kertas, Yamaha R9 dikuasakan platform tiga silinder 890cc CP3 yang diambil dari MT-09 namun dipadankan dengan tetapan ECU berbeza dengan ‘gearing’ lebih tinggi; 16/45 berbanding 16/43 pada MT-09. Kuasa disalurkan masih sama dengan 118hp pada 10,000rpm dan 93Nm pada 7,000rpm. 

Antara kelengkapan yang mengagumkan terdapat pada R9 terarah kepada pakej elektronik. Ini kerana Yamaha telah melengkapkan R9 dengan segala teknologi yang ada antaranya:

  • 3 mod menunggang; Sport, Street dan Rain + 2 mod Kustom dan 4 mod Track
  • 6-axis IMU menawarkan traction control, slide control, brake control 
  • 4 mod kuasa 
  • lift control
  • launch control

Google ads
Back to top button