Motosikal

RASMI: YAMAHA TRACER 9 GT GENERASI TERBARU LANCAR DI MALAYSIA – RM71,888

Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) dengan rasminya memperkenalkan Tracer 9 GT untuk pasaran tempatan dengan harga jualan RM71,888 setahun model tersebut diperkenalkan di pasaran global. 

Secara keseluruhan, Tracer 9 GT 2026 ini masih lagi mengekalkan banyak ciri yang sama dengan model sebelumnya namun termasuk ruangan enjin yang kekal dikuasakan enjin CP3 tiga silinder 890cc yang berupaya menjana 117hp dan 93Nm pada 7,000rpm. Menariknya, enjin ini juga mencapai standard Euro5+ terbaru yang lebih ketat. 

Kuasa enjin pula dikawal selia pakej elektronik serba canggih termasuk ‘6-axis IMU’, lima mod menunggang dengan dua mod kustom. Fungsi kesemua ini boleh diubah menerusi butang ‘switchgear’ di handlebar. 

Selain itu, Yamaha mendakwa bahagian ‘swingarm’ dan ‘subframe’ kini lebih ringan dan kukuh agar lebih stabil ketika membawa penumpang. ‘Subframe’ kini 150g lebih ringan berbanding sebelum ini dan 50mm lebih panjang sekaligus menyumbang kepada tempat duduk pembonceng yang lebih luas. 

Bahagian rim juga dipertingkat dan lebih ringan dan kuat dengan penggunaan teknologi Yamaha Spinforged. Rim tersebut dipadankan dengan tayar Bridgestone Battlax T32 secara standard. Turut dinaik taraf adalah panel meter TFT berukuran 7-inci baharu. 

Bagi tahun 2025, Tracer 9 GT juga menerima muka depan ‘baharu’ dengan kehadiran lampu Matrix LED yang terdiri dari beberapa lampu LED ‘low-beam’ dan ‘high-beam’.

Tracer 9 GT ini juga dilengkapi dengan suspensi KYB semi-aktif yang dinamakan KADS (KYB Actimatic Damper System) yang merupakan sistem suspensi paling canggih pernah dipasang pada mana-mana model Yamaha. 

Google ads
Back to top button