
AMITEC BANGUNKAN KLAC AUTO UNTUK MODEL SUZUKI 150CC
Baru-baru ini pengamal media tempatan telah dijemput oleh pihak AFAZ bagi mengikuti perkembangan semasa supermoped 150cc.
Bagaimanapun, pihak AFAZ yang juga jenama motosikal nasional di bawah payung AMI turut menggunakan peluang tersebut bagi mendedahkan teknologi terbaru.
AMI bersama-sama anak syarikat, AMITEC telah berjaya membangunkan sistem klac automatik yang boleh dipasang pada model Suzuki Raider R150 Fi, GSX-R150 dan GSX-S150 sedia ada.

Inovasi terbaru itu telah dipertontonkan kepada media menerusi model Raider R150 Fi.
Hasil pemasangan sistem klac auto tersebut, sebarang motosikal 150cc dari Suzuki Malaysia boleh dioperasikan secara klac automatik tanpa perlu menarik klac. Namun begitu, klac manual turut boleh dioperasikan seperti biasa jika perlu.

Difahamkan, sistem klac auto ini tidak akan ditawarkan secara standard pada model Suzuki 150cc sebaliknya menjadi tawaran tambahan kepada pemilik sekiranya berminat.
Sistem klac auto ini akan ditawarkan secara rasmi kepada umum sekitar Ogos tahun ini.









