
MAS2025: YAMAHA TMAX TECH MAX 2025 MENDARAT – RM75,888
Selepas debut global pada November tahun lalu, Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) tidak tunggu lama untuk memperkenalkan Yamaha TMAX Tech Max 2025 untuk pasaran tempatan ketika di Malaysia Autoshow 2025.
Harga jualan cadangan yang ditetapkan bagi model baharu itu adalah RM75,888 tidak termasuk cukai jalan dan insurans.

Bagi tahun 2025, TMAX Tech Max hadir dengan rupa bentuk yang lebih segar namun masih lagi mengekalkan perincian praktikal antaranya operasi tanpa kunci, penghadang angin boleh laras elektronik, penyandar boleh laras dan grip pemanas.
Namun begitu, naik taraf terbesar adalah fungsi Cornering ABS yang mengesan kekuatan membrek sewaktu dalam keadaan sedang mengambil selekoh. Fungsi ini dikawal sistem IMU (Inertial Measurement Unit).

Dalam pada itu, Yamaha turut mengekalkan mod menunggang dan traction control yang ditawarkan pada model sebelumnya.
Bagi mencapai standard emisi Euro5+, Yamaha turut mempertingkat unit dua silinder 560cc dengan menala semula sistem klac termasuk reka bentuk air intake funnel. Naik taraf ini menyumbang kepada daya pecutan yang lebih baik di samping menghasilkan deruman enjin yang lebih padu.

Bahagian papan pemuka pula menempatkan skrin TFT 7-inci baharu yang boleh disambungkan ke telefon pintar menerusi aplikasi MyRide.
Antara perincian lain ditawarkan termasuk:
- cruise control
- brake control
- TPMS
- tangki 15L
- ketinggian tempat duduk 800mm
- berat 221kg

Yamaha TMAX Tech Max 2025 ini menawarkan 47hp pada 7,000rpm dan 55Nm pada 5,250rpm yang terhasil dari enjin parallel-twin 562cc DOHC.
GALERI: YAMAHA TMAX TECH MAX 560 2025











