Artikel Pilihan

10 KERETA BERNADIKAN ENJIN 4 SELINDER TERPANTAS DEKAD 90AN – ANDAI DAPAT KU UNDURKAN PUTARAN DUNIA

Dekad 90 an merupakan zaman keemasan untuk peminat kereta-kereta sports di seluruh dunia yang fana ini. Syarikat-syarikat pengeluar kereta ternama berlumba-lumba untuk mengeluarkan model sports yang lebih laju dan lebih tahan lasak berbanding dekad sebelumnya. Pelbagai model hot hatch muncul satu demi satu sebelum ia dimeriahkan lagi dengan model-model AWD sekaligus memeriahkan lagi segmen kereta sports.

Berbeza dari zaman sebelumnya yang menyaksikan segmen kereta sports dikuasai oleh model bernadikan enjin sebaris 6, V6 dan V8, dekat 90an menyaksikan kelahiran model 4-selinder yang lebih laju dan mampu membelah pelbagai bentuk muka bumi dengan kelajuan yang lebih dahsyat. Inilah 10 kereta bernadikan enjin 4 selinder yang terlaju di dunia.

Mitsubishi Eclipse GSX 1995

Ramai antara kita tak sedar tentang kewujudan kereta ini kerana ia tidak dipasarkan secara rasmi di Malaysia. Hanyalah selepas ia muncul dalam siri Fast and Furious barulah ramai yang buka mata. Model GSX ini sebenarnya menggunakan sistem AWD. Memang sesuai sangat la kalau nak main drag race tu.

Dilengkapi dengan enjin 2.0L empat selinder turbo yang berkemampuan menghasilkan 210 hp kuasa maksima membolehkan Eclipse membuat pecutan 0-100 km/j hanya dalam masa 6.8 saat. Toksah dok gelak la… Tahun 1995 dulu ia dah dikira sangat laju.

Honda Integra Type R 1998

Juga dikenali dengan nama Acura Integra Type R dan ia merupakan sebuah kereta pacuan hadapan terbaik pernah dihasilkan sepanjang dekad 90an. Enjin 1.9L 4 selinder DOHC V-TEC Integra ini berkemampuan untuk menghasilkan sejumlah 195 hp kuasa dalam keadaan standard.

Kebanyakan peminat dan penulis automotif menyifatkan kereta ini sebagai kereta FWD terbaik sepanjang zaman. Malah harganya juga semakin meningkat hari demi hari. Darjat anda dalam bangsa H juga akan dipandang lebih tinggi jika anda memiliki sebuah Integra Type R ini.

Lotus Elise S1 1996

Lotus Elise ini terus menggegar dunia sebaik sahaja ia mula diperkenalkan. Semua peminat kereta sports di seluruh dunia sebulat suara menyatakan kekaguman mereka dengan inovasi, sistem kawalan dan DNA sports sejati Lotus. Malah Lotus Elise ini sendiri telah merangkul pelbagai gelaran dan anugerah dari seluruh dunia hasil gabungan teknologi dan innovasi yang ada padanya.

Ia cuma dilengkapi dengan enjin 1.8L Rover siri-K yang hanya menghambur sekitar 120hp. Tapi ia cukup laju dan mampu melakukan pecutan 0-100 km/j hanya dalam masa 5.9 saat. Macam mana caranya? Biasalah satu dunia dah tau kelebihan kereta-kereta keluaran Lotus ialah pada berat keseluruhan kereta tersebut. Ia cukup ringan sekaligus memberikannya pecutan dan kawalan yang lebih baik.

Porsche 968 Club Sport 1992-1995

Porsche 968 Club Sport tidak mempunyai sejarah kehidupan yang panjang. Ia mula diperkenalkan pada tahun 1992 dan dihentikan pengeluaran pada tahun 1995. Ia sentiasa dibayangi model 944 yang muncul lebih awal dan Boxster yang muncul selepasnya. Namun bagi penggemar automotif 968 Club Cport kekal sebagai model FWD terbaik pernah dikeluarkan Porsche.

Enjin 3.0L 4 selindernya mampu menghasilkan 240 hp kuasa dan ia juga mempunyai rekod pecutan 0-100 km/j yang baik untuk zaman tersebut. Dengan rekod pecutan 4.7 saat pada tahun 90an membuktikan yang Club Sport ini bukan kaleng-kaleng.

Nissan Silvia Spec-R 1999

Ini merupakan satu daripada model keluaran Nissan yang dihormati di seluruh dunia lebih-lebih lagi di tanah kelahirannya, Jepun. Sebagai balasan atas sokongan ramai peminat, Nissan menghadiahkan Silvia 247 hp yang digelar Spec R. Nama je hadiah tapi nak kena beli sendiri.

Dilengkapi enjin sebaris empat berkuasa turbo, Silvia mampu memecut dari kedudukan statik ke 100 km/j dalam masa 5.4 saat. Ia menjadi salah satu kereta terlaju dekad 90an dan masih kekal dihormati sehingga kini.

Subaru Impreza 22B STi 1998

Ini dia contoh supercar klasik dari Jepun yang paling hebat, paling laju dan penuh umphh. Enjin 2.2L turbo Boxer 4-selindernya mampu menghamburkan 276 hp kuasa pada tahun 1998. Hanya 4.7 saat diperlukan untuk memecut ke kelajuan 100 km/j.

Dahlah la kacak bergaya macam model, nak beli pun bukan senang sebab Subaru Cuma mengeluarkan 424 unit 22B STi ni menjadikannya model paling bernilai untuk pengumpul kereta sports 90an. Harga kalau jumpa memang potong kapara la. Banzaii.

Mitsubishi Lancer Evolution VI Tommi Makinen 1999

Sebenarnya semua versi Mitsubishi Evo layak berada dalam senarai ini tapi melampau la kan kalau satu sampai sepuluh semuanya Evo. Ia sememangnya kereta gergasi dengan potensi yang tidak terbatas dan antara semua generasi Evo kami memilih Evo VI Tommi Makinen yang juga dikenali dengan nama Evo 6.5.

Edisi Tommi Makinen ini boleh dianggap paling istimewa dengan enjin 2.0L berkuasa turbo yang mampu menjana 276 hp kuasa. Pecutan 0-100 hanya dalam masa 4.7 saat dan ia juga dilengkapi dengan pengecas turbo titanium. Korang pakai stiker titanium dah rasa hebat ini kan pula asli dibuat dari titanium.

BMW M3 Sport Evolution 1990

Sebuah lagi Evolution tapi kali ini buatan BMW dan lebih tua. Inilah M3 E30 terhebat dalam sejarah. Hanya 600 unit dihasilkan dan dilengkapi dengan enjin M3 yang paling besar ketika itu.

Menggunakan enjin 2.5L sebaris empat, M3 Sport Evolution ini mampu membuat pecutan 0-100 hanya dalam masa 6.1 saat (tahunn 1990 ni bang, dah kira laju). Injap ekzosnya disejukkan menggunakan sistem sodium-cooled dan prestasinya menyamai jentera perlumbaan M3 Group A.

Ford Escort RS Cosworth 1994

Model asal Escort tak ada la hebat sangat tapi lain pula ceritanya dengan RS Cosworth. Ia dihasilkan untuk menyertai perlumbaan Group A dan enjin turbo 4 selinder sebarisnya memang lebih dari mampu untuk bersaing. Dari tahun 1993-97 Ford Escort RS Cosworth telah membawa pulang 10 kejuaraan WRC untuk pasukan Ford. Ko hado?

Nissan Pulsar GTi-R

Kereta ini juga mempunyai warisan WRC yang tersendiri. Nissan menghasilkan kereta ini dari tahun 1990-1994 untuk bersaing dalam Group A. Untuk itu ia dilengkapi dengan enjin sebaris empat 2.0L turbo 227 hp. Jangan terpedaya dengan rupa parasnya yang menyerupai model N14 lain. Identitinya diserlahkan dengan skup udara hadapan dan spoiler belakang yang lebih besar.

Kereta ini memerlukan 5.4 saat untuk mencapai kelajuan 100km/j manakala 13 saat sahaja diperlukan untuk mencapai penanda suku batu dalam perlumbaan drag.

Memang meriah dekad 90an sebenarnya dengan kereta-kereta seperti ini tidak sesekali akan menyerah ataupun tunduk kepada kereta-kereta lain dengan enjin yang lebih besar.

Kredit hotcars.com

Google ads
Back to top button