
KERETA BERPERISAI PALING LAJU DI DUNIA IALAH SEBUAH EV – JANGAN SAMPAI KUASA BATERI HABIS DAH LA
Kereta berperisai memang menjadi keperluan untuk pemimpin-pemimpin negara, hartawan sebenar (bukan tokey produk timbang kati atau scammer) dan individu-individu berkepentingan di seluruh dunia. Kenderaan yang digunakan biasanya buatan Jerman, berkuasa tinggi dan biasanya dalam bentuk sedan ataupun SUV. Dah la berat dan bila ditambah dengan perisai-perisai logam memang kuasa pecutan 0-100 kmj akan memakan masa 3 minggu.

Lupakan semua kenderaan yang dibayangkan sebelum ini sebab U.S. Armor Group mempunyai produk terbaru yang dilabelkan sebagai kenderaan berperisai terlaju di dunia. Ia diasaskan dari sebuah Lucid Air Sapphire dan ianya merupakan sebuah EV.
Jangan bimbang tentang kuasa sebab ia memggunakan sistem pacuan semua roda dikuasakan 3 unit motor elektrik yang mampu menghasilkan 1,234 hp kuasa. Pecutan 0-100 kmj hanya mengambil masa 1.89 saat dan kelajuan maksimanya ialah 330 kmj. Jauh ke boleh lari EV ni dalam kecemasan? Jangan bimbang sebab jarak jangkauan baterinya ialah 687 kilometer. Nak balik Kota Bharu dari Kuala Lumpur pun tak ada masalah.

Kereta ini diperkukuhkan dengan penggunaan tingkap balistik ringan yang mampu menahan tembakan peluru .44 Magnum. Itu belum lagi dicampur dengan material perisai komposit yang 10 kali lebih kuat berbanding logam balistik tapi ia juga lima kali lebih ringan.
Keseluruhan penambahan perisai cuma menyumbang kepada peningkatan berat keseluruhan 175 kilogram. Sama dengan berat dua orang jurugambar kami. Malah selepas diubahsuai, kereta ini masih lagi boleh memecut lebih dari 322 kmj.
Bukan hanya serangan fizikal, kereta ini juga berupaya menangkis serangan digital. Ia mempunyai teknologi untuk menahan serangan penggodam dan mampu mengesan ancaman di sekitar dengan mengumpul dari perisikan dari lebih sejuta sumber luaran termasuklah dari polis tempatan dan pasukan bomba.

Harganya ialah dua kali ganda Air Sapphire asal dan pembeli boleh menambah perisai bagi menahan serangan bom tangan, bahan letupan dan tembakan raifal berkuasa tinggi.
Tak cukup lagi? Ada juga beberapa gajet ala James Bond seperti pemegang pintu dengan fungsi kejutan elektrik, penyembur serbuk lada hitam dan kompartmen senjata api.
