Artikel Pilihan

MITSUBISHI FTO – KERETA SPORTS MAMPU MILIK YANG RAMAI TERLEPAS PANDANG

Peminat-peminat model JDM memang ramai tapi kami percaya tak ramai yang mampu memiliki permata-permata JDM era 90 an seperti Mitsubishi Lancer Evolution, Subaru Impreza WRX, Toyota Supra, Nissan Skyline GT-R dan banyak lagi. Itu belum masuk RX-7 FD3S yang dah melepasi paras harga RM500K. Tapi masih ada sebenarnya model JDM yang tak kurang menarik, sporty dan yang penting tak merabakkan poket anda. Ingat tak lagi dengan Mitsubishi FTO?

Model JDM yang kami sebutkan di atas memang berkuasa dan hebat tapi adakah anda perlukan kuasa seperti itu setiap hari? Takkan bini suruh beli santan pun nak pakai kasut racing sebab nak pandu R33? Sebab itulah kami rasa FTO ni lagi logik. Ia sporty, tak besar mana dan lebih lincah jika dah terlewat nak ke masjid untuk solat Jumaat.

Sekitar tahun 90 an, kekuatan Mitsubishi memang terletak pada barisan model prestasi tinggi. Lancer Evolution contohnya memang popular kerana reputasi hebat dalan kejuaraan WRC ketika itu.

Begitu juga dengan Mitsubishi GTO (3000GT). Ia memang dah dikira sebuah supercar Jepun dengan sistem aero aktif yang mendahului zaman. Enjin V6 berkuasa turbonya mampu menjana 276 hp meletakannya setanding dengan Toyota Supra JZA80 dan Nissan Skyline GT-R R32.

Pada masa yang sama Mitsubishi merasa mereka akan menjana keuntungan lebih dengan menawarkan sebuah coupe sports yang lebih murah. Hasilnya ialah Mitsubishi FTO yang lebih kompak berbanding GTO.

Ia mula dipasarkan pada tahun 1994 dan Mitsubishi melabelkannya sebagai saudara kecil GTO. Ia hanya ditawarkan dengan pacuan hadapan dengan enjin yang lebih kecil. Versi facelift muncul pada tahun 1997 dengan sedikit perubahan pada bahagian hadapan selain spoiler belakang yang lebih agresif.

Pengeluarannya dihentikan pada tahun 2000 kerana Mitsubishi tidak berminat untuk menghabiskan belanjawan untuk memastikannya melepasi peraturan hentaman sisi yang lebih tegas yang diperkenalkan pada tahun tersebut. Fokus utama tentunya untuk model-model mereka yang lebih laris.

FTO pasaran Malaysia dilengkapi dengan enjin NA 2.0 liter DOHC V6. Enjin V6 kompak Mitsubishi ini mampu menghasilkan sekitar 170 hp kuasa maksima. Sudah mencukupi untuk sebuah kereta sports kompak sebenarnya. Menariknya ia merupakan enjin yang sama digunakan oleh Proton Perdana V6.

Nak lebih power dapatkan varian GPX yang menggunakan teknologi MIVEC Mitsubishi yang terkenal tu. Varian MIVEC mempunyai angka kuasa yang lebih tinggi sekitar 197 hp. Pembeli boleh memilih antara kotak gear manual lima-kelajuan atau pun lima-kelajuan auto. Model terawal menggunakan transmisi empat-kelajuan automatik.

Carian kami dalam beberapa laman jual beli atas talian mendapati beberapa unit Mitsubishi FTO untuk dijual. Ada varian manual dan beberapa buah lagi varian auto. Harga memang boleh dengan lagi la. Bawah RM60K untuk manual dan bawah RM50 untuk auto. Jauh lebih murah dari Mazda Miata dan Toyota MR-S sebenarnya.

Kalau nak tengok kehebatan FTO tonton je filem lama Jackie Chan, Thunderbolt. Dalam filem tersebut Jackie Chan berjaya mengalahkan watak penjahat yang memandu R32 GT-R dalam perlumbaan jalan dengan memandu Mitsubishi FTO. Logik tak logik itu belakang kira. Dah nama pun wayang kan?

Google ads
Back to top button