" "
Artikel Pilihan

KERETA MENARIK YANG PERNAH DIBUAT OLEH JEPUN (TAPI TAK DIKENALI DUNIA)

Jepun yang kembali bangkit selepas Perang Dunia membuka pintu seluas-luasnya kepada perkembangan teknologi untuk kembali membangun. Tempias kepada perkembangan teknologi ini juga telah terkena kepada industri permotoran yang kemudiannya telah menghasilkan pelbagai jenis model kenderaan daripada kereta-kereta kecil yang dinamakan “Kei Car” sehinggalah kereta-kereta sports yang sentiasa mendahului zaman.

Kita mungkin terbiasa dengan variasi kereta hebat seperti Mazda RX-7, Nissan Skyline, Toyota Supra, Subaru Impreza dan Mitsubishi Evolution. Namun ada banyak lagi kereta yang pernah Jepun buat tetapi tidak mendapat perhatian dunia. Walhal, kereta ni memang revolusi rekabentuknya.

Mari kita imbas kembali kereta-kereta menarik yang pernah muncul dari negara matahari terbit tetapi dilupakan oleh dunia.

MAZDA COSMO 110-S

Kereta coupe yang kelihatan lincah dan elegan ini dihasilkan berdasarkan Triumph Spitfire dan memenuhi semua ciri-ciri yang perlu ada pada kereta klasik. Namun itu hanyalah pandangan luaran.

Sebenarnya ia merupakan sebuah model yang bersejarah kerana inilah Mazda pertama yang menggunakan enjin rotary Wankel yang terkenal itu. Pengaruhnya dalam perkembangan enjin rotary cukup besar kerana inilah model yang membawa enjin rekaan jurutera terkenal Felix Wankel ke arus perdana dunia permotoran.

Ia merupakan kayu pengukur untuk semua enjin rotary yang muncul selepasnya. Kereta ini menggunakan enjin sekecil 982cc tetapi beruaya menghasilkan 130 kuasa kuda kuasa maksima.

Mazda cuma menghasilkan sebanyak 1176 buah kereta ini dari tahun 1967 hingga 1972. Ia sudahpun mencetuskan fenomena baharu sewaktu itu dan membuka laluan kepada enjin rotary yang lebih bertenaga seperti yang dilengkapkan pada model Mazda RX-7.

MAZDA AUTOZAM AZ-1

Model dua tempat duduk comel ini dihasilkan Mazda pada awal 90-an dan dinamakan Autozam AZ-1 (bukan zam zam ala kazam). Ia dikategorikan sebagai kereta Kei Car kerana cuma dilengkapi dengan enjin 657cc, tiga selinder dan berkuasa turbo.

Enjinnya diletakkan di belakang tempat duduk pemandu dan mempunyai berat kurang daripada 725kg – jauh lebih ringan daripada sebuah Lotus Elise.

Ia dihasilkan untuk keseronokan pemanduan dengan enjin yang mampu menghasilkan 64bhp kuasa maksima. Para penala (tuner) juga sentiasa berusaha untuk menambahkan kuasa bagi membolehkan ia pergi dengan lebih laju.

Tetapi apa yang merisaukan ialah rekaan pintunya yang kelihatan cukup tipis mampu mendatangkan kecederaan kepada pemandu dan penumpang jika berlaku kemalangan di bahagian sisi.

TOYOTA SERA

Ini merupakan antara model paling menarik dikeluarkan Toyota pada dekad 90-an. Bayangkan sebuah Corolla coupe dengan pintu gull-wing.

Ia dianggap antara kereta dengan ciri futuristik pada ketika itu dengan menampilkan bumbung kaca melengkung yang dipadankan dengan pintu gull-wing yang memang sangat unik.

Toyota Sera juga berjaya mengumpul sejumlah besar peminat di serata dunia. 16,000 unit telah terjual sepanjang lima tahun pengeluaran. Dari aspek prestasi pula Toyota Sera ini memang sebuah Corolla unik kerana ia cuma menggunakan enjin 1.5-liter dan konfigurasi pacuan hadapan.

Figaro merupakan ikon kepada kereta-kereta unik dari Jepun. Walaupun ia kelihatan seperti dilahirkan pada tahun 60-an, ia sebenarnya masih lagi muda belia. Figaro dikeluarkan dalam tahun 1991 dan tempoh pengeluarannya cuma satu tahun.

Permintaan terhadap model ini cukup tinggi sehinggakan pengeluarannya terpaksa digandakan dan cabutan dilakukan bagi memilih pembeli. Laku betul weh.

Prestasinya juga boleh tahan dengan enjin 987cc empat selinder turbo. Cukup berkuasa untuk sebuah kereta kecil yang ringan.

DOME ZERO

Ini merupakan antara supercar pertama Jepun yang tidak pernah melihat matahari naik (tidak pernah dikeluarkan). Ia dinamakan Dome Zero dan dihasilkan oleh syarikat perlumbaan Jepun, Dome.

Mereka menghasilkan pelbagai jenis kereta lumba daripada model paling ringan sehinggalah ke jentera F1. Sewaktu pencapaian Jepun selaku pengeluar automobil sedang rancak, mereka membuat keputusan untuk menghasilkan sebuah supercar.

Dome Zero diperlihatkan buat pertama kali di Geneva Motor Show 1978 dengan rekaan wedge ala Itali. Kalau sekali tengok ia kelihatan seperti pelakon tambahan untuk filem Back to the Future.

Ia dikuasakan dengan enjin Datsun enam selinder sebaris dan menawarkan pemanduan optima dengan nisbah kuasa kepada berat yang menyamai Porsche pada masa itu.

DAIHATSU MIDGET II

Ini satu lagi contoh kereta Kei yang sangat “sejuk” (cool) dan dinamakan Midget II daripada Daihatsu. Ia diasaskan daripada model generasi pertama yang dikeluarkan pada tahun 90-an.

Midget II cuma menggunakan enjin 660cc dan boleh didapati dengan tempat duduk tunggal dan juga dua tempat duduk.

BACA: BILA PELUMBA PRO JEPUN BERLUMBA DENGAN MIDGET!

Mudah dikenali kerana rekaannya yang pelik yang menempatkan tayar gantian di bahagian hadapan kereta. Untuk kegunaan menghantar barang-barang runcit atau pizza memang sangat cool tapi kalau hendak di kawasan masuk site memang kena gelak dengan pekerja Bangladesh la.

SUBARU 360

Subaru 360 keluaran tahun 1970 memang sebuah kereta Kei Car yang tulen. Ia memang cukup kecil sehinggakan anda akan kelihatan tinggi jika berdiri di sebelahnya. Malah anda akan berjaya mencuri perhatian bila memandunya di jalanraya.

BACA: SUBARU 360 DINONATKAN WARISAN SEJARAH JEPUN

Subaru 360 cuma seberat 498 kilogram dengan ukuran panjang tiga meter dari hadapan ke belakang. Bagaimanapun enjin dua-lejang yang ada padanya membolehkan ia membawa bebanan hampir 362 kilogram. Hampir 70 peratus beratnya sediri dan merupakan van paling comel di dunia. Agak-agak boleh dapat rating keselamatan 5 bintang tak?

Jangan harap.

HONDA VAMOS

Hampir menyamai Daihatsu Midget dengan tayar gantian di hadapan tetapi kali ini dengan rekaan bumbung terbuka untuk kegunaan bersiar-siar di tepi pantai.

Sekali tengok ia kelihatan seperti kenderaan tentera tetapi dengan saiz yang dikecilkan. Vamos dipadankan pula dengan enjin 354 cc dua selinder yang sudah lebih dari mencukupi untuk memacu kereta kecil ini dengan selesa.

BACA: KERETA KONSEP ANEH DARI JEPUN

BACA: 10 ENJIN TERBAIK DARI JEPUN

BACA: KERETA SPORTS 90-AN JEPUN PALING LEJEN!

Google ads
Back to top button