Buletin

PORSCHE SERAH 68,426 UNIT KENDERAAN PADA Q1 2022. MODEL SUV TERUS POPULAR

Porsche dilapor telah berjaya menyerahkan 68,426 unit kenderaan kepada pelanggan di seluruh dunia pada suku pertama 2022. Angka itu menurun sebanyak lima peratus berbanding tempoh sama tahun lalu. 

“Wabak Covid-19 yang masih berlaku di beberapa negara termasuklah China, ditambah dengan isu bekalan chip dan logistik nyata memberi cabaran kepada kami. Namun, kenderaan kami terus mendapat permintaan yang tinggi di Eropah, Amerika dan China,” kata Ahli Lembaga Eksekutif Jualan dan Pemasaran Porsche AG, Detlev von Platen. 

Untuk pasaran Eropah, Posrche menyerahkan 22,791 unit kenderaan pada Q1 2022 yang menyaksikan kenaikan dari tahun ke tahun sebanyak 18 peratus. Kenaikan juga dicatat di Jerman dengan 6,925 penyerahan, naik 16 peratus. China yang menjadi pasaran terbesar Porsche pula mencatat 17,685 penyerahan. 

Penularan semula Covid-19 dan penutupan pusat Porsche di beberapa buah negara menyebabkan penyerahan jatuh sebanyak 20 peratus. 

Secara keseluruhannya, sebanyak 28,991 unit telah diserahkan kepada pelanggan di pasaran Asia Pasifik, Afrika dan Asia Barat. Rantau Asia Pasifik menyaksikan prestasi jualan suku pertama paling kukuh dengan kenaikan 23 peratus berbanding Q1 2021. 

Sekali lagi, permintaan paling tinggi melibatkan model-model SUV dengan Porsche Cayenne diserahkan kepada 19,029 pelanggan dan Macan sebanyak 18,329 unit.

Porsche Taycan pula diserahkan kepada 9,470 pelanggan. Sebanyak 9,327 unit 911 diserahkan kepada pelanggan. Manakala serahan 4,536 unit dibuat kepada pembeli  718 Boxster dan 718 Cayman. 

Google ads
Back to top button