Buletin

KIA SELTOS – CROSSOVER KOMPAK GLOBAL KIA DARI INDIA

Kia baru sahaja memperkenalkan SUV kompak terbaharunya, Seltos di Delhi, India.  

Kia mendakwa Seltos membawakan sofistikasi, teknologi dan sistem keselamatan tercanggih ke dalam pasaran SUV kompak.

Ia dilihat sebagai model penting dalam usaha mengembangkan jenama Kia di peringkat global, terutama di India.

“Seltos disasarkan kepada pembeli muda yang pentingkan teknologi. Jadi, kami telah menerapkan kepakaran dari segi reka bentuk, kualiti dan teknologi demi memenyhi keperluan pelanggan,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kia Motors Corporation, Han-Woo Park.

Kia merancang untuk menjual Seltos di India menerusi jumlah pengedar paling banyak setakat ini.

Pengeluar dari Korea Selatan ini juga bekerjasama dengan lapan institusi kewangan terbesar di India untuk menawarkan perkhidmatan pembiayaan kepada pelanggan.  

Bergantung kepada pasaran, Seltos didatangkan dengan pilihan enjin petrol Smartstream empat selinder 1.6 liter turbo berkuasa 175hp, enjin aspirasi biasa bersesaran 2.0 liter (147hp) dan enjin turbo diesel 1.6 liter dengan kuasa 134hp.

Enjin itu kemudian akan dipadankan dengan tiga pilihan kotak gear automatik, CVT, auto enam kelajuan dan auto klac berkembar tujuh kelajuan.  

Walaupun Kia tidak menyatakan apakah jenis pacuan yang digunakan, Seltos bagaimanapun dilengkapi sistem Drive Mode Select dengan mode pemanduan Normal, Eco dan Sport.

Seperti yang boleh dilihat, Seltos hadir dengan rekaan hud panjang, garis badan yang tajam dan rekaan hadapan maskulin. Wajahnya diserlahkan dengan sepasang lampu LED sepenuhnya yang nipis, lampu nyalaan siang (DRL) dan lampu kabus LED.

Jentera itu juga didatangkan dengan pilihan rim aloi bersaiz 16, 17 atau 18 inci.  

Ruang kabin pula menampilkan rekaan futuristik bersama penggunaan material berkualiti tinggi. Antara ciri penting yang ada termasuklah sistem infohibur dengan skrin sentuh bersaiz 10.25 inci dan Sound Mood Lighting.

Cukup luas untuk lima orang penumpang duduk dengan selesa, Seltos ditawarkan dengan spesifikasi tambahan seperti head-up display bersaiz lapan inci dan sistem bunyi premium Bose.  

Jentera itu juga dipasang sistem Sound Mood Lighting dengan enam tema dan lapan warna. Bahagian panel pintu akan dinyalakan dan selari dengan rentak muzik.

Tidak berkompromi dengan aspek keselamatan, Seltos dilengkapi enam beg udara, brek ABS, Brake-force Assist System, Hill-start Assist Control, Vehicle Stability Management, kawalan cengkaman dan kawalan kestabilan elektronik sebagai ciri standard.

Dihasilkan di kilang Kia di Andhra Pradesh, India dan Gwangju, Korea Selatan, crossover global itu akan dilancarkan ke pasaran lain pada separuh kedua tahun ini.

Google ads
"
"
Back to top button