ALKISAH KIA SPORTAGE – LAGENDA SUV KIA
Dalam rangkaian model Kia, wujud sebuah SUV Kompak yang ternyata telah memberikan banyak jasa dan budi untuk memperkenalkan jenama dari Korea ini ke pasaran global. Dan Kia Sportage ini adalah merupakan antara model yang boleh dikira sebagai lagenda untuk kita kaji asal dan usulnya sebagai bahan bacaan.
BACA : KIA SPORTAGE SERBA BAHARU
BACA : TAHUKAH ANDA LEBIH 5 JUTA UNIT KIA SPORTAGE TELAH DIJUAL SEJAK DIPERKENALKAN?
Kia Sportage NB-7 adalah merupakan generasi pertama yang mula diperkenalkan kepada pasaran Asia bermula tahun 1993 melalui pengeluaran kilang di Hwaseong. Hanya beberapa tahun kemudian barulah pengeluarannya di luaskan melalui kerjasama Karmann di Jerman dan Avtotor di Russia. Dan generasi pertama Kia Sportage ini mula tiba di Malaysia beberapa tahun kemudiannya.
Ternyata apabila Kia Sportage ini memasuki pasaran kita ketika, ianya berjaya mencuri sedikit pasaran SUV yang ketika itu banyak didominasi Honda CR-V. Boleh tahan banyak jugalah Kia Sportage ini atas jalanraya kita. Menggunakan enjin bersesaran 2.0 liter FE ianya merupakan milik asal Ford. Oh ya, untuk makluman, Kia Sportage ini sebetulnya turut menggunakan teknologi dan kerjasama dengan Ford.
Generasi kedua Kia Sportage ini pula hadir bermula tahun 2005. Menariknya, model ini hadir bersama kembar seiras, Hyundai Tucson yang merupakan model baharu setelah kerjasama diantara Kia – Hyundai dilancakan beberapa tahun sebelumnya ketika krisis kewangan melanda Asia. Secara jujurnya, rekaan Kia Sportage mahu pun Hyundai Tucson ini macam tak berapa nak sedap mata yang memandang. Entahlah. Dari saiz pun kelihatnan sedikit besar berbanding model awalnya. Nak saing terus dengan CR-V barangkali.
Susulan kejayaan generasi pertama, Naza Kia ketika itu tidak teragak – agak untuk mendapatkan IC Merah kepada Sportage melalui pemasangan tempatan pada tahun 2007. Pada aras harga RM112,000, beberapa ciri – ciri / kelengkapan seperti enjin 2.0 loter DOHC CVVT, kotak gear empat kelajuan Shiftronic, sistem 4WD, ABS, EBD, beg udara berkembar dirasakan cukup berbaloi untuk dimiliki oleh pembeli ketika itu. Cuma Naza ketika itu bertindak mengekalkan jenama Kia berbanding menggunakan Naza seperti mana model Naza Ria atau pun Naza Suria.
Dan pada tahun 2010, muncullah pula generasi ketiga Kia Sportage SL di pasaran global terlebih dahulu. Pada hal facelift generasi kedua baharu sahaja diperkenalkan di kala itu. Tidak syak lagi, rekaannya kali ini kelihatan lebih sedap mata memandang mahu pun mertua yang menumpang. Cuma yang tak berapa nak sedap apabila darjatnya telah diangkat apabila menjadikan aras harganya menghampiri RM140,000. Cukup premium walau pun dilambakkan dengan pelbagai ciri – ciri canggih.
Entah menyesal ke apa, Naza Kia kemudiannya menawarkan pula varian 2WD dengan harga yang lebih masuk akal, RM118,888 beza lebih kurang sembilan belas ribu berbanding varian 4WD. Iyalah, bukannya pakai nak masuk ke hutan redah anak sungai bagai pun. Nak panjat divider pun bimbang bercalar, ini kan pula nak biar kena sagat dengan hutan rimba.
Pada tahun 2015 muncul pula generasi terkini yang menampilkan rekaan yang lebih garang dan pasti amat digemari oleh anak – anak muda dan teringin nak kembali muda. Agak radikal juga rekaannya untuk Sportage QL ini. Agak ketara adalah lampu kabus LED berbentuk ‘kiub ais’.
Berbanding varian global yang menawarkan enjin 1.6 liter turbo, pasaran Malaysia pula menerima pilihan enjin 2.0 liter sahaja. Dan sudah tentu varian GT Line dengan harga RM141,888 mampu menggoda jiwa apatah lagi dilengkapi dengan spesifikasi / kelengkapan yang canggih manggih. Dan generasi keempat Sportage ini nampaknya berjaya meneruskan lagi legasi SUV kompak / sederhana besar milik Kia.