PERODUA AXIA 2019 DIBUKA UNTUK TEMPAHAN – ASA 2.0, VSC & VARIAN BARU STYLE, BERMULA RM24,090
Perodua kini membuka tempahan bagi model Perodua Axia 2019 – hatchback segmen-A yang telah diperbaharui untuk menawarkan rakyat Malaysia lebih nilai, gaya serta ciri keselamatan canggih.
Enam varian – E, G, GXtra, SE, AV dan varian baharu STYLE ditawarkan dengan harga tentatif RM24,090 hingga RM43,190 (atas jalan tanpa insurans bagi Semenanjung Malaysia). Ia pasti dapat menepati bajet, penggunaan dan personaliti berbeza rakyat Malaysia.
Semua varian dikuasakan oleh enjin 1.0 liter 1KR-VE dengan pemasaan injap boleh ubah pintar (VVT-i) yang dipadankan bersama transmisi manual lima-kelajuan pada varian E dan transmisi automatik kawalan elektronik empat-kelajuan pada semua varian lain.
“Axia adalah intipati kepada matlamat Perodua, iaitu untuk menawarkan mobiliti yang mampu milik dan mudah buat semua.
“Lebih 380,000 unit telah menemui pemiliknya sejak pelancaran pertamanya pada September 2014. Ia menjadi model terlaris kami dari 2015 hingga 2017,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato’ Zainal Abidin Ahmad.
Sistem Bantuan Pemanduan Selamat (ASA 2.0) Perodua yang pertama muncul pada SUV tujuh-tempat duduk Aruz pada Januari lalu, kini memasuki model Axia menerusi varian AV. Sekali gus menjadikannya kenderaan dengan ciri sedemikian yang paling mampu milik di Malaysia.
ASA 2.0 terdiri daripada Pengesan Pejalan Kaki (kelajuan sehingga 50 km/j), Amaran Pra-Pelanggaran (kelajuan sehingga 100 km/j), Brek Pra-Pelanggaran (kelajuan sehingga 80 km/j), Front Departure Alert dan Pedal Misoperation Control.
“Dengan tawaran ASA 2.0 pada Perodua Axia 2019, kami membawa teknologi keselamatan canggih kepada rakyat, seperti yang kami lakukan dengan Perodua Myvi generasi ketiga pada 2017,” kata Dato’ Zainal.
Selain itu, semua varian dari GXtra dan ke atas dilengkapi Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC) dan kawalan cengkaman (TRC). Semua varian juga (kecuali E) dilengkapi ciri ABS dengan Pengagihan Daya Brek Elektronik (EBD).
Perodua Axia menjadi Kenderaan Cekap Tenaga (EEV) pertama di Malaysia semasa pelancarannya pada 2014. Kini, dengan kecekapan bahan api yang dinilai 22.5 km/l untuk manual, 21.6 km/l untuk auto dan 20.8 km/l bagi varian baharu STYLE, ia kekal menjadi antara kenderaan yang paling cekap bahan api di negara ini.
“Peningkatan dalam aspek keselamatan dan ciri-ciri tambahan, ditambah dengan kecekapan bahan api, praktikaliti, ruang yang luas, kos pemilikan yang rendah, kemudahan pemanduan dan kebolehpercayaan, dalam masa yang sama kekal mampu milik, Axia kini menawarkan lebih banyak nilai berbanding sebelumnya,” kata Dato’ Zainal.
Mengenai varian baharu STYLE, Dato’ Zainal berkata, “Perodua mengambil langkah baharu dengan Axia STYLE, ahli keluarga Axia baharu yang akan menampilkan keseronokan dan gaya hidup aktif anda – nantikan!”
Perodua Axia 2019 didatangkan dengan waranti lima tahun/150,000 km (yang mana tiba dahulu).