Buletin

PERODUA LANCAR MYVI GENERASI KE-3 DI MAURITIUS – HARGA BERMULA RM81,300 SEUNIT

Perodua telah melancarkan Perodua Myvi generasi ketiga di Mauritius. Model tersebut ditawarkan dalam varian 1.3 G AT dan 1.5 H AT pada harga 699,000 Rupee Mauritius (RM81,300) dan 775,000 (RM90,140) di atas jalan termasuk insurans.

Pengedarnya, Raouf Dusmohamud & Co Ltd mempamerkan Perodua Myvi pada acara Defi Media Motor Show yang berlangsung di Swami Vivekananda International Conference Centre hujung minggu lalu.

“Perodua Myvi generasi ketiga sememangnya diterima baik di Malaysia. Kami percaya rakyat Mauritius juga akan tertarik kepada ciri-ciri yang terdapat pada model ini,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato’ Zainal Abidin Ahmad.

“Perodua berhasrat untuk mengeksport 3,270 kenderaan pada 2019, peningkatan sebanyak 50 peratus berbanding 2,184 unit tahun lalu. Setakat tahun ini, kami telah menjual lebih 1,600 unit di luar Malaysia dan melancarkan Myvi dan Axia di Singapura dan Seychelles.

“Penampilan sulung Myvi di Mauritius akan mendekatkan kami kepada sasaran eksport akhir tahun Perodua. Secara tidak langsung meningkatkan jenama Perodua di peringkat antarabangsa, memandangkan Mauritius terkenal sebagai destinasi pelancongan yang popular,” katanya.

Perodua Myvi mempunyai kecekapan bahan api melebihi 20km/l dan menerima penarafan lima bintang daripada ASEAN NCAP.

Gayaan unik, ruang dalaman yang menakjubkan serta ciri-ciri pintar dan praktikal digabungkan dengan kualiti tinggi untuk memberikan keselesaan dan kemudahan kepada semua.

“Dilengkapi lampu LED, sistem kemasukan dan penghidup enjin tanpa kunci, Bluetooth, empat atau enam beg udara, serta kawalan kestabilan yang terdapat pada kedua-dua varian, Myvi baharu merupakan kenderaan canggih yang dinanti-nantikan oleh rakyat Mauritius,” kata Pengarah Urusan Raouf Dusmohamud, Raouf Dusmohamud.

“Kami menawarkan servis percuma sehingga 30,000 km bagi Myvi.Kami juga memanjangkan tawaran sama kepada setiap pembelian model-model Perodua yang lain, iaitu Alza, Axia dan Bezza,” katanya.

Mauritius menjadi pasaran eksport ketiga bagi Myvi generasi ketiga selepas Indonesia (dijual sebagai Daihatsu Sirion) dan Singapura.

Negara kepulauan yang terletak di Lautan Hindi itu merupakan antara pasaran luar negara Perodua yang paling lama.

Hampir 2,400 kenderaan Perodua telah dijual di sana sejak 1996. Ini termasuklah Kancil, Rusa, Kembara, Kenari, Kelisa, Myvi generasi pertama dan kedua, Viva, selain Alza, Axia dan Bezza.

Google ads
Back to top button