Buletin

4 PERATUS LAGI SEBELUM DIBENARKAN RENTAS NEGERI. TAK LAMA DAH…

Hanya empat peratus lagi diperlukan bagi menarik semula larangan rentas negeri, kata Menteri Kesihatan, Khairy Jamaludin. Setakat semalam, kadar vaksinasi negara terus mencatatkan peningkatan memberangsangkan dengan 86.8 peratus populasi dewasa sudah lengkap divaksin.

Ahli Parlimen Rembau itu bagaimanapun meminta rakyat supaya terus bertanggungjawab terhadap kawalan kendiri dan patuh kepada prosedur operasi standard (SOP).

“Bakal ada lebih banyak aktiviti perhimpunan menerusi mobiliti lebih hebat. Justeru, kita perlu bertanggungjawab atas tindakan masing-masing.

“Jika anda mengalami gejala (COVID-19), dapatkan kit ujian dan lakukan saringan. Sekiranya positif, segera asingkan diri anda,” katanya menerusi ciapan di Twitter, hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, baru-baru ini dilapor mengumumkan kelonggaran rentas negeri akan dibenarkan apabila negara mencapai 90 peratus kadar vaksinasi dewasa berdasarkan data dan analisis dibuat KKM.

Perkara berkenaan diputuskan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik yang dipengerusikan Ahli Parlimen Bera itu, pada 22 September lalu.

Menjawab kebimbangan berhubung kelonggaran perjalanan rentas negeri dengan mengambil contoh situasi semasa di Singapura dibangkitkan warganet, Khairy Jamaluddin berkata, pihaknya memantau dengan teliti perkembangan penularan COVID-19 di Kota Singa itu.

“Tahap vaksinasi (di Singapura) tinggi tetapi kes kini berada pada tahap tertinggi. Kita perlu bersedia secara mental bagi peningkatan bilangan kes apabila kelonggaran perjalanan rentas negeri dibenarkan.

“Paling utama ialah lakukan saringan, pengesanan (kontak), pengasingan dan bantuan bagi kes yang memerlukan jagaan tambahan,” katanya.

Mengenai peralihan ke fasa endemik COVID-19, Khairy Jamaluddin berkata, pilihan inovasi rawatan tambahan akan diberikan, sebagai tambahan kepada vaksinasi.

“Saya sudah memulakan rundingan bagi perolehan ubat (COVID-19) berkesan yang sudah melepasi ujian klinikal,” katanya sambil merujuk pil dikatakan berpotensi mengurangkan risiko kematian COVID-19 dan kadar kemasukan ke hospital sehingga 50 peratus keluaran Merck. – Berita Harian

Google ads
Back to top button