Artikel Pilihan

9 SUV SUPER MAHAL DAN SUPER EKSKLUSIF

Gaya, eksklusiviti dan prestasi tidak boleh dibeli dengan harga murah. Jika anda mampu anda boleh mendapatkan SUV mewah seperti Rolls-Royce Cullinan dengan harga RM1.8 juta sebelum cukai.

Jika anda inginkan sebuah SUV yang mampu membuatkan kereta sports lain makan asap, Lamborghini Urus akan menguruskannya (pun jika mampu).

Tapi kalau anda seorang yang terlampau kaya amboinya dan mahukan sebuah super SUV dengan prestasi tinggi, mewah, kalis peluru lengkap dengan segala keperluan duniawi, ini mungkin jawapannya.

Mercedes-Maybach G650 Landaulet

Mercedes G-Class sebenarnya sudah lama wujud dan telah lama menjadi idaman ramai walaupun mempunyai tanda harga yang mahal dan sudah mencapai taraf ikonik.

Tapi model terakhir yang dihasilkan oleh Mercedes dan Maybach ini bernilai melebihi RM2 juta sebelum cukai. Ia bukan hanya model edisi khas biasa tetapi telah dipanjangkan sebanyak 23 inci untuk memuatkan tempat duduk belakang S-Class yang boleh dilaraskan sepenuhnya untuk keselesaan selain kaca pemisah antara penumpang dan pemandu sama seperti kereta super mewah lain.

Hanya 99 unit dihasilkan dan ia mempunyai kemasan yang menyamai model S-Class dengan segala aksesori mewah untuk keselesaan.

Bowler EXR-S

Bowler merupakan nama besar dalam perlumbaan rali off-road. Biasanya mereka menggunakan Land Rover sebagai asas ciptaan mereka tetapi kali ini mereka menggunakan Range Rover Sport sebagai asas.

Walaupun kesemuanya kemewahannya dikekalkan, ia sebenarnya sudah bersedia untuk membelah laluan off-road dengan sangat, sangat laju.

Ia juga dilengkapkan dengan roll-cage untuk keselamatan dan mampu membuat pecutan 0-100 km/j hanya dalam masa 4.2 saat.

Rhino GX

Jika anda seorang pengganas yang ingin menguasai dunia ataupun menjajah sebuah negara kecil seperti Mentakap atau Gua Musang, Rhino GX mungkin adalah jawapannya.

Ia tidak mempunyai kemasan dalaman melampau mewah ataupun selesa tapi ia dihasilkan menggunakan platform Ford yang yang memang kukuh dan dikuasakan oleh enjin V10 6.8-liter petrol atau pun 6.7-liter disel.

Dartz Prombrone Black Russian

Okey, tadi jika anda seorang pengganas tapi SUV yang satu ini memang untuk pengganas sebenar yang mahu menjajah negara tetangga.

Terdapat pelbagai varian Prombrone ditawarkan dengan material-material yang pelik untuk kemasan.

Black Russian ini dilengkapi dengan cermin kalis peluru, perlindungan bawah badan dan tayar 22 inci yang juga kalis peluru sebagai langkah berjaga-jaga.

Lexani Motor Cars Cadillac Escalade

Anda ada sebuah Cadillac Escalade tetapi merasakan ianya terlalu biasa?. Jangan bimbang, bawa saja ke Lexani dan mereka tahu apa yang harus dilakukan.

Dengan kos sekitar RM1.3 juta mereka akan melengkapkan SUV anda dengan pelbagai ciri mewah seperti televisyen 4K 48 inci, pilihan kemasan kayu mengikut selera anda, lampu-lampu gentian optik dan macam-macam lagi asalkan dompet anda cukup tebal.

Kalau anda sudah biasa ditembak musuh sewaktu bergerak ke mana-mana, Lexani bersedia untuk memastikan kenderaan anda kebal daripada tembakan musuh anda (dengan kos tambahan semestinya).

Karlmann King

Kalau semua itu tidak memuaskan hati anda dan anda mahukan sebuah super SUV yang mengunyah SUV lain sebagai sarapan, Karlmann King ialah pilihan yang tepat.

Dibangunkan menggunakan platform trak komersil Ford F-550 ia adalah cukup besar dengan pelbagai ciri mewah seperti peralatan hiburan, kawalan penyaman udara dan kedudukan tempat duduk boleh dikawal dengan aplikasi telefon pintar.

Modifikasi penuh akan mengurangkan duit anda di dalam akaun sekitar RM15 juta!

Mercedes-Benz G63 AMG 6×6

Pada sesetengah orang, 4 biji tayar belum cukup untuk memuaskan hati mereka. Peminat G-Wagen memang bertuah kerana Mercedes telah membangunkan versi 6×6 khusus untuk tentera Australia dan memasarkan sebahagiannya kepada umum.

Kesemua enam roda dikuasakan oleh enjin 5.5-liter twin-turbo V8 yang mampu menghasilkan 536 hp kuasa.

Mercedes memasarkan dalam jumlah yang cukup besar dan produksinya dihentikan pada 2015 untuk menjaga eksklusiviti.

Kalau anda masih berminat dengan G63 AMG 6×6 ini, harga pasarannya kini sudah mencecah RM3 juta!

Holland and Holland Range Rover

Sekali tengok nampak biasa macam Range Rover standard lain tapi model ini sebenarnya didedikasikan khusus untuk syarikat pembuat senjata terkenal Holland and Holland.

Keistimewaannya terletak pada bahagian dalaman khususnya yang dihasilkan dengan kayu walnut dan digilap sehingga bersinar sama seperti proses penghasilan senapang Holland and Holland.

Malah ia turut dilengkapi dengan kotak khusus untuk senjata keluaran mereka yang sememangnya bukan barang murahan.

Hennessey Velociraptor SUV

Hennessey biasa tidak mempedulikan bahagian luaran kenderaan tetapi lebih menumpukan kepada tingkat taraf prestasi.

Tapi Hennessey Velociraptor SUV ni lain sikit sebab ia merupakan modifikasi penuh pikap Ford F-250 Lariat kepada SUV sebenar dengan 3 baris tempat duduk.

Bahagian paling istimewa tentunya enjin baru 6.2-liter V8 650 hp dan bahagian luaran yang disalin dari Ford F-150 Raptor.

Kredit carbuzz.com

   

Google ads
Back to top button