Artikel PilihanPandu Uji

PANDU UJI PROTON X70 – JELMAAN KNIGHT RIDER DALAM SUV

Pada tahun 2018, Kumpulan Volkswagen menjual kereta sebanyak 6,244,900 unit kereta di seluruh dunia dan tahukah anda dari jumlah ini, 19.2% pelanggan Volkswagen memilih untuk membeli SUV, ataupun di dalam unit ia lebih kurang 1,200,000 unit SUV yang dijual di seluruh dunia.

Jadi tidak hairanlah apabila semua pembuat kenderaan sekarang berubah untuk menghasilkan SUV di dalam semua segmen bermula dari segmen B hingga ke segmen kereta sport mewah

Lamboghini menghasilkan Urus, Porsche ada Cayenne, Rolls Royce ada Cullinan, Volvo ada barisan SUV XC90, XC60 dan XC40 yang comel dan tangkas.

Manakala kita sebagai rakyat Malaysia harus berbangga dengan Proton X70. “Ala, ini product yang ditukar lencana” ujar seorang anak muda sambil mengelap hingus di atas motosikal Yamaha beliau (ayah yang belikan).

Hai anak muda, mari sini abang terangkan.

Proses menukar pemanduan dari sebelah kiri ke kanan tidak semudah menukar seorang ahli parlimen di dewan rakyat. Ada banyak kerja-kerja kejuruteraan dan pelbagai isu pematuhan keselamatan yang perlu dibuat oleh pasukan Proton.

Ada jurutera yang terpaksa berjauhan dengan keluarga dan ke Geely HQ untuk memastikan semua pematuhan dan jadual projek berjalan lancar, namun masih ada komentar sinis dari anak muda yang masih leka bermain PUBG. Untuk mereka bentuk sebuah kenderaan baru termasuk SUV bukanlah kerja mudah.

Paling cepat proses ini memakan masa 5 tahun. Ia bermula dengan proses mengenalpasti kehendak pengguna, konsep rekabentuk, penghasilan model tanah liat, pembuatan tooling (Kata-GO), mengenalpasti pembekal dalam dan luar negara, pilot production, proses pembuatan, dan barulah Proton X70 sampai di bilik pameran.

Kalau model ini diterima dengan baik oleh pembeli, maka bersyukurlah kerana Proton adalah tempat mencari rezeki buat beribu-ribu rakyat Malaysia termasuk dari sektor pembekal komponen kenderaan.

Jadi bagi memudahkan proses ini, jalan yang paling cepat dan pantas ialah, cari sebuah SUV yang sememangnya diterima baik, bawa ke Malaysia dan berikan ia kad pengenalan warna merah, dan mekapkan SUV ini dengan citarasa rakyat Malaysia.

Hasilnya, penasihat jualan Proton tidak cukup tangan menerima tempahan. Pasaran tempatan ada satu produk yang boleh bertanding dengan Honda CRV, Kia Sportage dan juga jenama premium dari benua Eropah.

Nama X70 ini sendiri melambangkan satu nama yang universal dan boleh disebut di mana-mana pelusuk dunia seperti Audi Q5 atau BMW M5 dan nama ini lebih sedap disebut berbanding nama lama Proton seperti Tiara.

Ada bau-bau bebola daging dengan barisan SUV Volvo XC60 berbanding bau bacang .

Hari ini kita akan bersembang secara santai berkenaan Proton X70, varian Premium 2WD yang hadir dengan warna yang cukup menawan iaitu Cinnamon Brown. Warna yang dipilih ini Nampak serasi dengan warna balutan kulit mewah Nappa Leather.

Rekabentuk dan Sistem Cesi

Cesi atau kerangka yang digunakan oleh Proton X70 adalah menggunakan cesi monocoque dimana kepingan besi dipotong, dibentuk melalui proses tempaan (stamping), dicantumkan melalui proses spot welding.

Berbanding dengan cesi ladder frame, cesi Proton X70 menerima dan mengagihkan daya kepada semua permukaan cesi secara sekata, sekaligus memberikan kelebihan pengendalian dan respon stering yang lebih baik. Cesi ini menggabungkan :

  1. aloi “hot press forming” pada bahagian depan enjin dan juga tiang B untuk memberikan perlindungan tambahan penumpang
  2. Advance High Strength Steel Pada Tiang A, C, Panel lantai tengah, dan Panel Lantai Sisi
  3. High Strength Steel pada Firewall engine, ruang enjin dan juga pada bahagian belakang

Hasilnya Proton X70 menunjukkan prestasi yang cemerlang apabila diuji oleh ASEAN NCAP dengan markah pematuhan 89.24 dari markah penuh 100.00. Sebagai perbandingan Honda CRV mendapat markah 88.80 rendah kurang 0.44 markah dari Proton X70.

Rekabentuk Luar

Pada asasnya, Proton X70 merupakan salinan fotostat kepada Geely Boyue dengan beberapa perubahan kosmetik yang dilakukan sebagai syarat SUV ini memperolehi kad pengenalan berwarna merah.

Rekabentuk asal Geely Boyue dibuat oleh sepasukan designer yang diketuai oleh Peter Horbury. Untuk pengetahuan pembaca, Peter Horbury adalah warganegara British yang memegang jawatan sebagai Timbalan President Rekabentuk Volvo.

Grill pada bahagian hadapan telah ditukar kepada corak dengan inspirasi batik dan juga ukiran kayu (hmm macam pengaruh Terengganu saja). Nasib baik tiada ukiran berbentuk keropok lekor yang digentel disini.

Manakala hiasan krom yang menjadi asas grill mendapat inspirasi dari busur. Lampu utama dengan teknologi LED mendominasi ruang hadapan dan diserikan dengan kehadiran Daytime Running Light terbina dalam.

Lampu kabus teknologi LED dipasang pada bahagian bawah bampar dan Llampu kabus ini juga bertindak sebagai “cornering lamp” yang akan terpasang secara automatik apabila stereng dipulas ke kiri atau kanan. Lampu ini cukup terang pada waktu malam dan saya risau ia akan menyilaukan mata pontianak dan penanggal yang berkeliaran.

Rekabentuk X70 sebenarnya kelihatan sasa, serius dan sedikit konservatif. Bagi anak muda yang berumur 20an, rekabentuk ini kelihatan bosan tanpa sirip terbang, spoiler yang mendapat inspirasi Starwars dan juga sirip radiator tersembunyi kemas di belakang bampar.

Rekabentuk ini akan lebih dihargai oleh golongan pertengahan 30an sesuai dengan sasaran pembeli Proton X70.

Jika dilihat dari sisi, Proton X70 menggunakan konsep “floating roof” dimana tiang B, C dan D menggunakan warna hitam seolah olah hanya tiang A yang menyokong struktur bumbung. Penegasan ini ditambah dengan kehadiran kemasan krom bermula dari struktur lantai, bahagian cermin pintu, dan juga “rail roof” membuatkan Proton X70 persis sebuah model Range Rover.

Kehadiran rim 19 inci yang dibalut dengan tayar Continental UC6 menambahkan lagi ketinggian SUV ini. Pada bahagian belakang, lampu kombinasi sekali lagi menggunakan teknologi LED bagi menghasilkan bentuk ringkas dan moden, tapi tidaklah serabut seperti model Volkswagen. Lampu kabus dipasang pada tengah bampar dan diserikan dengan kehadiran kemasan krom untuk ekzos.

Ia bagaikan pelakon filem Thor, Chris Hemsworth tapi tanpa baju besi, mantel dan juga kapak , tapi Chris yang memakai suit dan bertali leher dan mengiklankan product Hugo Boss Bottled. Dengan panjang 4519mm, lebar 1831mm dan tinggi 1694mm Proton X70 tampak segak, kemas dan bersahaja.

Enjin dan Kotak Gear

Enjin Proton X70 sebenarnya enjin yang dibangunkan oleh Geely dengan sesaran 1800cc dan teknologi pancitan bahan api terus. Injector bagi enjin ini dipasang terus ke dalam silinder bagi membolehkan “volumetric efficiency” maksima dicapai.

Kelebihan penggunaan teknologi ini juga membolehkan 3 mode pembakaran boleh dicapai samada ultra lean burn, stoikiometric ataupun rich fuel mixture untuk lebih kuasa. Dengan bantuan unit pendesak turbo, enjin ini menghasilkan kuasa 181hp pada 5500RPM dan tork setinggi 285Nm dari 1700-4400RPM.

Enjin ini mampu melepasi piawaian pencemaran udara Euro6 dan mendapat anugerah China Heart, Top 10 Engine award sebanyak 2 kali dan memberikan penggunaan bahan api yang optima iaitu 7.8 liter bagi setiap 100km atau 12.8km per liter, manakala tangki petrol Proton X70 pula sebesar 60 liter.

Pengiraan di atas kertas menunjukkan setangki petrol membolehkan Proton X70 bergerak sejauh 769km bagi setiap isian penuh petrol.

Enjin ini dipadankan dengan kotak gear 6 kelajuan bersama torq converter (6AT400F) yang dibekalkan oleh Drivetrain System International (DSI) yang menjadi anak syarikat kepada Geely semenjak tahun 2009 lagi.

Kesemua kuasa enjin ini dihantar pada roda depan menjadikan konfigurasi SUV ini sebagai FF (front engine, front wheel drive).

Terdapat 3 mode pemanduan yang boleh dipilih oleh pemandu, samaada Normal, Eco ataupun Sport. Tambah menarik, ketiga tiga mode pemanduan ini akan mengubah warna dan sistem meter Proton X70 dengan warna biru lembut untuk Eco, Perak untuk Normal dan merah untuk Sport mode

Rekabentuk Kabin Penumpang

Ada 3 tema utama yang mendominasi ruang kabin penumpang Proton X70 iaitu kulit Nappa, Aluminum Brush dan juga kaca. Kulit Nappa yang membalut semua kerusi dan kemasan pintu memberikan impak mewah, manakala kemasan akuminum menjadi tema utama pada papan pemuka, konsol gear dan juga kemasan pintu.

Jika anda pandang ke aras atas, penggunaan kaca untuk bumbung panaromic menjadikan ruang dalaman ini luas, moden dan bergaya. Jika anda ada isteri yang tidak tahu menahu pasal kereta, buang saja logo Proton dan tampal logo kereta mewah lain. Pasti beliau percaya.

Sistem infotainment 8 inci GKUI yang dipasang pada papan pemuka bukan sahaja berfungsi sebagai unit audio, tapi turut  berfungsi sebagai pusat kawalan untuk mengawal fungsi utama X70 seperti sistem ADAS (Advanced Driver Assist System).

Sistem ini juga dilengkapi dengan kawalan arahan suara yang membolehkan pemandu memberi arahan untuk membuka cermin sisi, membuka cermin panaromic, memberi laporan kajicuaca, mencadangkan tempat makan berdekatan, memberikan masa, dan memainkan lagu kegemaran anda.

Jadi boleh lah anda berangan memandu Knight Rider dan bercakap dengan kereta, dan walaupun respon sistem adalah terhad, gimik ini akan menjadi bualan setiap kali anda ditanya berkenaan kereta ini.

Jika anda rasa itu tidak cukup, Proton X70 datang dengan 9 speaker Kenwood lengkap dengan Amplifier dan juga subwoofer. Sistem bantuan kamera memberikan suapan 5 kamera yang dipasang pada X70 dan akan membantu anda setiap kali anda menghampiri tempat sempit.

Malah anda boleh mendapatkan “bird eye view” secara 360 darjah melalui skrin. Sistem penyaman udara memiliki pilihan “Dual Zone” iaitu dua pilihan suhu dan suis kawalan berada di atas konsol gear.

Sistem ini juga boleh mengaktifkan sistem “Air Purifier, dan juga kawalan suhu penyaman udara automatic. Cuma jika anda memandu pada waktu panas terik, cahaya matahari akan menyukarkan anda membaca maklumat paparan LCD penyaman udara.

Pada konsol tombol gear, terdapat butang pilihan Eco, butang pemanduan Sport, butang Hill Decent Control yang akan mengawal brek semasa menuruni cerun di offoad (sama seperti Land Rover), butang bantuan parkir, suis brek bantuan elektrik, suis Auto Hold yang akan membantu anda brek secara automatic semasa dalam kesesakan jalan raya dan juga suis kawalan ESC.

Sebaik sahaja saya duduk di tempat pemandu, X70 tidak akan cuba menyembunyikan fakta bahawa ini ialah SUV dan anda akan duduk lebih tinggi daripada biasa.

Tak seperti doula douli cekebum yang menyamar menjadi Doktor Sakit Perempuan, X70 menampilkan pemanduan tinggi SUV sejati.

Semua suis tadi akan mudah dicapai kecuali suis lampu kabus depan dan belakang yang agak sukar untuk dicapai. Dengan ketinggian 165cm dan berat 69kg, kerusi pemandu memuatkan badan dengan selesa dan saya sangat menghargai kehadiran bolster pada bahagian pinggang yang melekapkan tubuh sewaktu mengambil selekoh.

Kerusi bantuan kuasa ini boleh diubah dengan 8 pilihan manakala penumpang hadapan boleh diubah dengan 4 pilihan, dan bonus buat anda perehat kepala pun boleh diubah pada bahagian sudut. Kerusi ini sedikit keras, sama seperti kereta dari benua Eropah membantu anda duduk pada postur badan yang betul.

Roda steering balutan kulit memang sedap digenggam lengkap dengan semua suis bantuan pemanduan seperti kawalan audio, butang telefon bebas tangan, dan  suis Adaptive Auto Cruise.

Skrin LCD 7 inci sangat mesra pada mata samaada pada waktu panas terik ataupun pada waktu malam. Pada waktu siang ia cukup terang dan pada waktu malam cahaya yang dihantar cukup lembut dan tidak menyilaukan mata. Maklumat yang dipaparkan ialah seperti:

  1. halaju, (bunyi amaran akan diberikan sebaik sahaja anda melepasi 120km/jam)
  2. RPM meter
  3. Baki petrol dalam tangka
  4. Suhu enjin
  5. Kedudukan gear semasa (D1, 2, 3, 4, 5 dan 6)!
  6. tekanan angin semua tayar
  7. dan juga sistem bantuan pengawasan lorong LDW (Lane Departure Warning)
  8. Penggunaan petrol semasa

Dinamik Pengendalian, Suspensi dan Steering

Sebaik sahaja memandu X70, penulis terpaksa membiasakan diri seketika dengan pelbagai sistem yang dipasang yang akan memberikan amaran setiap kali anda lupa memberikan signal untuk menukar lorong dan memberikan amaran titik buta pada sebelah kiri dan kanan kereta.

Respon dari pedal minyak sangat natural pada kelajuan bandar, malah dalam mode pemanduan Normal ia sudah cukup untuk memberikan pergerakan lincah bagi mengikuti trafik di bandar.

Dalam mode normal, steering memberikan maklumbalas yang semulajadi, ringan ketika perlahan dan sedikit berat pada halaju tinggi. Namun jika anda cuba mengubah mode steering kepada Sport di dalam sistem ADAS, stering terasa sedikit padat dan sesuai dipandu laju membelasah selekoh tajam dengan selamba badak.

Tapi pada kebanyakan masa, saya lebih suka membiarkan stering dalam keadaan mode normal.

Prestasi enjin sebenarnya boleh dipuji, dan mampu menghamburkan kuasa setinggi 181hp, kurang 12hp berbanding enjin Honda CRV yang datang dengan teknologi dual VTC (dual VVT-i), tapi Proton X70 menghasilkan 285Nm tork pada 1700RPm, 42Nm lebih tinggi dari CRV.

Walaubagaimanapun, berat X70 sekitar 1695kg ini sedikit menumpulkan kuasa pecutan. Pecutan dari 0-100km/h mengambil masa 11.5 saat bagi saya sudah cukup, dan kuasa yang ada mampu membantu X70 mendaki kawasan berbukit pada kelajuan lebuhraya tanpa sebarang masalah.

Namun jika anda memaksa Proton X70 pada halaju yang lebih tinggi (maaf tidak dapat dinyatakan, kalau kene saman memang tiada maaf) enjin akan terasa mengalami sedikit lambat respon sekitar 0.5 saat pada 5000RPM. Ini kerana tork maksimum hanya akan dikekalkan sehingga 4400RPM.

Pada mode pemanduan Normal, kotak gear 6 kelajuan ini terasa santai dan penukaran dibuat tanpa ada sebarang gegaran pada kabin. Anda akan perasan apabila penunjuk gear berubah nombor dari D1, D2 dan akhir sekali D6.

Pada kelajuan 80km/jam, bacaan RPM hanya 1700RPM pada gear 6. Jika anda memilih mode Eco, respon enjin terasa lambat seperti menunggu waktu berbuka di bulan Ramadhan, dan kotak gear sentiasa akan berada pada gear tinggi menjadikan prestasi X70 hambar dan lemau seperti biskut lutut masuk angin.

Jika memandu di laluan berliku dan berbukit, ubah sistem steering kepada Sport dan transmisi kepada Sport dan X70 akan terasa lincah seperti anak anda berlari di taman permainan dan respon enjin menjadi cepat dan gagah. Tombol gear pula memberikan rasa padu yang akan memberikan bunyi mekanikal “thud” setiap kali anda mengubah kedudukan dari P kepada D.

Proton X70 menggunakan topang McPherson pada roda depan manakala roda belakang menggunakan sistem gantungan Multilink sama seperti CRV dan juga BMW.

Sistem gantungan bebas pada roda depan dan belakang ini menampung berat 1695kg dengan sangat sempurna, memindahkan berat X70 dari depan ke belakang, kiri ke kanan dan juga membantu X70 mengambil selekoh dengan tenang walaupun ada bump atau lubang pada tengah selekoh.

Kelebihan sistem gantungan bebas ini ialah, jarak antara roda (wheelbase) akan kekal sama walaupun ketika selekoh atau roda bergerak ke atas dan bawah.

Semua permukaan jalan yang rosak, berlopak dan garisan kuning dilalui dengan selesa, seolah olah tayar dibalut dengan span lembut. Semua pergerakan dalam kabin terasa santai dan sopan, tidak mudah melatah seperti SUV lain.

Malah dalam ujian di kawasan lapang, pihak kami gagal untuk membuatkan Proton X70 ini terbabas, malah kami gagal membuatkan sistem ESC hidup dan merampas kawalan dari pemandu.

Jika Proton X70 dibelasah ketika selekoh tajam, ia akan patuh pada arahan stering dan sistem suspensi akan membantu anda mengambil selekoh S dengan sempurna walaupun meter halaju mencecah 120km/jam.

Tayar Continental UC6 yang dipasang langsung tidak menjerit protes, malah saya pasti corak bunga tayar sudahpun berbekas pada permukaan selekoh tadi.

Prestasi X70 ketika pemanduan agresif dan juga keselesaan ketika melalui jalan tidak rata wajib dipuji dan saya masih kagum bagaimana jurutera menghasilkan sistem suspensi yang lembut namun agresif pada selekoh. Ibarat anda mencampurkan air dengan minyak, ia agak mustahil tapi Proton X70 berjaya melakukannya. It’s blend beautifully.

Berikut ialah kadar bunyi dan bacaan RPM yang dicatat oleh Proton X70 berdasarkan halaju:

Halaju (km/jam)RPMBunyi dB
Idle/080035
801000-150050
100190058
110200060
120210065
130220068

Adaptive Auto Cruise

Proton X70 varian 2WD Premium ini didatangkan dengan satu ciri moden iaitu Adaptive Cruise Control yang membolehkan sistem mengambil alih tugas pemandu dengan mengawal input pedal minyak dan juga brek.

Pada halaju normal di lebuhraya, sebaik sahaja diaktifkan, kamera dan sensor akan berfungsi memantau kereta yang berada di depan. Jika kereta di hadapan membrek, X70 akan membrek dan bergerak dengan halaju yang sama dengan kereta depan.

Sebaik sahaja kereta di depan masuk ke lorong perlahan, X70 akan menyambung semula halaju yang ditetapkan oleh pemandu. Pemandu juga boleh menetapkan jarak selamat antara X70 dengan kereta depan.

Ingat, hanya gunakan ACC di lebuhraya jika keadaan selamat. Semasa mula mula digunakan, sistem ACC membrek seolah olah ia dipandu oleh Terminator model 800, namun lama kelamaan sistem brek auto menjadi semakin lembut dan natural seperti dipandu oleh manusia.

Proton X70 juga datang dengan beberapa tambahan ciri yang akan membuatkan ia terasa lebih mahal seperti:

  1. Lampu dengan Logo proton yang akan menyalakan permukaan jalan setiap kali pintu dibuka
  2. Pencahayaan lampu waktu malam dengan warna krim lembut pada kabin, ruang kaki dan juga ruang pintu
  3. Proton Links App (dipasang pada telefon pintar) yang akan memberikan kedudukan kereta, sejarah perjalanan kereta (bagus untuk isteri memantau suami gatal, bukan penulis) dan juga baki petrol semasa
  4. Sistem ADAS suite merangkumi brek kecemasan automatic, sistem amaran perlanggaran, Lane Departure Warning, Sistem Amaran Titik Buta dan Intelligent High Beam Control
  5. Cermin sisi akan terbuka secara automatik sebaik sahaja pintu dikunci. Pemandu boleh membatalkan fungsi ini dengan hanya sentuhan jari
  6. Penggunaan penutup enjin pada ruangan enjin memberikan sentuhan yang lebih kemas. Tiada wayar yang berselirat dalam ruangan enjin seperti CRV

Penggunaan petrol untuk Proton X70 sepanjang ujian ini ialah 8.91km bagi setiap liter petrol walaupun Proton X70 mengiklankan penggunaan petrol sekitar 12.8km/liter petrol (7.8liter per 100km).

Antara faktor yang menyumbangkan kepada penggunaan petrol tinggi ialah kedudukan yang tinggi, roda 19 inci dan enjin yang baru digunakan 3000km.

Namun bagi pembeli dengan gaji RM10,000 sebulan, saya rasa ia tidak menjadi masalah. Jika anda memandu laju, X70 akan menyedut petrol seperti anda menyedut minuman Slurpee pada hari yang panas.

Selain dari kaya dengan flora dan fauna, Malaysia juga kaya dengan lebuhraya bertol yang merentangi dari negara Johor ke negeri Perlis dan dari Gombak, hingga ke Kuala Terengganu.

Tanpa alat pengimbas kad tol, Proton X70 terpaksa berharap kepada peranti Smart Tag, sedikit sebanyak mencacatkan imej premium X70. Mungkin ini ciri yang menampakkan X70 kurang bersifat Malaysia.

Rumusan

Membeli Proton X70 varian Premium 2WD ibarat sebuah kisah cinta. Anda baru pulang dari belajar di luar negara, membawa pulang bakal isteri berkacukan Cina dan Sweden.

Keluarga anda menerima isteri anda seadanya, tapi jiran sekampung, tok batin kampung sebelah dan makcik nasi lemak akan mempertikaikan kenapa anda tidak memilih orang luar yang tidak tahu masak kari ayam sebagai isteri.

Pedulikan itu semua kerana, pada harga RM 123,800 Proton X70 merupakan sebuah SUV keluarga yang sangat padat dengan pelbagai ciri sofistikated dan anda akan merasakan setiap sen yang dibelanjakan amat berbaloi berbanding dengan pesaing lain yang berharga Shimon Perez (maksudnya mahal la).


Google ads
Back to top button