Buletin

WULING ALMAZ – SUV GAYA MEWAH UNTUK INDONESIA

Kalau pembaca masih ingat, Brader Karrager pernah membawakan kisah sebuah jenama China yang giat menyerang pasaran kenderaan di Indonesia terutamanya segmen MPV. Setelah tampil dengan model Confero S dan Cortez, Wuling kini bersedia untuk menawan segmen SUV pula apabila menampilkan Almaz sebagai taruhan terbaharu.

Nampak gayanya, wabak SUV ini kian merebak di Indonesia. Jikalau di tempat kita hangat dengan Proton X70, Wuling Almaz ini juga berada dalam liga yang serupa, sebuah SUV dengan gaya mewah.

Di China, ianya turut dikenali dengan nama Baojun 530. Keputusan PT SGMW Motor Indonesia untuk membawa masuk ke pasaran Indonesia dilihat suatu percaturan yang agak berani. Walau pun nampak macam kerja senang sekadar tukar logo, gril dan juga bampar, harus diingat ianya melebihi sekadar itu terutamanya apabila melibatkan aspek teknikal daripada pemanduan sebelah kiri ke sebelah kanan. Leceh juga bab wiring ni kan. Tapi kalau tak menyala lampu signal pun pasti tiada siapa yang perasan. Iyalah. Guna pun tidak signal tu kan?

Dilihat bahagian rupa luaran SUV ini, jelas menampilkan imej sasa tapi dalam masa yang sama masih lagi kelihatan kacak, terutamanya dengan penggunaan lampu jenis LED. Turut bersedia untuk menyuluh gelitanya malam adalah lampu kabus di bahagian bawah.

Jelas sekali bahagian hadapan dan sisi menampakkan rekaan yang agak sempurna bagi sebuah SUV ini. Rim bersaiz 17 inci itu juga kelihatan ngam. Tidak terlalu kecil. Cuma bahagian belakangnya sedikit pelik apabila potongan berlekok pada bonet. Punyalah berseni.

Di bahagian dalamannya turut menampilkan imej mewah dengan balutan kulit berwarna gelap digunakan. Itu belum lagi melihatkan sistem hiburan berintegrasi dengan sistem pendingin hawa menggunakan skrin sesentuh bersaiz 10.4 inci. Besar oi! Tapi tiada apa yang hendak dihairankan. Kebanyakan model kenderaan China sememangnya amat menggemari memasang panel skrin sesentul bersaiz bagak. Mentang – mentanglah gadjet buatan China ni murah. Selamba aja sumbat sebiji dalam kenderaan.

Tapi melihatkan bumbung panaroma ini menjelaskan lagi definasi mewah pada Almaz ini. Baru feeling orang kaya apabila melihatkan bulan dan bintang di langit. Begitu juga dengan penggunaan Electric Parking Brake (EPB) lebih membuatkan ciri mewah makin jelas terasa.

Tubuh Wuling Almaz ini sememangnya besar. Sudah tentu enjin yang berkuasa amat diperlukan. Tapi, sudah semestinya perlu jimat minyak iya tak? Maka, SUV ini hanya menggunakan enjin 1.5 liter dengan pendesak turbo yang turut dipadankan dengan kotak gear CVT bagi memastikan kelancaran pemanduan. Bolehlah nak dapat 140 HP dan tork 250 Nm .

Selain daripada kelengkapan seperti Butang Penghidup dan Kamera 360′, Almaz ini khabarnya turut dipasangkan dengan sistem audio agak handal juga, Infinity HK. Sedap sikit nak layan dangdut.

Dan kini model jelmaan daripada Baojun 530 ini sudah boleh ditempah oleh rakyat Indonesia pada harga bermula Rp 367.500.000 hingga Rp 378.000.000 (RM106,619 – RM109,665). Kalau ikut ramalan Brader Karrager, dengan reputasi jenama Wuling yang agak baik, untuk menjualnya kepada golongan aristokrat di sana tidaklah sesukar mana.

BACA : JENAMA WULING KINI DI PASARAN INDONESIA

BACA : WULING SEDIA MENCABAR TOYOTA INNOVA PULA

Google ads
Back to top button