;
Buletin

ADA TEMPAT UNTUK HAFIZH DI MOTO2 – BOS TECH 3

Pemilik pasukan Tech 3, Herve Poncharal memberitahu bahawa sudah ada tempat disediakan Hafizh Syahrin dalam kelas Moto2 jika beliau mahukannya.

Terdahulu, Hafizh telah dimaklumkan yang posisi beliau sebagai pelumba satelit KTM Tech 3 dalam kelas MotoGP akan digantikan dengan Brad Binder untuk musim 2020.

Pelumba kebanggaan negara itu telah membuat keputusan untuk kembali ke Moto2 berikutan ketiadaan kerusi kosong dalam kelas premier dan sebelum ini juga Hafiz memaklumkan beliau sedang menimbangkan “dua atau tiga” pilihan bagi kelas intermediate itu.

Salah satunya ialah Tech 3 yang mana berkemungkinan besar beliau akan digandingkan bersama Marco Bezzecchi. Marco kini telah menandatangani kontrak dua tahun bersama skuad KTM.

Poncharal memberitahu MotoGP.com: “Saya telah bercakap dengan Hafizh lebih awal berikutan kemasukan Brad Binder bagi menggantikannya. Beliau tidak terkejut kerana sudah bersedia dengan pengumuman penyertaan Brad Binder dalam pasukan KTM Tech 3 MotoGP.

“Beliau telah memberi banyak sumbangan pada pasukan ini. Beliau menyelamatkan pasukan ketika kami kehilangan khidmat Jonas Folger tahun lalu.

“Agak jelas dari awal, beliau ada pilihan samada untuk terus menyertai kami bagi kelas Moto2 tahun depan. Pilihan di tagan beliau. Saya berharap dapat memuktamadkan barisan pelumba Moto2 kami menjelang pusingan di Silverstone nanti”

Ketika ditanya wartawan Motorsport.com samada beliau berminat untuk terus bersama Tech 3 Hafizh memberitahu: “Saya ada satu atau dua pilihan lain dan Herve berminat untuk menghantar saya untuk pasukan Moto 2.

“Pada saat ini, saya belum dapat buat sebarang keputusan. Tapi dalam saingan Moto2 bersama KTM ia tidaklah terlalu susah untuk memahami kareteristik jentera. Binder juga mempamerkan aksi yang bagus sebelum cuti musim panas lepas”

Hafizh juga memberitahu beliau juga diberi pilihan untuk kembali ke pasukan Petronas Sprinta, tempat di mana beliau berkhidmat pada 2014-2017 sebelum menyertai kelas premier MotoGP.

“Saya berbincang dengan Herve, saya juga berbincang dengan Dato Razlan Razali. Saya tak dapat kata 100 peratus. Saya perlu tunggu, mungkin pada pusingan di Austria saya akan beritahu mana pilihan saya.”

Tags
Google ads
Back to top button