;
Motosikal

3 PASUKAN MOTO2 BERMINAT DAPATKAN KHIDMAT HAFIZH

Sedia maklum bahawa pelumba MotoGP negara, Hafizh Syahrin berkemungkinan besar tidak akan dapat bersaing dalam kelas MotoGP untuk musim 2020.

Ini berikutan pasukannya sekarang, KTM Tech3 sudahpun menandatangani pelumba kelahiran Afrika Selatan, Brad Binder untuk menyertai mereka, sekali gus menggantikan Hafizh.

Dengan tiada lagi slot untuk bersaing dalam kelas premier, Hafizh nampaknya terpaksa akur dan tiada pilihan selain turun ke kelas Moto2 pada mulai tahun depan jika mahu terus berlumba.

Perkara itu diakui oleh Ketua Pegawai Eksekutif Sepang International (SIC), Datuk Razlan Razali. Beliau juga menyatakan pihaknya akan cuba untuk membantu pelumba muda itu.

“Selain daripada dua pasukan yang menunjukkan minat, mungkin akan ada satu lagi pasukan Moto2 yang mahu mendapatkan khidmat Hafizh. Kita tengok macam mana, sebab masih ada masa lagi.”

Razlan yang ditemui pada majlis pelancaran Shell Malaysia Motorcycle Grand Prix 2019 di Publika malam semalam juga ada nasihat untuk Hafizh.

“Hafizh perlu terus bekerja keras walaupun masih belum ada kontrak untuk tahun depan. Dia kena tunjuk kepada pasukan-pasukan yang mungkin berminat untuk mendapatkan khidmatnya.

“Dia masih lagi seorang pelumba yang berkaliber, komited dan perlu tunjukkan pentensi dirinya. Tidak boleh rasa terlalu kecewa atau putus asa kerana ini adalah satu proses yang setiap pelumba lalui,” kata Razlan.

Ditanya mengenai apakah kriteria pasukan yang perlu diambil kira oleh Hafizh sebelum menyertai mana-mana pasukan, Razlan memberitahu, Hafizh harus memilih pasukan yang menggunakan chasis Kalex.

Ini kerana ia merupakan chasis yang terbaik setakat ini kalau hendak dibandingkan dengan chasis lain.

Moga ada rezeki buat Hafizh untuk terus bersaing dalam musim perlumbaan tahun depan. Sama-sama kita doakan.

Google ads
Back to top button