BuletinMotosikal

“SAYA DAN HAFIZH HADAPI MASALAH YANG SAMA” – POL ESPARGARO

Memilih tayar jenis “hard” pada perlumbaan MotoGP di Sachsenring di Jerman minggu lalu, pelumba KTM mendakwa ada sesuatu yang tidak kena dengan jentera KTM yang ditunggangnya.

Pol Espargaro bergelut dengan masalah kehilangan cengkaman pada roda belakang dan hanya menamatkan perlumbaan di tempat ke 12. Ia persembahan yang teruk jika dibandingkan prestasi sama yang dicatatkan oleh Bradley Smith di kedudukan ke 10 tahun lalu dengan catatan 21.5saat lebih pantas di litar yang sama.

“Bagi kami, ia seperti perlumbaan 15 pusingan,” ujar Espargaro .

“Selepas itu, tayar terus habis sepenuhnya, jahanam.

“Hafizh juga hadapi masalah yang sama, bagi saya ia tidak normal dan ini perkara yang sangat membimbangkan. Mustahil, tayar boleh ‘botak’ begitu cepat. Kami perlu melihat apa sebenarnya yang berlaku”

Untuk rekod, dalam perlumbaan minggu lalu, kesemua pelumba KTM memilih tayar kompaun keras dan hampir semuanya menghadapi masalah yang sama, tayar botak lebih cepat dari yang diramalkan.

“Masalahnya, saya tidak paksa dan lanyak pun motosikal ni. Kami dah periksa data dan suhu tayar seimbang sepanjang perlumbaan. Sepatutnya tayar kekal beri cengkaman sampai habis perlumbaan.

“Saya tahu bila masanya saya melanyak tayar ni sebab anda boleh rasakannya. Kali ini saya benar-benar fokus dalam perlumbaan untuk menjimatkan tayar. Saya tahu, jentera KTM lebih mudah menggelungsur (spin) berbanding jentera lain kerana kami perlu lebih masa condong di selekoh berbanding orang lain.

“Jadi, saya sentiasa berhati-hati dengan pendikit, terutamanya pada awal perlumbaan ketika semua orang meluru ke depan. Saya hilang beberapa posisi, tapi dengan kedudukan itu sepatutnya saya habiskan perlumbaan dengan kedudukan lebih baik.

“Tapi di sini, walaupun saya menunggang dengan cara yang selamat (dan menjimatkan tayar), tayar masih lagi habis terlalu awal. Saya tak tahu. Kami perlu fikir apa sebenarnya yang berlaku.

“Keadaan paling teruk ialah pada selekoh ke-12 sebelum selekoh akhir. Saya seolah-olah menunggang di litar offroad! Jentera ini menggelungsur terus sebaik sahaja saya menyentuh pendikit hinggalah ke penjuru sempadan selekoh.

“Saya tidak kata ini masalah Michelin. Tapi pasti ada sesuatu yang tak kena kali ini. Atau tayar ni memang tak sesuai dengan kami pada perlumbaan ni, atau kami telah buat sesuatu yang salah. Saya tidak tahu. Tapi yang pastinya, ada sesuatu yang tak kena dan tidak normal pada motosikal ini.

“Saya benar-benar terkilan. Saya tidak dapat menunggang pun dan tak dapat berbuat apa-apa. Tayar hilang cengkaman dan ia sangat berbahaya.

Dalam perlumbaan yang sama, rakan sepasukannya Johann Zarco hanya bertahan dua pusingan selepas terbabas di Turn 3.

Google ads
Back to top button