Buletin

ART OF SPEED 2026 KEMBALI BERSAMA FESTIVAL SOUNDCIRCUS PADA 1 & 2 OGOS INI

Acara budaya automotif dan seni kustom terkenal, Art of Speed Malaysia (AOS) 2026, bakal kembali menggegarkan Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS) pada 1 dan 2 Ogos ini.

Memasuki edisi ke-15 sejak penganjuran sulungnya, festival yang menghimpunkan elemen automotif, seni dan budaya pop itu akan berlangsung dari jam 10 pagi hingga lewat malam sepanjang dua hari acara.

Dengan ruang tertutup seluas lebih 452,000 kaki persegi serta kawasan luar yang meliputi kira-kira 320 ekar, MAEPS bakal dipenuhi pelbagai pameran, aktiviti dan persembahan yang dijangka menarik kehadiran peminat dari dalam dan luar negara.

Salah satu tarikan utama tahun ini ialah kembalinya Festival SoundCircus, yang tidak dianjurkan dalam dua edisi sebelum ini. Festival muzik tersebut akan mengambil alih kawasan seluas empat ekar dengan enam pentas persembahan serta pelbagai aktiviti hiburan.

Pengarah Festival Art of Speed Malaysia dan Festival SoundCircus 2026, Asep Ahmad Iskandar berkata penganjuran tahun ini menandakan evolusi festival yang semakin berkembang dalam menyokong industri kreatif serta pelancongan negara.

Menurutnya, Festival SoundCircus sejak diperkenalkan pada 2017 berfungsi sebagai platform muzik yang memberi ruang kepada artis mapan dan bakat baharu, khususnya daripada komuniti muzik bebas dan alternatif.

“Pada 2019, festival ini berkembang daripada ruang dalaman kepada kawasan terbuka di MAEPS dan berjaya menarik lebih 5,000 pengunjung. Perkembangan ini membuktikan pengaruhnya yang semakin meningkat dalam industri hiburan langsung,” katanya.

Persembahan istimewa pelbagai konsep

Bagi edisi kali ini, beberapa konsep persembahan unik akan diketengahkan, termasuk kolaborasi dua legenda muzik Nusantara menerusi segmen “Takhta Ratu Nusantara” yang menampilkan Cokelat bersama Ella.

Selain itu, gabungan dua generasi kumpulan rock menerusi konsep “Legends X Renegades” akan menyatukan kumpulan Jemson dan Def Gab C di pentas yang sama.

Antara konsep lain yang diperkenalkan ialah “Hari Slatan”, persembahan khas ulang tahun kumpulan Slatan 0108, selain segmen “Dikir Kustom” yang menampilkan penyampai radio Issey Fazlisham bersama The Clique dengan elemen muzik rakyat tempatan.

Turut menarik perhatian ialah persembahan istimewa “Power Pop Yeah Yeah” yang menyaksikan gandingan dua generasi apabila kumpulan Couple berkongsi pentas dengan Adnan Othman.

Festival ini juga bakal meraikan genre muzik keras menerusi segmen “30 Years of Asian Hardcore” yang menghimpunkan beberapa kumpulan hardcore dari rantau Asia.

Lebih 50 pemuzik bakal beraksi

Persembahan Festival SoundCircus 2026 akan diumumkan dalam tiga fasa. Setakat pengumuman Fasa 1 dan 2, seramai 54 pemuzik dari Malaysia, Indonesia, Singapura dan Jepun telah disenaraikan.

Antara nama yang bakal membuat persembahan termasuk The Jansen, Masdo, Midnight Fusic, Nadin Amizah dan Tenxi.

Selain itu, penghibur lain termasuk Sweetass, Johny Comes Lately, Krusty, After Midnight, Iron Gaze, Freshtown All Stars, Iqbal M serta kumpulan dari Singapura, Overthrown.

Menurut Asep, barisan artis untuk Fasa 3 akan diumumkan dalam masa terdekat.

Sokongan Tourism Selangor

Penganjuran tahun ini turut mendapat sokongan Tourism Selangor sebagai rakan strategik bagi kedua-dua festival tersebut.

Kerjasama itu bertujuan memperkukuh kedudukan Selangor sebagai destinasi pelancongan budaya, industri kreatif dan acara gaya hidup berskala besar di rantau ini.

Melalui inisiatif tersebut, Festival SoundCircus dijangka menarik lebih ramai pengunjung dari dalam dan luar negara sekali gus memberi impak positif kepada sektor pelancongan, perhotelan dan ekonomi tempatan.

Tiket dan maklumat acara

Tiket masuk Art of Speed 2026 dijual pada harga RM35, manakala tiket Festival SoundCircus pula ditawarkan antara RM89 hingga RM169 bagi kategori kemasukan umum.

Kategori Rockzone pula berharga antara RM139 hingga RM219, sementara pakej Hero Guest Care Pack dijual pada harga RM188 hingga RM388.

Penjualan tiket bermula dengan Fasa 1 yang telah dibuka sejak 1 Februari lalu, diikuti Fasa 2 bermula 12 Mac. Fasa 3 akan diumumkan kemudian, manakala tiket juga boleh dibeli di pintu masuk pada hari acara berlangsung.

Google ads
Back to top button