Artikel Pilihan

RX-777 – MODEL ONE-OFF HASIL DARI VISI UNIK SEORANG LELAKI

Ini mungkin satu projek modifikasi yang paling menyeluruh pernah dihasilkan oleh seorang demi memenuhi visi beliau untuk mencatat kelajuan 200 mph (321km/j) menggunakan platform RX-7 FD.

Mazda RX-7 milik Adam Taylor ini telah menjalani proses make-over yang sangat menyeluruh sehingga mengubah keseluruhan rupa asal kereta sport terkenal Jepun ini. Hasilnya lahirlah sebuah model yang biasanya dilihat dalam komik-komik adiwira yang mungkin digunakan oleh watak hero dan mungkin juga sebaliknya.

Berapa lama agaknya masa yang diambil untuk proses modifikasi ini? Setahun? Dua tahun? Jauh lagi tu. Taylor telah menghabiskan masa 10 tahun untuk merebentuk dan menghasilkan komponen panel-panel badan daripada kepingan logam. Ini termasuklah rekaan fender baru yang besar gedabak bagi menampung rim-rim bersaiz gergasi itu. Kini kereta ini adalah lebih lebar daripada Dodge Viper tetapi masih mengekalkan jarak tapak roda seperti sebuah Mazda MX-5.

Lampu pop-up hadapan dikeluarkan dan digantikan dengan unit yang diperolehi daripada Aston martin Vantage manakala susunan lampu belakang pula menggunakan setup yang sama seperti sebuah Lotus Elise.

Walaupun sekali tengok nampak kelakar tetapi hasilnya memang kelihatan kemas dan agak dramatik. Ia juga kelihatan seimbang dari hadapan sampai ke belakang.

Bagi memastikan kuasa enjinnya sepadan dengan rupa baru yang agak gila ni, Taylor menggantikan enjin rotary asal dan digantikan dengan enjin LS V8 yang diubahsuai secara ektensif. Ia kini mampu menghasilkan 950 bhp kuasa pada 8,000 rpm.

Bila kuasa tadi digandingkan dengan berat keseluruhan kereta 1,224 kilogram, RX-777 ini mampu membuatkan biji mata anda terjulur keluar jika pemandu menekan pedal minyak dengan sepenuhnya.

Sudah tentu bukan semua pihak akan menyukai kereta ini tetapi itu bukan satu masalah buat pemiliknya. Bahkan itu memang hak beliau untuk melakukan apa saja dengan kereta milik beliau. Saksikan supercar 200 mph milik Adam Taylor dalam pautan video di bawah. Kalau Tiara buat macam ni pun okey kan?    

Google ads
Back to top button