
ASTON MARTIN MASUK RALI DAKAR, DIWAKILI FERNANDO ALONSO, SÉBASTIEN LOEB DAN LUCAS MORAES!
Aston Martin Racing bakal membuat penampilan sulung dalam perlumbaan rali lasak Dakar 2027 menerusi jentera khas Aston Martin Dreadnought.
Penyertaan itu membabitkan tiga buah jentera dengan barisan pemandu yang terdiri daripada juara dunia Formula 1 dua kali, Fernando Alonso, juara dunia rali sembilan kali, Sébastien Loeb dan juara bertahan FIA World Rally-Raid Championship, Lucas Moraes.
Program perlumbaan itu akan dikendalikan bersama Prodrive, pakar kejuruteraan sukan permotoran dari Britain yang bertanggungjawab membangunkan, membina dan mengendalikan ketiga-tiga jentera Dreadnought sepanjang Dakar 2027.
Menariknya, Dreadnought pada asalnya merupakan kenderaan spesifikasi ketenteraan digital yang direka khas untuk permainan video Call of Duty: Modern Warfare 4.
Inspirasi reka bentuk tersebut diterjemahkan kepada sebuah jentera rali sebenar yang dibangunkan khusus untuk menghadapi cabaran perlumbaan jarak jauh di kawasan muka bumi ekstrem.
Dakar edisi ke-49 dijadualkan berlangsung dari 9 hingga 23 Januari 2027, melibatkan 12 peringkat perlumbaan dengan jarak keseluruhan 6,805km.
Fernando Alonso kembali ke Dakar

Penyertaan Fernando Alonso menandakan kepulangannya ke Dakar selepas tujuh tahun.
Pemandu Sepanyol itu pernah menyertai perlumbaan berkenaan pada 2020 menggunakan Toyota Hilux dan menamatkan saingan di tempat ke-13 keseluruhan.
Alonso akan bergandingan dengan Marc Coma sebagai pemandu bersama.
Coma merupakan pemenang kategori motosikal Dakar sebanyak lima kali dan pernah bekerjasama dengan Alonso dalam penampilan sulungnya pada 2020.
Selain pengalaman dalam Formula 1, Alonso turut mempunyai rekod kemenangan dua kali dalam perlumbaan 24 Hours of Le Mans dan sekali dalam Rolex 24 at Daytona.
Sébastien Loeb dan Lucas Moraes lengkapkan barisan

Dua lagi jentera Aston Martin Dreadnought akan dipandu oleh Sébastien Loeb dan Lucas Moraes.
Loeb merupakan juara dunia FIA World Rally Championship (WRC) sembilan kali.
Beliau mempunyai pengalaman luas dalam Dakar dengan 28 kemenangan peringkat dan lima kali menaiki podium.
Pencapaian terbaiknya setakat ini ialah tempat kedua yang diraih sebanyak tiga kali.
Loeb akan bergandingan dengan Fabian Lurquin dari Belgium.

Sementara itu, Lucas Moraes akan bergandingan dengan Pablo Moreno dari Sepanyol.
Pemandu Brazil berusia 36 tahun itu pernah menamatkan Dakar di tempat ketiga ketika penampilan sulung pada 2023.
Moraes turut mencatat kejayaan memenangi FIA World Rally-Raid Championship 2025, termasuk kemenangan dalam perlumbaan BP Ultimate Rally Raid Portugal.
Prodrive bangunkan tiga jentera Dreadnought

Prodrive dipilih sebagai rakan kejuruteraan Aston Martin bagi program Dakar 2027.
Syarikat itu mempunyai pengalaman selama 40 tahun dalam pembangunan jentera perlumbaan, termasuk penyertaan dalam WRC dan Dakar.
Prodrive juga pernah menaiki podium Dakar sebanyak tiga kali dalam tempoh lima tahun lalu sebelum memenangi perlumbaan tersebut tahun ini menggunakan jentera reka bentuk dan binaannya sendiri.
Bagi program kali ini, Prodrive bertanggungjawab sepenuhnya terhadap pembangunan dan pembinaan jentera Dreadnought serta pengendalian ketiga-tiga kereta sepanjang perlumbaan.





