Buletin

AUDI A6 AVANT – CONTOH REKA BENTUK TIDAK PERLU DRAMA SANGAT

Sebagai rakyat Malaysia yang sukakan kereta, kita boleh dikira bertuah sebab di sini berlakunya pertembungan di antara dua benua yang hebat dalam pengeluaran kereta.

Kita boleh lihat pelbagai jenama Eropah dan Asia berseling-seli di atas jalan raya. Ada Peugeot, BMW, Mercedes-Benz, BMW, Kia, Hyundai, Honda, Toyota dan semestinya dua jenama negara kita sendiri iaitu Proton dan Perodua.

Dalam beratus-ratus negara di atas dunia ini, hanya beberapa negara sahaja dapat menyaksikan senario sebegini dan jumlah itu semakin mengecil apabila kenderaan nasional diambil kira.

Disebabkan pertembungan ini, kita boleh menyaksikan pelbagai jenis reka bentuk dibawa. Ada yang tajam menikam seperti Toyota Vellfire atau Honda Civic dan ada juga jenis tenang dan elegan seperti Volkswagen, Volvo dan Audi.

Tidak dinafikan reka bentuk beralun dan dramatik ini sudah menjadi trend dan kegemaran ramai. Lihat sahaja jumlah jualan Toyota C-HR yang walaupun tinggi harganya tetap mendapat sambutan baik.

Apabila ini berlaku, susah juga jika anda memegang prinsip reka bentuk rileks-rileks dan tenang seperti Audi. Lebih menggodakan apabila teman senegara seperti BMW dan Mercedes-Benz juga mempunyai unsur gayaan dramatik.

Jadi bagaimana? Ubah hala tuju gayaan atau kekal dengan falsafah reka bentuk sedia ada.

Dari model-model terbaru yang dikeluarkan, ikutlah apa pun pesaing hendak buat. Audi tetap Audi dan anda dapat melihat falsafah gayaan yang sama pada model-model terbaru mereka. Tetap dengan garis lurus dan bersegi.

Contoh terbaru ialah Audi A6 Avant. Sebelum ini Volvo dilihat sebagai pengeluar sejati kenderaan wagon dan melalui varian terbaru A6 ini nampaknya tempat tersebut boleh dikongsi bersama.

Lihat sahaja bahagian luaran A6 Avant ini, masih lagi dengan identiti sebuah Audi iaitu garis tajam dan bersegi.

Ada juga unsur beralun tetapi ia tetap kemas dengan perkadaran (proportion) yang cantik. Ia adalah sebuah kereta yang kemas dan lambang kepada identiti reka bentu kenderaan Jerman.

Saiz A6 Avant ini juga besar iaitu 4.94 meter panjang, 1.89 meter lebar dan 1.47 meter tinggi seterusnya menjadikan ruang kabin lebih besar daripada model sebelum.

Walaupun bentuk badan nampak lebih curam ke bawah namun ruang bagasi masih sama seperti model sebelum ini. Saiz ruang bagasi ialah 565 liter dan meningkat kepada 1,680 liter apabila kerusi belakang direbahkan.

Bahagian dalamannya pula tampil minimalis. Dalam hal ini, pengeluar lain juga turut menggunakan konsep ringkas tetapi ia boleh jadi membosankan akibat susun letak dan banyak ruang kosong terbiar.

Ini adalah definisi minimalis oleh Audi, tetap ringkas tetapi tidak membosankan dan pada masa sama mengusik minda. Suasana dalaman A6 Avant ini memberikan efek sofistikated dan progresif.

Dari segi kuasa, Audi tidak menyatakan enjin mana yang akan digunakan secara spesifik tetapi menurut Autocar, terdapat dua pilihan iaitu V6 50 TDI diesel berkuasa 286 ps dan 55 TSFI petrol berkuasa 340 ps. Enjin empat silinder akan ditawarkan kemudian.

Kedua-dua enjin itu dipadankan dengan transmisi lapan kelajuan automatik dan turut menggunakan sistem mild hybrid.

Untuk pasaran tempatan pula, pasaran lebih gemarkan kereta sedan dan walaupun begitu sekali sekala masih ada pengeluar yang menawarkan kereta wagon.

Jika tidak pun, pengedar bebas yang akan membawanya masuk memandangkan negara kita bukan sahaja lokasi pertembungan budaya tetapi juga percampuran di antara penggila kereta.

BACA: AUDI A6 SEDAN & A7 SPORTBACK – KINI DALAM VARIAN 2.0 TFSI quattro 

BACA: AUDI A8 TERBARU DENGAN TEKNOLOGI PARKIR SENDIRI (TANPA PERLU ADA SESIAPA DALAM KERETA)

 

Tags
Google ads
Back to top button