Buletin

BAKAR SAMPAH PUNYA PASAL, MYVI HANGUS 90%

Gara-gara pembakaran sampah, sebuah kereta Perodua Myvi musnah terbakar di Parit 3 Timur, Sungai Panjang, Selangor, hari ini.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Hafisham Mohd Noor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 10.46 pagi.

Beliau berkata, sepasukan empat anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Besar dikejarkan ke lokasi untuk memadamkan kebakaran.

“Ketika kejadian, pemilik kereta berusia 38 tahun berada di dalam rumah keluarganya. Kebakaran berpunca daripada pembakaran sampah dan dipercayai merebak ke kenderaan terbabit.

“Pemilik kenderaan cuba memadamkan api dengan menggunakan alat pemadam api tetapi gagal. Dia kemudian menghubungi pihak bomba,” katanya.

Menurut Hafisham, kebakaran berjaya dipadamkan dengan anggaran kemusnahan kira-kira 90 peratus. – Harian Metro 

Google ads
Back to top button