Buletin

TIGA MAUT AKIBAT HR-V TERBAKAR DISYAKI TERLIBAT DALAM KES SAMUN

Nahas yang menyebabkan tiga maut termasuk dua rentung dekat Jalan Wakaf Bharu-Palekbang, Tumpat, Kelantan pada awal pagi tadi, disyaki ada kaitan dengan kes samun.

Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Mohd Azmir Damiri berkata sebelum kemalangan, tiga mangsa terbabit termasuk seorang lagi individu, menaiki kereta jenis Honda HRV ke sebuah rumah di Kampung Sungai Pinang.

“Pemilik rumah tersedar sebaik mendengar bunyi kenderaan dihidupkan dan sebaik membuka pintu dia ternampak seorang lelaki berada dalam pacuan empat roda jenis Ford Ranger miliknya.

“Pada masa sama, seorang lagi penumpang Honda HRV itu keluar dan melibaskan senjata tajam ke arah pemilik rumah terbabit,” katanya ketika ditemui di pejabatnya.

Mohd Azmir berkata, pacuan empat roda itu berjaya dilarikan penyamun sebelum pemiliknya bertindak mengejar empat lelaki yang menaiki dua kenderaan itu dengan keretanya jenis BMW.

Sebaik tiba di lokasi kejadian iaitu di Kampung Morak, Honda HRV yang dinaiki tiga individu terbabas sebelum terbakar yang mengorbankan semua penumpang.

“Bagaimanapun pengadu tidak mengendahkan kejadian terbabit dan dan terus mengejar Ford Ranger miliknya yang dipandu seorang lelaki.

“Sebaik tiba di Kubang Kerian, Kota Bharu iaitu kira-kira 18 kilometer jarak mengejar, pacuan empat roda itu terbabas manakala pemandunya melarikan diri. Kami sedang mengesan lelaki itu untuk membantu siasatan,” katanya.

Mohd Azmir berkata, tiga mangsa yang maut dibawa ke Hospital Tumpat untuk proses bedah siasat terutama untuk kenal pasti identiti dua individu yang rentung. Pihaknya juga sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengetahui motif sebenar kejadian.

Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 dan Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – Berita Harian

Google ads
Back to top button