Buletin

BENGKEL PENUH DENGAN NISSAN SKYLINE & GT-R HANGUS TERBAKAR

Sebuah bengkel milik firma yang pakar dalam mengubah suai model Nissan Skyline dan GT-R dilaporkan mengalami kebakaran besar. 

Insiden yang berlaku di Wigan, United Kingdom itu menyebabkan hampir semua kereta, alat ganti dan peralatan di dalam bengkel RB Motorsport musnah teruk. Menurut laporan akhbar tempatan, sebanyak lima jentera bomba dengan lebih 60 orang anggota dikerah untuk memadam kebakaran.

Biarpun masih belum ada perincian mengenai jumlah kerugian, namun menerusi gambar ini kita boleh melihat dengan jelas beberapa model seperti Nissan GT-R R35, R33 Skyline, R32 dan tidak ketinggalan sebuah Ford Escort RS Cosworth musnah dijilat api.

Berdasarkan kepada status di laman Facebook, RB Performance menyatakan bahawa ia akan memaklumkan perkembangan terkini kepada pelanggannya dan berjanji untuk kembali beroperasi seperti biasa secepat mungkin.

“Sebagaimana yang mungkin anda telah lihat di media sosial dan berita, bengkel kami mengalami kebakaran. Setakat ini kami masih belum pasti tentang jumlah kerugiannya. Tetapi berdasarkan kepada gambar, 99 peratus harta di dalam bengkel ini musnah, termasuklah kereta-kereta milik pelanggan kami” jelas RB Motorsport.

Biarpun begitu, pemilik dan kakitangan RB Motorsport bersyukur atas dua perkara. Pertama, tiada siapa yang cedera dalam kemalangan nii. Kedua, mereka sangat berterima kasih atas segala bantuan yang diterima sepanjang tempoh sukar ini.

Mujurlah tiada sebarang kecederaan dilaporkan. Pihak bomba kini sedang menjalankan siasaran mengenai punca kebakaran.  Bertabahlah….

Google ads
Back to top button