Buletin

PROJEK RESTORASI CORVETTE DI GARAJ RUMAH GAGAL. JENTERA HANGUS

Seorang lelaki, William Harrington hanya mampu melihat kereta kesayangan Chevrolet Corvette 1994 hangus apabila melakukan kerja-kerja restorasi di garaj rumahnya berdekatan Fort Myers Beach, Florida, Amerika Syarikat (AS).

Ketika melakukan pemeriksaan compression, dia tiba-tiba terdengar bunyi kuat disusuli asap keluar dari bahagian hud kereta.

Harrington bertindak pantas dengan menolak jentera berkenaan keluar dari garaj untuk mengelak api marak ke rumahnya.

Bagaimanapun, terdapat kenderaan lain menghalang laluan sehingga dia perlu menolak Corvette terbabit beberapa kali agar dapat diletakkan pada laluan lebih selamat.

Malangnya, masa tidak menyebelahi lelaki itu apabila kenderaan selamat dibawa keluar dan ia sudah terbakar ketika pasukan Bomba tiba di lokasi kejadian.

Pasukan penyelamat tidak dapat melakukan apa-apa untuk menyelamatakan kenderaan tersebut dan hanya mampu memadam api berkenaan.

Harrington mengalami cedera ringan dalam insiden terbabit.

“Saya seolah-olah kehilangan salah seorang ahli keluarga,” katanya.

Dia membeli kenderaan itu dua tahun lalu dan membelanjakan kira-kira AS$20,000 (RM82,930) dalam kerja-kerja restorasi Corvette tersebut. – carbuzz

Google ads
Back to top button