Buletin

BEIJING AUTOSHOW 2024: GWM PAMERKAN MODEL TANK 700 HI4-T

Selain daripada SUV kompak Tank 300, GWM juga telah melancarkan model Tank 700 Hi4-T yang merupakan sebuah SUV mewah digabungkan dengan prestasi luar biasa di laluan offroad. Tank 700 Hi4-T ini disasarkan kepada pemilik yang mementingkan kemewahan di laluan sukar.

Berbeza dengan SUV lain, Tank 700 Hi4-T menawarkan teknologi hibrid prestasi tinggi namun pada masa yang sama masih menawarkan penjimatan bahan api yang luar biasa. Enjin 3000cc V6 petrol dengan turbo menjana sehingga 360 kuasa kuda dan 500Nm tork.

Sistem hibrid dengan motor elektrik yang “ditanam” dalam transmisi 9 kelajuan berupaya menghasilkan gabungan kuasa sehingga 517 kuasa kuda dan 750Nm tork. Dengan bateri 37.1kWh yang dipasang di bahagian belakang cesi ladder frame, Tank 700 menawarkan jarak perjalanan dalam mode EV sejauh 90km

Pecutan 0-100km/jam dibuat dalam masa kurang 5 saat, dengan prestasi yang hampir sama dengan enjin V8. Cesi ladder frame ini juga dipadankan bar penstabil dan juga sistem hidraulik yang boleh disambungkan dan diputuskan semasa melalui jalan yang tidak rata. Sistem ini membenarkan pergerakan tambahan suspensi sebanyak 60mm.

Sistem suspensi ini juga dipadankan dengan penyerap hentak boleh laras, air suspension dan penyerap hentak elektromagnetik yang boleh meraskan ketinggian dan kekerasan sistem penyerap hentak mengikut kesesuaian.

Bagi aspek kemewahan, GWM Tank 700 Hi4-T dipasang dengan balutan kulit BADER NAPPA yang boleh dilaras pada 58 kedudukan. Kusyen bantuan elektrik ini juga menawarkan sudut rehat pada 156 darjah, rekaan kontur badan dengan 10 poin akupuntur bagi ciri urutan automatik

Selain itu, kusyen ini juga diberikan perehat kaki, sokongan lumbar 4 kedudukan, sistem pengudaraan 3 kelajuan, 9 tahap kepanasan dan 10 mod ciri mengurut. Salah satu masalah yang dihadapi oleh SUV ketika melalui jalan tidak rata ialah kadar kebisingan dari jalan tidak berturap

Bagi mengatasi masalah ini, Tank 700 Hi4-T dipasang dengan 3 lapis pelapik pintu dan 2 lapis pelapik pintu di ruang kargo, cermin depan, cermin sisi dan cermin belakang kalis bunyi dengan ketebalan 5mm. Malah GWM turut bekerjasama dengan Harman Kardon bagi menghasilkan ciri pembatalan bunyi aktif

Ujian bersama pemandu profesional di litar GWM, Baoding menunjukkan Tank 700 ini menawarkan kadar kebisingan pada 70dB ketika dipandu pada halaju 180km/jam. Sistem audio Harman Kardon juga menawarkan bunyi sehingga 1600W bersama dengan teknologi Harman Quantum Logic Surround System

Sistem ini juga akan melaraskan bunyi audio selari dengan kelajuan kenderaan dengan kualiti yang sama didengari di dewan orkestra. Bagi melalui jalan mencabar, Tank 700 Hi4-T mengekalkan ciri pacuan 4 roda dengan ciri transfer case

Sistem ini menawarkan sehingga 12 mode pemanduan bagi menangani semua senario pemanduan mencabar. Dengan bantuan air spring, Tank 700 Hi4-T boleh mengharungi air pada kedalaman 970mm termasuk kawasan banjir dan laluan mencabar.

Dari segi dimensi, Tank 700 datang dengan panjang 5113mm, lebar 2061mm dan tinggi 1952mm. Jarak antara roda pula ditetapkan 3000mm bagi keselesaan dan ruang yang maksimum pada penumpang. Dari segi rekaan luar, Tank 700 datang dengan rekaan yang hampir sama dengan Mercedes Benz G Class

Google ads
Back to top button