BERANG DIPECAT, PEMANDU PARKIR TRAK SEMI VOLVO ATAS FERRARI GTC4LUSSO BOS
Berang kerana dipecat kerana masalah disiplin, seorang pemandu trak bertindak ageresif apabila melanggar bahagian hadapan sebuah Ferrari GTC4Lusso milik bosnya.
Imej yang tular di media sosial jelas menunjukkan bonet Ferrari itu rosak teruk apabila dirempuh oleh trak Volvo.
Menurut laporan media tempatan, pekerja sebuah syarikat penghantaran di Illinois itu dipecat kerana enggan menjalani ujian dadah di syarikat berkenaan. Sebenarnya, banyak versi cerita kenapa insiden tersebut boleh berlaku.
Ada yang kata pemilik perniagaan itu memotong gaji dan membuat pekerjanya mengamuk.
Versi lain pula menyatakan bahawa pekerja itu marah kerana bosnya telah menjanjikan trak baharu jika dia memenuhi kuota tertentu. Tetapi memandangkan dia gagal memenuhi sasaran tersebut, trak baharu tidak diberikan kepadanya.
Satu lagi versi memberitahu pemandu trak itu diterima bekerja dari jauh dan hanya sempat melaksanakan satu tugasan sebelum masalah sikapnya timbul.
Sumber menyatakan syarikat bersetuju untuk membayar semua kos perjalan serta menggantikan semua barang yang telah dibelinya seperti tilam dan sebagainya.
Malah, syarikat ada memberikannya tiket penerbangan untuk pulang ke kampung halaman. Tetapi, pemandu itu enggan menerima dan berkeras mahu terus bekerja di sana. Selepas gagal mendapat kata sepakat, pemandu itu secara tiba-tiba masuk ke dalam sebuah trak berhampiran dan melanggar Ferrari tersebut.
Sehingga kini, tidak tahu apakah kisah sebenar di sebalik insiden malang ini. Apa pun sebabnya, siapa yang bersalah perlu menerima hukuman. Tidak kiralah sama ada bos atau pekerjanya.