Artikel Pilihan

FERRARI 250 GTO – INILAH KERETA TERMAHAL DI DUNIA!

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera. Hampir setiap manusia yang hidup di dunia ini mengenali Ferrari. Baik golongan bangsawan mahupun marhaen. Namun jenama Ferrari memang sinonim dengan golongan bangsawan.

Bukan itu sahaja, nama Ferrari juga gah di persada sukan permotoran. Begitu banyak kejohanan yang pernah dimenangi oleh Ferrari sehingga membuat jenama lain sanggup melabur berjuta malah berbilion dolar hanya untuk menundukkan Ferrari.

Contoh yang paling jelas adalah melalui peristiwa yang berlaku pada tahun 1966 di kejohanan 24hr Le Mans yang diterjemahkan kepada filem dimana Ford berhempas pulas mahu menewaskan Ferrari.

Bercerita tentang Kejohanan 24hr Le Mans, jentera paling berjaya Ferrari dalam kejohanan ini adalah jentera Ferrari 250 varian Testa Rossa. Jentera ini memenangi 3 kejohanan iaitu pada 1958, 1960 dan 1961. Namun hari ini kita bukan mahu bercerita tentang jentera ini. Hari ini kita akan mengupas tentang kesinambungan jentera ini iaitu jentera ikonik Ferrari 250 GTO.

Jentera ini dibina sebagai menepati syarat homoglasi untuk FIA Group 3 Touring Car. Waktu produksi jentera ini tidak panjang, iaitu pada 1962 sehingga 1964 sahaja. Hanya 39 unit sahaja dibina. Dipendekkan cerita, jentera ini memenangi kejohanan :-

Tour De France pada tahun 1963 dan 1964.
RAC Tourist Trophy pada tahun 1963 dan 1964.
6 Hours of Spa pada tahun 1963 dan 1964.

Sekarang kita masuk kepada pembangunan jentera ini.

Pembangunan jentera ini diketuai oleh Ketua Jurutera Ferrari pada ketika itu iaitu Giotto Bizzarini. Namun, ketika proses pembangunan jentera ini berlangsung, terdapat satu peristiwa hitam telah berlaku di mana peristiwa ini dipanggil “The Great Walkout”.

Peristiwa ini berlaku apabila barisan utama Ferrari diketuai oleh Giotto Bizzarini bersama-sama Romolo Tavon i(Pengurus), Carlo Chietti (Jurutera), Girolamo Gardini (Pengurus Jualan) beserta ahli kumpulan mereka mendesak isteri Enzo Ferrari iaitu Laura untuk disingkirkan daripada Syarikat.

Namun siapa tak sayang bini, Enzo memilih untuk mengekalkan isterinya sekaligus menyebabkan kumpulan di atas meninggalkan FerraRi beramai-ramai. Hampir lumpuh Ferrari dibuatnya.

Apa yang jadi dengan pembangunan Ferrari 250 GTO ?

Terbengkalai Tuan-Tuan.

Enzo Ferrari kemudian berkeras mahu pembangunan Ferrari 250 GTO ini diteruskan. Seterusnya, bidan terjun iaitu jurutera muda Mauro Forghieri dan jurureka badan Sergi Scaglietti dipilih bagi meneruskan projek.

Jentera ini dibina berdasarkan jentera Ferrari 250 GT Berlinetta SWB. Perbezaan adalah pada rupa dan struktur cesi. Cesi distruktur semula supaya lebih tegar dan ringan. Cesi yang digunakan juga adalah jenis “Oval Tube Frame” yang dikimpal menggunakan tangan. “Handmade Chassis” mat saleh kata.

Cesi ini kemudian dipadankan dengan sistem suspensi jenis “Double Wishbone” di bahagian hadapan. Sistem suspensi bahagian belakang pula menggunakan jenis “Live Axle” bersama “Watt Linkage”, dipadankan pula dengan “Leaf Spring”.

Ferrari pakai “Leaf Spring” ye Tuan-Tuan.

Seterusnya kita pergi ke bahagian badan jentera ini. Proses pembuatan badan jentera ini pada awalnya diselia oleh Giotto Bizzarini, akan tetapi selepas beliau keluar dari Ferrari, kerjanya diambil oleh Sergi Scaglietti.

Walaupun bertukar tangan, namun cara pembuatannya tetap sama iaitu ditempa dengan menggunakan tangan. Fokus pembuatan badan jentera ini adalah aerodinamik bertujuan untuk menaiktaraf kelajuan tertinggi disamping memastikan jentera stabil.

Rekaan badan jentera ini juga diuji di “Wind Tunnel” di Pisa Universiti bagi mendapatkan data lengkap berkenaan aerodinamik. Hasilnya adalah seperti yang anda lihat sekarang ini.

Keseluruhan badan dibuat daripada alumunium, rekaan jentera ini memiliki badan yang panjang dan muncung yang rendah. Bahagian bawah jentera pula ditutup sepenuhnya bagi melancarkan pengaliran udara. Rekaan Ferrari 250 GTO ini merupakan inovasi terhebat Ferrari dalam bidang teknikal pada ketika itu.

Bahagian akhir merupakan cat dan jentera ini dikenali dengan warna merah atau dikenali dengan “Rosso Cina”. Terdapat juga warna lain seperti Silver.

Bahagian kemasan dalaman jentera ini sangat minimalis. Panel penghawa dingin pun tiada. Ye lah kan. Kereta lumba. Yang kelihatan hanyalah sepasang kerusi “bucket”, tombol gear, roda stering, papan pemuka serta kluster meter sahaja.

Yang uniknya di sini, barisan meter yang terdapat pada jentera ini hanyalah merangkumi RPM Gauge, Oil Level Gauge, Oil Pressure Gauge, Temprature Gauge dan Fuel Gauge.

Tiada “Speedometer” ye Tuan-Tuan. Agak-agak sahaja kelajuan berdasarkan nilai RPM. Ye lah kan. Kereta lumba. Haha !

Jentera ini dijana oleh enjin Ferrari Colombo 250 yang bersesaran 2,953cc. Namun, enjin ini ditala kembali khusus untuk model 250 GTO dan dikenali dengan kod Tipo 168 Comp/62 60º V12.

Enjin 12 Silinder ini menggunakan konfigurasi “Single Overhead Camshaft”(SOHC) bersama 2 injap per silinder. Nisbah mampatan bagi enjin ini adalah pada kadar 9.8:1. Sistem pelinciran pula menggunakan sistem “Dry Sump”, barulah racing.

Kemudian adalah bahagian yang paling menarik perhatian iaitu sistem bahanapi enjin ini di mana 6 unit karburetor Double Barrel Weber 38 DCN digunakan. Sangat cantik Tuan-Tuan. Hasilnya ? 300hp pada 7,400rpm dan daya kilas sebanyak 294Nm pada 5,500rpm.

Kuasa yang dijana oleh enjin ini dihantar ke unit klac “Single-Plate” dan seterusnya ke kotak gear 5 kelajuan manual. Mungkin 300hp tidak membuatkan anda kagum, namun harus diingat bahawa jentera ini hanyalah seberat 880kg sahaja.

Dengan nilai kuasa sebanyak 300hp dan berat 880kg, nisbah “Power to Weight Ratio” adalah bersamaan 0.34hp/kg. Selain itu, jentera ini mampu memecut dari 0-100km/h hanya pada kadar 2.9 saat sahaja. Kelajuan tertinggi yang direkodkan adalah 280km/h. Laju ke perlahan ni Tuan-Tuan? Sangat laju Tuan-Tuan.

Kuasa untuk memberhentikan jentera ini diberikan kepada set brek cakera yang dipasang di keempat-empat bahagian jentera. Seterusnya, jentera ini dipasang dengan set rin bersaiz 15 inci bagi depan dan belakang.

Tayar yang digunakan pula bersaiz 215/70 R15 pada bahagian hadapan dan 225/70 R15 pada bahagian belakang. Tayar yang digunakan pula adalah dari jenama Pirelli.

Sekarang kita pergi kepada keunikan jentera ini. Seperti yang diterangkan di atas, produksi jentera ini adalah sebanyak 39 unit. Di dalam 39 unit ini, hanya 33 unit sahaja yang “biasa”.

6 unit lagi macam mana ?

3 unit menggunakan enjin lain iaitu enjin yang bersesaran 3,967cc (4.0). Varian ini juga dikenali sebagai 330 GTO. Enjin yang digunakan merupakan enjin yang sama digunakan oleh Ferrari 400 Superamerica.

Enjin ini lebih kuat dan lebih laju di mana ia mampu menghamburkan kuasa sekita 335hp pada 7,000rpm. Selain itu, jentera ini juga mempunyai dimensi yang sedikit berbeza daripada 250 GTO di mana ia lebih panjang dan lebih lebar.

Perbezaan paling ketara dapat dilihat adalah pada bonet hadapannya dimana secara jelas kita dapat lihat bonet hadapan jentera varian 330 GTO ini lebih besar dan gemuk.

3 unit lagi merupakan unit keluaran tahun 1964. Unit-unit ini juga dikenali sebagai GTO’64 atau Series II.

Ceritanya bermula apabila pihak Ferrari mengarahkan Mauro Forghieri dan Mike Parkes merombak semula rekaan 250 GTO ini. Hal ini kerana pihak Ferrari mahukan jentera ini kekal relevan di dalam sukan permotoran untuk sekurang-kurangnya satu tahun lagi.

Ditambah pula dengan keadaan dimana FIA tidak meluluskan penglibatan model 250 LM di dalam “GT-Class” pada tahun 1964. Oleh itu, banyak ciri-ciri 250 LM diletak pada GTO’64 ini. Hal ini menyebabkan kedua-dua varian 250 LM dan GTO’64 ini kelihatan seakan-akan sama.

Perbezaan ketara kedua-dua varian ini adalah 250 LM mempunyai konfigurasi enjin di bahagian tengah jentera manakala GTO’64 pula di bahagian hadapan. Beberapa modifikasi kecil juga dilakukan pada GTO’64 ini termasuklah pada bahagian kemasan dalaman, enjin, kotak gear dan juga suspensi.

Jadi di sini kita dapat lihat 33 unit 250 GTO “biasa” bersama dengan 3 unit 330 GTO dan 3 unit lagi GTO ’64.

Ada lagi yang menarik ? Ada Tuan-Tuan.

Seperti yang dinyatakan di atas dimana pembuatan serta pembangunan jentera ini adalah dengan menggunakan tangan. Khususnya bagi cesi serta badan. Oleh itu, setiap unit akan mempunyai perbezaan walaupun sedikit. Pihak Ferrari tidak memanggilnya sebagai “kecacatan” namun ia merupakan sebuah “keunikan” serta “seni” yang kekal malar hijau sepanjang zaman. “Hand-made” punya barang mana pernah murah kan ?

Sekarang kita pergi kepada rekod jualan.

Ferrari 250 GTO ini tidaklah terlalu mahal sebenarnya. Ketika dilancarkan pada tahun 1962, harganya adalah sekitar USD18,500 sahaja bagi unit baru. Tapi macam biasa, bukan untuk dijual di pasaran terbuka.

Pada tahun 1969, jentera ini merekodkan nilai jualan terendah. Ferrari 250 GTO dengan kod cesi 3223GT dijual kepada George Sterner di acara Kruse International Auction pada harga USD2,500 sahaja.

Untuk perbandingan, ketika itu Nissan 240z berharga USD3,700, Toyota 2000GT berharga USD7,230, Porsche 911 berharga USD6,190 dan Chevrolet Corvette (C3) berharga USD4,663. Murah sangat USD2,500 untuk sebuah Ferrari !

Unit yang sama iaitu 3223GT ini kemudian dijual kepada seorang doktor gigi di Minneapolis, USA. Doktor tersebut bernama Dr Robert Bodin. Jentera ini dibeli pada harga USD35,000 pada tahun 1975. George Sterner untung sebanyak USD32,500.

Masih bersama unit 3223GT ini, pada tahun 1993, jentera ini dijual kepada Yoshikuni Okamoto di Kobe, Jepun dengan harga USD3.5 juta. Dr Robert Bodin untung sebanyak USD3,465,000.

Kisah terakhir untuk unit 3223GT adalah pada tahun 2004 apabila jentera ini terbang ke Pennsylvania, USA menemui pemilik baharu iaitu J.B Honesdale. Jentera ini dibeli dari Yoshikuni Okamoto dengan harga USD10,600,000. USD10.6 juta. Yoshikuni Okamoto untung USD7,100,000.

Apa yang cuba disampaikan disini adalah harga jentera ini meningkat saban tahun. Bukan sedikit-sedikit meningkatnya. Tak main ribu-ribu. Juta-juta terus.

Rekod jualan tertinggi bagi jentera ini adalah pada tahun 2018. Jentera Ferrari 250 GTO kod cesi 4153GT dibeli oleh David MacNeil daripada Christian Glaesel dengan harga USD70,000,000. USD70 juta bersamaan dengan kira-kira RM305 juta. Sekaligus memegang rekod dunia sebagai kereta paling mahal dalam dunia.

Inilah dia Tuan-Tuan. Kereta paling mahal dalam dunia. Ferrari 250 GTO. Sebuah karya agung Ferrari.

GALERI

Google ads
Back to top button