
TRIUMPH DEDAHKAN SCRAMBLER 1200 EDISI JAMES BOND – TAK HENSEM PUN BOLEH BELI JANJI ADA DUIT
Siapa tak kenal James Bond, perisik kacak idaman wanita dengan lesen membunuh yang paling berjaya di layar perak sejak zaman berzaman. Selain wanita dan kereta canggih, tapi untuk filem terbaharu ini, Bond turut cenderung kepada penggunaan motosikal dan kesempatan ini digunakan oleh Triumph untuk mendapatkan publisiti dari filem Bond No Time To Die.

No Time To Die merupakan filem terbaharu Bond dan terakhir untuk aktor Daniel Craig. Ia masih belum dapat ditayangkan kerana wabak pandemic Covid-19 dan kemungkinan besar akan ditayangkan pada November tahun ini.
Craig menggunakan Triumph model yang sama dalam filem ini dan semestinya melakukan pelbagai aksi stunt motosikal sepanjang jalan cerita. Jadi untuk menghargai kemunculan motosikal mereka dalam filem ini, Triumph telah melancarkan sebuah model khas yang dinamakan Scrambler 1200 Bond Edition.

Dihasilkan dalam jumlah kecil 250 unit sahaja, ia sudahpun habis terjual di pasaran. Tak pelik pun sebenarnya untuk model edisi khas yang benar-benar terhad macam ni. Itulah besarnya pengaruh James Bond.
Model ini sebenarnya diasaskan dari Scrambler XE dan mengunakan enjin 1,200cc yang mampu menghamburkan 89hp kuasa maksima. Kerangkanya adalah dari jenis tiub keluli dan mempunyai penampilan yang selayaknya untuk seorang perisik bertaraf antarabangsa seperti Bond.

Setiap model edisi Bond ini mempunyai beberapa ciri unik seperti nombor siri dan beberapa tulisan 007 yang dihasilkan dengan laser yang unik. Ia turut dibekalkan dengan sijil yang membuktikan keasliannya dan beg edisi khas premium. Malah tempat duduknya dihiasi dengan kemasan Bond Edition yang dikenali di serata dunia.


Ia kemudian dilayangkan dengan warna serba hitam yang sesuai untuk kerja-kerja perisik yang perlu bekerja secara sulit. Ye lah, takkan nak cat warna kuning Myvi ataupun balut dengan wrapping bling-bling macam tokey kosmetik timbang kilo, nanti dari jauh orang dah cam.