Artikel Pilihan

PININFARINA BATTISTA LAWAN FERRARI

Sebut sahaja Pinifarina, kita akan terbayangkan kereta super Ferrari disebabkan kebanyakan rekaan Ferrari dihasilkan di studio ini. Pelik juga bagaimana Enzo Ferrari yang cerewet boleh percayakan firma ini untuk menghasilkan kereta mereka. Ferrari Testarossa, F40, F355, F50, 550 Maranelo dan Ferrari California merupakan hasil rekaan studio ini.

Syarikat ini diasaskan oleh Battista Pinin Farina pada tahun 22 Mei 1930 dengan mendapat sokongan kewangan daripada isteri dan rakannya Vincenzo Lancia (pengasas Lancia). Nama asal syarikat ini ialah Carrozzeria Pinin Farina. Ibupejabat mereka yang pertama terletak di Turin, Itali.

Pinin bermaksud kecil dalam bahasa Itali dan merupakan nama gelaran pada Battista disebabkan dia merupakan anak lelaki yang ke 10 dari 11 adik beradik. Ditambah pula dengan ketinggiannya hanyalah 1.52m seperti kebanyakan orang Asia, maka gelaran pinin tersebut kekal ke akhir hayatnya.

Battista dan Sergio

Pada tahun 1962 dia memperolehi kebenaran daripada kerajaan Itali untuk menukar nama kepada Pininfarina. Disebabkan pertukaran nama ini, firma ini menukar nama kepada Pininfarina. Ketika ini juga kebanyakan urusan syarikat telah diambil oleh anaknya iaitu Sergio Pininfarina dan juga menantunya iaitu Renzo Carli.

Sergio ini juga bukan calang-calang kerana beliau merupakan lulusan Politeknik Universiti Turin dalam bidang kejuruteraan mekanikal. Sebelum tahun 1951, kebanyakan pelanggan Pininfarina ialah Lancia dan juga Maserati. Ketika ini kewangan Scuderia Ferrari berada dalam keadaan tidak stabil.

Bagi mencari sumber kewangan untuk menyokong aktiviti perlumbaan pasukan Scuderia, Ferrari perlu menjual kereta kepada pasaran terbuka. Jadi Enzo meminta bantuan Sergio bagi menghasilkan Ferrari 212 Inter dalam 2 rekaan iaitu sport 2 pintu (coupe) dan roadster 2 pintu. Paling kelakar, satu unit kereta ini dibeli oleh Ford Motor bagi tujuan kajian

Semenjak daripada itu hanya 2 rekaan Ferrari yang tidak direka oleh Pininfarina iaitu Dino 308 GT4 yang dinamakan bersempena nama anak Enzo yang pertama. Salah satu lagi ialah La Ferrari yang direka secara dalaman oleh pasukan Ferrari. Selain daripada 2 model tersebut, semua rekaan Ferrari dihasilkan oleh Pininfarina

Antara rekaan Ferrari yang tidak ditelan zaman hasil rekaan Pininfarina ialah Ferrari Testarossa 1984, Ferrari 456 1992, Ferrari 599 GTB Fiorano, 458 Italia, Ferrari FF dan Ferrari California. Aspek kejuruteraan, enjin, dan komponen mekanikal bagi semua kereta super di atas dihasilkan oleh Ferrari, namun rekaan luar yang memberi emosi kepada kereta dihasilkan di studio Pininfarina.

Salah satu aspek yang dicadangkan oleh Sergio kepada Enzo ialah dengan memperkenalkan rekaan MR iaitu enjin dipasang pada bahagian tengah cesi dan menggunakan pacuan belakang. Pada pendapat Sergio, berat enjin yang berada di tengah akan diagihkan dengan sekata pada semua tayar. Perkara ini turut diakui oleh jurutera Ferrari iaitu Mauro Forghieri.

Namun Pininfarina bukanlah bergantung 100% kepada Ferrari, Lancia dan Maserati sebagai pelanggan utama mereka. Mungkin disebabkan penglibatan Itali dalam perang dunia kedua, pembuat kereta Itali dihalang daripada menyertai Paris Motor Show pada tahun 1946. Namun Battista dan Sergio dengan nekad memandu kereta mereka ke Paris.

Alfa Romeo 6C 2500 S dan Lancia Aprilia dipandu oleh dua beranak ini dari Turin ke Paris sebelum diparkir berdekatan dengan pintu masuk utama. Tindakan berani ini menarik perhatian pelawat namun pada masa yang sama penganjur tidak boleh menghalau mereka kerana mereka tidak memasuki dewan pameran.

Tujuan utama mereka ialah untuk menunjukkan kepada 800 ribu pelawat berkenaan keupayaan mereka menghasilkan rekaan yang lain daripada lain. Maka tidak hairanlah Pininfarina mula menarik minat pelanggan baru dari syarikat Peugeot, Rolls Royce, Datsun, Nissan, Cadillac, Volvo, dan juga Ford

Pada era moden 1980an juga menyaksikan Pinifarina bertindak sebagai konsultan kepada Honda dalam rekaan Honda NSX. Sebuah lagi model Honda yang direka oleh Pininfarina ialah Honda Beat yang menggunakan konfigurasi MR dengan enjin 660cc (kei car). Tapi selain daripada menghasilkan rekaan kereta, Pininfarina juga bertindak sebagai penyedia fasiliti pemasangan bagi pelanggan yang berminat.

Salah satu sebab Ferrari berminat dengan Pininfarina ialah selain daripada mampu menghasilkan rekaan yang elegen, mereka mempunyai fasiliti pemasangan kereta di Turin. Namun bagi menampung jumlah pengeluaran yang semakin besar, fasiliti pemasangan yang kedua dibuat di Grugliasco pada tahun 1955.

Alfa Romeo Spider merupakan kereta pertama yang dipasang di fasiliti ini disebabkan kemampuan fasiliti ini menyiapkan 20 kenderaan dalam sehari. Fasiliti pemasangan kedua di San Giorgio dibuka pada tahun 1985 bagi menyokong pengeluaran model Cadillac Allante.

Pininfarina Battista

Fasiliti ketiga terletak di Bairo Canavese disiapkan pada tahun 1997 selepas Mitsubishi bersetuju dengan tawaran Pininfarina yang merangkumi kontrak rekaan dan pemasangan Pajero Pinin. Satu lagi fasiliti pemasangan Pininfarina berada di Sweden yang dibina dengan kerjasama Volvo. Fasiliti ini akan membina Volvo yang akan dieksport ke Amerika

Tapi pada masa yang sama Pininfarina turut memperkasakan teras utama syarikat iaitu dalam bidang rekaan. Mereka membina terowong angin seawal berskala penuh tahun 1972 yang dibuat khusus untuk mengkaji kesan aerodinamik pada rekaan kereta yang dihasilkan

Segala pengetahuan yang dimiliki oleh Pininfarina dicurahkan pada projek terbaru mereka yang dikenali dengan nama Pininfarina Battista. Ia merupakan sebuah kereta sport hiper berkuasa elektrik yang dinamakan bersempena dengan nama pengasas Pininfarina iaitu Battista. Sebelum anda mencemuh, ia boleh memecut dari 0-100km/j dalam masa 2 saat.

Dan ia bukan direka sebagai kereta konsep, namun ia akan dikeluarkan sebagai hypercar yang akan dijual kepada umum. Nick Heidfield iaitu bekas pelumba Formula 1 dan Formula E akan bertindak sebagai pemandu ujian. Sistem bateri 120kWh dengan berat 680kg akan direka supaya bera bateri diedarkan secara sekata pada semua tayar.

Setiap roda akan dilengkapkan dengan motor elektrik, ini bermakna ia akan dilengkapkan dengan 4 motor elektrik yang menghasilkan 1876 kuasa kuda dan 2300Nm tork. Maka tidak hairanlah ia boleh memecut dari 0-100km/j dalam masa 2 saat. Rotor seramik brek dengan saiz 390mm digunakan pada bahagian depan dan belakang untuk menghentikan kereta.

Sistem ini secara asasnya adalah sama dengan sistem yang digunakan oleh Rimac C Two. Bateri Lithium Nickel Manganese Cobalt Oxide ini mampu membekalkan kuasa untuk perjalanan sejauh 482km. Ia boleh dicas ke 80% dalam anggaran masa 25-45 minit bergantung pada sistem bekalan elekrik. Hanya 150 unit sahaja yang dibuat bagi mengekalkan nilai esklusif yang ada pad model ini.

Bagi mengurangkan berat, sistem cesi monocque, bumbung, bekas bateri dan kerangka pada bahagian belakang dibina daripada gentian karbon sepenuhnya. Berat maksimanya ialah 1995kg dan halaju maksimum ialah 350km/j. Battista ini dilengkapkan dengan butterfly door bantuan kuasa bagi menyerlahkan lagi sifat eksotik hypercar Itali.

Tags
Google ads
Back to top button