Artikel Pilihan

BAGAIMANA BMW 3 SERIES BOLEH MENJADI ‘LEJEN’ DI ATAS JALAN RAYA

BMW 3 Series kini sudah pun sampai ke generasi ke-7. Jadi apa kata kita belek sikit kitab sejarah lama pasal BMW 3 Series ni dan kenapa ia kini diiktiraf sebagai lagenda di atras jalan raya. Mana lengkap nak cerita pasal kereta conti jika tidak dimasukkan sekali tentang BMW 3 Series kan?

BMW 3 Series mula diperkenalkan pada tahun 1975 dan hanya ditawarkan dalam versi 2-pintu. Melalui model 3 Series inilah BMW mula dikenali sebagai pengeluar kereta mewah sporty yang paling terkenal di seluruh dunia. Tapi satu perkara yang harus diingat ialah model asas BMW 3 Series ini ialah BMW model 2002.

BMW 2002 itu pula adalah kesinambungan daripada model BMW 1600-02. Angka 02 merujuk kepada jumlah pintu manakala 1600 ialah jumlah sesaran enjin. Ia merupakan kereta entry-level BMW dan mempunyai berat yang ringan seperti sebuah kereta sports. Model 1600 TI yang lebih berkuasa kemudian menyusul dan pada ketika itu pengarah perancangan produk BMW dan Alex von Falkenhausen, pereka enjin M10 kedua-duanya mahukan kereta BMW 1600-02 mereka menjadi lebih laju. Tanpa berbincang terlebih dahulu mereka membuat keputusan untuk memasang enjin 2.0-liter menggantikan enjin asal. Selepas melihat perubahan yang positif ke atas kereta-kereta meraka, kata sepakat diambil untuk menghantar cadangan kepada pihak atasan BMW untuk melengkapkan enjin baru kepada model 1600-02.

Hasilnya lahirlah varian coupe dan 4-pintu baru dengan enjin 2.0-liter dan dinamakan 2002. Varian lebih berkuasa dengan karburator berkembar 2002ti menyusul selepas itu dan kemudian digantikan dengan 2002tii yang mampu menjana 130 hp kuasa. BMW kemudian memperkenalkan model berkuasa turbo mereka yang pertama dan dinamakan 2002 Turbo dengan 170 hp kuasa. Ketahanan dan kawalan yang mantap merupakan rahsia kejayaan model 3 Series BMW dan resipi itu digunakan sejak hari pertama mereka memperkenalkan 3 Series kepada dunia.

E21 3 Series: 1975-1983

Ini merupakan 3 Series pertama dan dibangunkan dalam masa 5 tahun dengan kod casis E21. Ia merupakan model terkecil BMW dan kelihatan seperti adik 5 Series. Ia merupakan kereta pacuan belakang yang cukup sempurna dan ditawarkan dengan 4 pilihan enjin. 316, 318, 320 dan model paling berkuasa 320i. Kemudian pada tahun 1977, BMW memperkenalkan enjin 6-selinder yang dilengkapkan pada varian 323i. Angka dan abkad 323i bermaksud 3 Series dengan enjin 2.3-liter Injection.     

E21 juga merupakan model pertama BMW yang menggunakan papan pemuka yang disengetkan ke arah pemandu menjadikan ia sebuah kereta berasaskan pemandu yang sebenar.

E30 3 Series: 1982-1994

Pada tahun 80-an, 3 Series makin dikenali dan menjadi kereta idaman generasi muda. Maklumlah Myvi dan Axia belum wujud lagi masa tu. Kiranya inilah kereta paling hips yang boleh didapati.

Pada asalnya E30 hadir dalam varian 2-pintu tetapi varian lain seperti 4-pintu, convertible dan wagon mula menyusul. Ia juga 3 Series pertama ditawarkan dengan enjin disel. E30 ini juga kemudian menjadi asas kepada rekaan kereta sports BMW, Z1. Tapi bagi peminat ia lebih diingati sebagai model M3.

E30 M3

E30 M3 memang jauh berbeza berbanding model asal. Pada bahagian luaran kedua-dua model cuma berkongsi bahagian bumbung dan bonet. Perbezaan paling nyata semestinya ialaharca roda yang lebih menonjol keluar untuk menempatkan trek yang lebih lebar. Ia kini dilengkapi dengan enjin 4-selinder S14 yang diasaskan daripada enjin 6-selinder M88 yang digunakan oleh M1. Kesan M3 ini ialah cukup nyata kerana ia menjadikan BMW satu nama yang disegani kerana menghasilkan sebuah model sport bertaraf dunia. Ia kemudiannya terus menyertai perlumbaan touring sekitar tahun 80-an dan berjaya menakluk perlumbaan Nurburgring 24 jam sebanyak 5 kali.

E36 3 Series: 1990-2000

3 Series generasi kedua ini kelihatan lebih besar tetapi masih mengekalkan resipi yang sama, ringan dan berkuasa. Ia juga dibekalkan dengan enjin-enjin generasi baru yang lebih berkuasa selain mempunyai varian yang pelbagai. Antaranya ialah coupe, sedan, convertible, touring dan kompak. Akhir sekali model kompak hatchback turut diperkenalkan.

E36 M3

E36 merupakan proses naik taraf kepada E30 M3. Ia juga merupakan M3 pertama yang menggunakan enjin 6-selinder yang mampu menghasilkan 286 hp kuasa. Pada zaman ini memang angka tersebut nampak kelakar tapi ini zaman awal millenium okey. Bukan itu sahaja, E36 M3 turut mempunyai cengkaman dan kawalan yang setanding dengan peningkatan kuasa yang ada padanya.

E46 3 Series: 1997-2006

Zaman kebangkitan internet menyaksikan BMW memperkenalkan 3 Series terbaru mereka yang lebih anggun dan bergaya. Ia juga masih ditawarkan dengan enjin straight-6 dan mempunyai pelbagai varian dari sedan, coupe sehinggalah kompak. E46 terjual sebanyak 3,266,885 di seluruh dunia menjadikan ianya model BMW paling laris.

E46 M3

Inilah hasil seni kejuruteraan sebenar. Kumpulkan fakta secukupnya dan anda mampu menewaskan lawan anda jika ingin berdebat dalam forum peminat BMW tentang model M3 terbaik. Enjin M-tuned 3.2-liter ini memang akan menghasilkan melodi yang indah sebaik kuasa 333 hp dieksploitasi sepenuhnya. Sama seperti M3 sebelumnya, ia mempunyai sistem pengendalian yang cukup dinamik dan kekal sebagai antara kereta berasaskan pemandu terbaik sehingga ke hari ini.

E90 3 Series

Ini merupakan model 3 Series yang mula memasuki abad canggih. Ia merupakan model pertama dengan sistem iDrive, sistem kemasukan bebas kunci, mod pemanduan selektif, sensor pakir dan sistem penyerap hentakan elektronik. Ia bukannya teruk sangat tapi ia kini sudah menjadi semakin mewah dan lebih tinggi membolehkan penumpang duduk di belakang dengan lebih selesa. Oh, dan ia masih lagi kekal sebagai kereta berasaskan pemandu yang baik.    

E90 M3

E90 M3 sudah semakin membesar pada bahagian enjin. Kenapa? Kerana ia kini dibekalkan dengan enjin 4.0-liter V8 NA. Dalam keadaan standard pun ia sudah mempu menghasilkan 414 hp kuasa dan mnghasilkan bunyi yang hampir sama dengan S85 V10 yang digunakan oleh E60 M5. Tapi jangan bimbang kerana peningkatan kuasa ini telah diselaraskan dengan cengkaman dan kawalan yang lebih baik berbanding sebelumnya.

F3X 3 Series: 2011-Sekarang

Ini merupakan model 3 Series paling mewah dan yang pertama menggunakan enjin berkuasa turbo. Ia juga boleh didapati dalam versi hibrid dan kelihatan semakin menyerupai 5 Series dalam segenap hal. Saiz yang lebih besar dan jarak tapak roda yang lebih panjang memberikan ruang yang lebih selesa untuk penumpang belakang. Selain dari pakej M-Sport ia turut menerima 3 pakej kemasan tambahan (Modern, Sport dan Luxury).

F80 M3

M3 dengan kod casis F80 hanya didapati dalam versi sedan 4-pintu manakala versi coupe dikenali dengan nama M4. M3 ini menggunakan bumbung dan driveshaft yang dihasilkan daripada gentian karbon. Ia juga dilengkapi dengan enjin S55 straight-6 yang mampu menghasilkan 425 hp kuasa. Disebabkan ia lebih besar dan berat berbanding M3 sebelumnya, penggunaan bahan gentian karbon dalam pembuatan tidak dapat dielakkan untuk pengurangan berat.

G20 3 Series: 2018 – Sekarang

Sampai ke saat ini untuk menggelarkan 3 Series sebagai kereta eksekutif kompak memang dengar macam kelakar. Mana ada kompak lagi dah dengan saiz sebegini. Penggunaan material yang ringan dalam pembuatan G20 3 Series ini sedikit sebanyak membantu meringankan berat keseluruhan. Malah G20 juga dikatakan mengembalikan ciri dinamik pemanduan  selain menawarkan kepuasan pada rekaan akhir dan material yang digunakan. Ia merupakan sebuah kereta moden tetapi masih mengekalkan beberapa ciri klasik.

G80 M3

Sama seperti F80, ia masih menggunakan kod casis tunggal untuk model M3 terbaru. Dan sehingga kini rupa sebenarnya masih belum diketahui sehinggalah ia didedahkan kepada umum pada bulan September 2019 akan datang.   

Kredit Carbuzz.com

Google ads
Back to top button