
BMW MALAYSIA DEDAH MODEL BMW 750E XDRIVE, PHEV CKD, JARAK GERAK 87KM, 483HP, HARGA BERMULA RM649K
BMW Malaysia mendedahkan dua model baharu BMW 7 Series iaitu BMW 750e xDrive M Sport dan BMW 750e xDrive Pure Excellence.
BMW 750e xDrive M Sport dan BMW 750e xDrive Pure Excellence baharu hadir dengan perwatakan yang hampir sama dari segi kuasa serta prestasi.
Perbezaan kedua-duanya model tidaklah ketara dan dibezakan dengan beberapa elemen eksterior serta interior.

BMW 750e xDrive M Sport dan BMW 750e xDrive Pure Excellence mempunyai dimensi 5,391mm (panjang), 1,950mm (lebar), 1,544mm (tinggi) dan jarak roda diletakkan pada 3,215mm.
Kedua-dua varian baharu ini didatangkan dengan gril ‘kidney’ BMW Iconic Glow dan lampu hadapan kristal, lampu belakang berbentuk L, pintu automatik, sistem bunyi Bowers & Wilkins, Sky Lounge panoramic glass roof, kawalan iklim empat zon, paparan kepala serta Parking Assistant Plus.
Di dalam kabin, ia disertakan bersama BMW Curved Display, skrin infotainment 12.3-inci dan kluster instrument digital 14.9-inci, diiringi BMW Interaction Bar dengan pencahayaan latar.

Selain itu, BMW 750e xDrive M Sport baharu juga dapat menikmati tetapan tempat duduk Executive Lounge, membolehkan sudut tempat duduk dan penyandarnya dilaraskan secara berasingan.
Perincian lain bagi varian ini termasuklah mendapat BMW Theatre Screen – sebuah skrin panoramik 31.3 inci beresolusi 8K yang hadir bersama sistem bunyi keliling bertaraf tinggi.
Melalui pengantara HDMI, BMW Theatre Screen juga boleh disambungkan kepada peranti-peranti eksternal seperti telefon pintar atau alat HDMI TV.
Tambahan, pengguna juga boleh mengawal sistem tersebut melalui BMW Touch Command, sebuah panel kawalan berciri sentuh, terletak pada pintu belakang dan berfungsi sebagai akses kepada segala fungsi infotainment.
BMW 750e xDrive Pure Excellence diserlahkan menerusi rim 19-inci, trim kayu halus dengan kemasan gilapan oak dengan sorotan metalik kelabu dan Driving Assistant Professional.
Sementara bagi model M Sport pula menerima rim aloi aerodinamik M 20-inci, dwiwarna dalam penggayaan 907 berserta pakej Driving Assistant Plus.
Dari segi kuasa, kedua-dua varian 750e menampilkan rangkaian kuasa hibrid plug-in yang sama iaitu nadi petrol straight six 3.0 liter pengecas turbo, menghasilkan 308hp dan tork 450Nm.
Ia digabungkan dengan motor elektrik berkuasa 194hp, tork 280Nm dan dipadankan bersama transmisi automatik Steptronic lapan kelajuan, diiringi sistem pacuan semua roda xDrive BMW.
Untuk rekod, jumlah keluaran kuasa adalah 483hp, tork 700Nm manakala daya pecutan 0-100km/j mengambil masa dalam 4.9 saat, sementara had kelajuan maksimum dihadkan pada 140km/j dan jarak gerak 87km.
Model baharu ini ditawarkan dalam warna Oxide Grey Metallic, Black Sapphire Metallic dan Mineral White Metallic.
Setiap varian juga mendapat warna eksklusif terdiri daripada Brooklyn Grey Metallic untuk M Sport, manakala Sophisto Grey Metallic tersedia untuk Pure Excellence.
Harga atas jalan tanpa insurans bagi kedua-dua model adalah seperti berikut:
- BMW 750e xDrive Pure Excellence – RM649,800 (atas jalan, tanpa insurans)
- BMW 750e xDrive M Sport – RM700,000 (atas jalan, tanpa insurans)
Perlu diingat bahawa harga ini adalah termasuk jaminan lanjutan dan pakej perkhidmatan selama lima tahun. Setiap pembelian disertakan dengan bantuan tepi jalan, BMW Service Online serta BMW Group Loyalty+ Mobile App – BMW Privileges Card.
GALERI:







- BACA: BMW MALAYSIA DEDAH 5 MODEL BAHARU M. M3 COMPETITION, M4 COUPE COMPETITION, M5, M5 COMPETITION DAN I4 M50
- BACA: BMW MALAYSIA BUKA PRA-TEMPAHAN GRAN COUPE ELEKTRIK i4 eDRIVE 40 M SPORT. HARGA BERMULA RM389,800
- BACA: BMW MALAYSIA & MILLENNIUM WELT LANCAR 2 FASILITI PENGECASAN DI GAMUDA GARDENS RAWANG
- BACA: BMW MALAYSIA PERKENAL SAV PREMIUM X4 CKD. HARGA BERMULA RM398,800