BMW MALAYSIA BUKA PRA-TEMPAHAN GRAN COUPE ELEKTRIK i4 eDRIVE 40 M SPORT. HARGA BERMULA RM389,800
BMW Malaysia membuka pra-tempahan jentera elektrik, BMW i4 eDrive40 M Sport.
Gran Coupe elektrik tulen pertama daripada BMW I berkenaan dijual pada harga bermula RM389,800.
Jentera sport terbaharu itu ditawarkan dalam warna hitam (Black Sapphire), putih (Mineral White) dan kelabu (Dravit Grey).
Ia turut mendapat sentuhan warna tambahan seperti hijau (Sanremo Green), biru (M Portimao Blue) dan kelabu (M Brooklyn Grey).
Upholsteri ruang dalaman pula ditawarkan dalam warna hitam, Mocha dan Tacaro Leather Vernasca.
BMW i4 eDrive40 hadir dengan pakej M Sport merangkumi kit M Aerodynamics dalam menyerlahkan lagi sisi sporty jentera itu.
Bahagian hadapan, model terbaharu berkenaan dilengkapi BMW Laserlights yang ikonik dengan ciri Kawalan Lampu Puncak Automatik.
Ia turut dilengkapi rim M Aerodynamic 860 M Bicolour 19 inci, brek M Sport dan M Shadow Line.
Ruang kabin pula, BMW i4 eDrive40 M Sport mendapat sentuhan trim Aluminium Rhombicle Anthracite, material bumbung M Anthracite, stereng kemas dibaluti kulit M dan panel instrumen dalam Sensatec.
Bagi aspek keselesaan, ia hadir dengan stereng sport boleh laras, pelaras kerusi elektrik dengan fungsi memori, Pakej Cermin Interior dan Eksterior serta penyaman udara automatik.
Selain itu, operasi pintu but didatangkan dengan kemudahan automatik, sistem comfort access, sistem through-load dan Pakej Kompartmen Muatan.
BMW i4 eDrive40 M Sport mampu menjana output maksimum 250 kW/340 kk dan tork 430 Nm.
Ia mampu memecut 0-100 km/j dalam masa 5.7 saat sahaja malah memiliki jarak operasi elektrik yang amat panjang (590 km berdasarkan kitaran WLTP).
Keupayaan pengecasan jentera terbaharu itu disempurnakan sistem BMW eDrive generasi kelima yang serasi dengan teknologi pengecasan terkini.
Unit Pengecasan Gabungan (CCU) dipadankan transformer integrasi voltan 4 kW diperbaharui mampu membekalkan kemudahan pengecasan bateri fleksibel.
Ia dapat disambungkan kepada soket kuasa domestik atau BMW i Wallbox (unit pengecas AC 11 kW yang mampu mengecas penuh kenderaan ini hanya dalam tempoh 8 jam 15 minit), serta pengecas pantas DC (unit pengecas DC 200 kW yang mampu mengecas kenderaan ini dari 10 peratus hingga 80 peratus hanya dalam tempoh 31 minit).
Ciri-ciri menarik lain termasuk BMW Live Cockpit Professional, BMW ConnectedDrive Services, BMW Connected Package Professional I, Panggilan Kecemasan Pintar, Telekhidmat, Integrasi Telefon Pintar, sistem bunyi keliling dengan 17 pembesar suara Harman Kardon, serta ruang pengecasan tanpa wayar.
Aspek keselamatan, jentera berkenaan dilengkapi sistem keselamatan Perlindungan Akustik untuk Pejalan Kaki, Perlindungan Aktif untuk Pejalan Kaki, Driving Assistant Professional, Parking Assistant Plus dan Perlindungan Aktif.
Untuk keterangan lanjut mengenai BMW i4 eDrive40 M Sport boleh menghubungi wakil pengedar sah di seluruh negara.
- BACA: BMW MALAYSIA & MILLENNIUM WELT LANCAR 2 FASILITI PENGECASAN DI GAMUDA GARDENS RAWANG
- BACA: BMW MALAYSIA PERKENAL SAV PREMIUM X4 CKD. HARGA BERMULA RM398,800
- BACA: BMW MALAYSIA PERKENAL BMW iX CONFIGURATOR. PAKEJ NAIK TARAF BERMULA RM3,020
- BACA: SEMPENA KEMERDEKAAN NEGARA KE-64, BMW MALAYSIA TERIMA 64 PRA-TEMPAHAN BMW iX. BULANAN BERMULA RM4,888