Buletin

BMW MALAYSIA DEDAH 5 MODEL BAHARU M. M3 COMPETITION, M4 COUPE COMPETITION, M5, M5 COMPETITION DAN I4 M50

BMW Malaysia mengumumkan lima jentera berprestasi tinggi sempena ulang tahun BMW M ke-50.

Model-model terbaharu berkenaan merupakan BMW M3 Competition, BMW M4 CompetitionCoupé, BMW M5, BMW M5 Competition dan BMW i4 M50.

Ia ditawarkan pada harga bermula: –

  • BMW M3 Competition – RM 827,800
  • BMW M4 Competition Coupé – RM 848,800
  • BMW M5 – RM 998,800
  • BMW M5 Competition – RM1,188.800
  • BMW i4 M50 – RM430,800

BMW M3 Competition dan BMW M4 Competition Coupé

BMW M3 Competition sedan dan BMW M4 Competition Coupé terbaharu itu didatangkan M xDrive.

Ia sekali gus menandakan kali pertama sistem pacuan semua roda ‘M-specific’ diperkenalkan kepada kenderaan berprestasi tinggi selain BMW M5 dan BMW M8.

Jentera terbaharu berkenaan hadir dengan gril ‘kidney’ M tanpa bingkai dalam rona hitam dengan lampu hadapan serta rongga udara langsing dalam bentuk trapezium.

Bumbung kedua-dua model itu juga diperbuat daripada plastik bertetulang gentian karbon (CFRP).

Ruang dalaman kokpit pula menampilkan rekaan ergonomic dalam memudahkan pengguna memberi tumpuan maksimum ke atas pemanduan.

M Drive Professional yang dibangunkan secara khusus untuk pemanduan di litar lumba membantu pemandu menambah baik pencapaian dengan menjejak dan merekod pelbagai data pemanduan.

Selain itu, terdapat pengubahsuaian dan kelengkapan pilihan termasuk warna eksterior, upholsteri interior, trim interior, sistem bantuan memandu dan M Performance Parts.

Kedua-dua varian mendapat khidmat enjin petrol enam silinder BMW M TwinPower Turbo, digandingkan transmisi M Steptronic lapan kelajuan serta Drivelogic dan sistem pacuan semua roda.

Ia menjana varian-varian baharu tersebut output enjin maksimum mencecah 375 kW/510 kk dan tork 650 Nm serta mampu memecut dalam masa 3.5 saat.

Dalam pada itu, sistem pacuan semua roda jentera baharu itu dipadankan Active M Differential di gandar belakang yang membahagikan kuasa enjin antara kedua-dua tayar belakang bagi menjamin daya cengkaman, kelincahan, dan stabiliti arah di atas jalan raya.

 M xDrive juga membolehkan pemandu menyesuaikan karakteristik dan prestasi sistem pacuan semua roda berdasarkan situasi pemanduan serta pilihan peribadi mereka melalui tiga mod pemanduan: 4WD, 4WD Sport dan 2WD.

BMW M5 dan BMW M5 Competition

Sedan empat pintu terbaharu itu didatangkan gril ‘kidney’ diperbaharui dengan dua palang ‘M-specific’ serta jata M.

Sempena ulang tahun BMW M ke-50, kedua-dua jentera mendapat sentuhan Emblem 50 Tahun BMW M sebagai standard.

Kedua-dua varian menampilkan pelbagai kelengkapan luaran ‘M-specific’ termasuk spoiler belakang M serta elemen tiga dimensi yang baharu pada lampu belakang LED.

Bagi model BMW M5 Competition, ia dilengkapi sistem ekzos M Sports, dan  jata ‘M5 Competition’ eksklusif.

Ruang dalaman BMW M5 dan BMW M5 Competition baharu hadir dengan Paparan Kawalan 12.3 inci dengan fungsi sentuh dan konsol tengah baharu.

BMW M5 dan BMW M5 Competition mendapat enjin V8 4.4 liter dengan teknologi BMW M TwinPower Turbo, ditala untuk menjana output maksimum 600 kk dan tork 750 Nm bagi BMW M5 manakala 625 kk dan tork 750 Nm bagi BMW M5 Competition.

Ia membolehkan BMW M5 membuat pecutan dalam masa 3.4 saat, manakala BMW M5 Competition mampu membuat pecutan lebih pantas iaitu 3.3 saat.

Kedua-dua varian digandingkan secara standard dengan transmisi M Steptronic lapan kelajuan bersertakan Drivelogic, Suspensi Adaptif, serta pacuan semua roda M xDrive.

Kelajuan tertinggi BMW M5 mencecah 250 km/j, manakala BMW M5 Competition mencatat kelajuan tertinggi mencecah 305 km/j.

BMW i4 M50

BMW i4 M50 merupakan kenderaan elektrik berjata M yang pertama di dunia.

Sempena ulang tahun BMW M ke-50, BMW i4 M50 akan didatangkan dengan Emblem 50 Tahun BMW M sebagai standard.

Jentera elektrik berkenaan menampilkan rekaan sporty dengan kelengkapan standard seperti pakej M Aerodynamics, spoiler belakang M dan sisipan peresap belakang dalam warna hitam.

Ia mendapat kemasan trim Gentian Karbon, Material Bumbung Antrasit M, di samping kerusi M Sport di hadapan, tali pinggang keledar M, panel instrumen dalam Sensatec, serta bumbung kaca elektrik.

BMW IconicSounds Electric juga membekalkan sebuah pengalaman pendengaran serba emotif dengan menjana bunyi enjin “M” yang sporty.

Dua motor BMW M eDrive dimuatkan di dalam BMW i4 M50 dengan output 400 kW (544 kk) dan tork 795 Nm dalam mod Sport Boost.

Jentera baharu itu dapat memecut dalam masa 3.9 saat sahaja dan kelajuan maksimum mencecah 225 km/j.

Ia merekodkan jarak operasi elektrik sejauh 510 kilometer (berdasarkan kitaran WLTP).

BMW i4 M50 dapat dicas penuh dalam tempoh 8 jam 15 minit dengan pengecas AC 11 kW, atau dicas dari 10 peratus hingga 80% dalam tempoh 31 minit dengan pengecas DC 200 kW.

Semua varian model baharu tersebut kini sedia untuk dipratempah di platform BMW Shop Online melalui shop.bmw.com.my dengan bayaran sebanyak RM 5,000.

Para pemilik varian-varian model BMW M baharu ini juga dapat menikmati Pengalaman Pemilikan Premium yang dijanjikan oleh BMW Group Malaysia, ia meliputi:

  • Waranti Tanpa Had Perbatuan Bertempoh 5 Tahun oleh BMW serta Program Servis Berjadual Percuma
  • Bantuan Tepi Jalan dan Hotline Kemalangan oleh BMW
  • Aplikasi Mudah Alih ‘BMW Group Loyalty+’- BMW Privileges Card
  • Servis Dalam Talian BMW

Bagi pemilik BMW i4 M50 pula, para pelanggan dapat memanfaatkan waranti bateri yang terhad sehingga 8 tahun atau 160,000 km, mana-mana yang dipenuhi dahulu.

Google ads
Back to top button