
BUKA PINTU KECEMASAN KETIKA PENERBANGAN, 12 PENUMPANG CEDERA
Seorang penumpang membuka pintu keluar kecemasan dalam penerbangan Asiana Airlines ketika ia sedang bersedia untuk mendarat.
Menurut laporan, pesawat itu mendarat dengan selamat tetapi 12 orang penumpang telah dimasukkan ke hospital kerana mengalami kesukaran bernafas.
Pesawat itu membawa hampir 200 penumpang ketika menghampiri landasan di Lapangan Terbang Antarabangsa Daegu di Korea Selatan, kira-kira 240 kilometer tenggara Seoul, dalam penerbangan domestik.

“Apabila pesawat berada sekitar 200 meter di atas tanah, seorang penumpang yang duduk berhampiran pintu keluar kecemasan membuka pintu secara manual dengan menyentuh tuil,” kata wakil syarikat penerbangan.
Polis Daegu memberitahu bahawa mereka berjaya menahan seorang lelaki berusia 30-an untuk disoal siasat berhubung kejadian itu.
Kementerian turut mengesahkan pintu pesawat itu sengaja dibuka oleh seorang penumpang ketika pesawat itu masih dalam penerbangan.
“Polis bersama kementerian darat dan pengangkutan menyoalnya berhubung pelanggaran undang-undang keselamatan penerbangan.
“Di bawah undang-undang ini, seseorang yang membuka pintu pesawat tanpa kebenaran boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 10 tahun,” katanya dalam kenyataan.
Terdahulu, video pendek insiden itu dirakam oleh penumpang di dalam pesawat Airbus A321-200 sebelum disiarkan oleh Agensi Berita Yonhap Korea Selatan.
Rakaman itu menunjukkan angin merobek pintu terbuka di udara, dengan kain sandaran tempat duduk dan rambut penumpang berterbangan ketika beberapa orang menjerit ketakutan.







