Buletin

BMW 3-SERIES 2023 FACELIFT KINI DI MALAYSIA. BMW 320i, 330i DAN 330e M SPORT. BERMULA RM284K

BMW Malaysia hari ini memperkenalkan tiga varian baharu bagi jentera BMW 3 Series facelift iaitu BMW 320i M Sport, BMW 330i M Sport dan BMW 330e M Sport yang dipasang tempatan (CKD). Sedan eksekutif premium terbaharu itu menampilkan rekaan luaran serta ruang interior dengan pesona lebih moden.

Harga jualan adalah seperti berikut:

  • BMW 320i M Sport 2023 – RM283,800
  • BMW 330e M Sport 2023 – RM298,800
  • BMW 330i M Sport 2023 – RM317,800

BMW 3 Series yang merupakan jentera ikonik kini tampil dengan gayaan lebih sporty. Bahagian hadapan hadir dengan gril ‘kidney’ untuk imej lebih garang dengan padanan lampu hadapan LED baharu menonjolkan lagi kelebaran sedan ini, termasuk lampu nyalaan siang (DRL) berbentuk L.

Bahagian apron turut mendapat sentuhan baharu selain mengekalkan tirai udara lateral untuk salur masuk udara sentral yang dilitup dengan corak honeycomb. Lebih menarik lagi pakej M Sport, didatangkan secara standard bagi ketiga-tiga varian.

BMW 3 series dilengkapi set roda aloi ringan M 18 inci dalam penggayaan dwiruji, dua tona 848 M berserta dengan saiz tayar hadapan dan belakang yang berbeza. Selain itu, ia juga dihiasi Logo M di bahagian sisi dan suspensi M Sport bagi varian petrol. Sementara varian BMW 330e M Sport memanfaatkan suspensi Adaptive M.

Bampar belakang mendapat kemas kini dengan ekzos kembar yang berdiameter lebih besar iaitu 100mm dan dipadankan bersama air diffuser berkontur. Pakej M Aerodinamic dan M High-gloss Shadowline didatangkan sekali bersama M Sport Package.

Ruang kabin dilengkapi skrin melengkung BMW Curved Display yang merangkumi meter kluster bersaiz 12.3 inci dan skrin infohibur 14.9 inci, lengkap dengan ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto. Ciri Heads-Up Display (HUD) juga didatangkan sebagai standard.

Fungsi keselamatan boleh di kawal melalui butang fizikal yang direka untuk memudahkan pemandu. Butang tersebut diletakkan di bawah corong pendingin hawa dengan susun atur yang lebih mesra pengguna.

Ruang interior pula disertakan dengan elemen M seperti ambang pintu M, pedal kaki M, kerusi sport untuk pemandu dan penumpang hadapan, stereng M dibalut kuit yang disulam dengan tangan menggunakan material Walknappa.

Tidak ketinggalan logo M pada kunci, material bumbung M Anthracite, kluster instrumen dengan skrin paparan ‘M specific’ dan kemasan M Aluminium Rhombicle Anthracite.

Upholsteri pula disediakan dalam material Vernasca hitam sebagai standard. Sementara BMW 330i M Sport baharu dan BMW 330e M Sport baharu dilengkapi kemasan coklat Mocha sebagai pilihan tambahan.

Sistem Bantuan Memandu yang didatangkan standard menampilkan Amaran Keluar Laluan dengan intervensi stering aktif, Amaran Penukaran Laluan, Amaran Perlanggaran Hadapan dengan intervensi brek, Amaran Perentasan Trafik Belakang, Amaran Perlanggaran Belakang, Info Had Kelajuan dan Bantuan Had Kelajuan manual.

Manakala Sistem Bantuan Parkir pula terdiri daripada kemudahan Bantuan Memarkir, Kawalan Jarak Parkir Aktif (PDC), Bantuan Parkir Lateral serta Kamera Bantuan Mengundur. Turut disertakan secara standard ialah Bantuan Mengundur.

Kelengkapan lain pada model ini termasuklah BMW Live Cockpit Professional. Terdapat beberapa cara intuitif untuk berinteraksi dengan kenderaan melalui BMW Intelligent Personal Assistant, operasi skrin sentuh menerusi Control Display, BMW iDrive Controller dan akses kawalan langsung dengan sentuhan.

BMW 320i M Sport baharu dijana oleh enjin empat silinder sebaris yang membekalkan kuasa 181hp dan tork 300Nm. Ini membolehkannya memecut dari 0-100 km/j dalam masa 7.4 saat sahaja dengan kelajuan tertinggi dihadkan kepada 235km/j.

Bagi BMW 330i M Sport facelift, enjin empat silinder sebaris mampu menghamburkan kuasa 254hp dan tork 400Nm tork. Pecutan 0–100 km/j boleh dicapai dalam masa 5.8 saat dengan kelajuan maksimum 250 km/j.

Rangkaian kuasa plug-in hybrid pada BMW 330e M Sport 2023 menawarkan kuasa output gabungan maksimum berjumlah 288hp dan 420 Nm tork, dengan motor elektrik menjana 107hp dan 265 Nm tork.

Ia membolehkan jentera ini membuat pecutan abad dalam masa 5.8 saat, dengan kelajuan tertingginya dihadkan pada 230 km/j (kelajuan tertinggi dengan kuasa elektrik dihadkan pada 140km/j). Semua varian menggunakan transmisi Steptronic Sport lapan kelajuan.

BMW 3 Series 2023 didatangkan dengan jaminan menyeluruh daripada BMW Group Malaysia, termasuk jaminan lima tahun tanpa had perbatuan dengan program servis berjadual percuma. Tidak terkecuali bantuan tepi jalan dan hotline kemalangan; BMW Group Loyalty+ Mobile App — BMW Privileges Card dan servis atas talian BMW.

GALERI:

Google ads
Back to top button