
SKUTER ELEKTRIK BMW CE 04. 4 MOD TUNGGANGAN, 41HP, 130KM SEKALI CAJ, TOP SPEED 120KM/J, ANGGARAN RM60K
BMW Motorrad Malaysia mengumumkan ketibaan skuter elektrik sulung jenamanya, BMW CE 04 ke pasaran tempatan. Skuter itu menampilkan reka bentuk pintar dan inovasi elektrik bagi merancakkan lagi era baharu dalam mobiliti urban berelektrik di Malaysia.
CE 04 menawarkan pengalaman tunggangan futuristik bersama teknologi-teknologi terkini. Profil jentera itu menggunakan rangka utama yang diperbuat daripada keluli tiub lengkap dengan komponen eksterior yang kelihatan cukup futuristik.
Dari segi kuasa, motor BMW CE 04 mampu menjana output maksimum 41hp dan tork 62Nm. Kuasa itu membolehkan jentera ini memecut dari 0-50 km/j dalam masa cuma 2.6 saat dengan kelajuan tertinggi di laluan urban atau lebuh raya dihadkan kepada 120 km/j.

BMW CE 04 menyokong pengecasan AC 2.3 kW yang memerlukan masa sekitar 4 jam 20 minit untuk dicaj penuh atau sehingga 1 jam 40 minit nika menggunakan pengecasan pantas 6.9 kW.
Tampil serba minimalis dalam rona Light White, ia dipadankan dengan beberapa bahagian dalam warna hitam matte di hadapan serta sisi. BMW CE 04 juga memperkenalkan tempat duduk jenis ‘terapung’, dengan kemasan warna hitam matte.
Penunggang boleh memilih daripada empat mod tunggangan iaitu ECO, Rain, Road dan Dynamic. Aspek keselamatan dipertingkatkan menerusi ciri BMW Motorrad Integral ABS Pro terkini yang didatangkan sebagai standard.
Segala maklumat tunggangan dipaparkan pada skrin TFT bersaiz 10.25 inci yang menyokong fungsi navigasi pemetaan. Ia juga membolehkan anda untuk menggunakan aplikasi mudah alih BMW Motorrad Connected App menerusi peranti pintar.
Ciri kemudahan yang lain termasuklah slot pengecasan USB, ruang storan dengan pengecasan USB terbina, soket 12V, storan helmet bercahaya, fungsi bantu mula tanpa kunci dan bantuan mengundur.
Skuter tersebut menggunakan fork jenis teleskopik di depan, penyerap hentak lengan ayun tunggal di belakang dan cakera brek berkembar. Ia dipasang dengan tayar berukuran 120/70 R15 67H di hadapan dan 160/60 R15 56H di belakang.
Tongkat sisi pula direka dengan mengambil kira kesesuaian dari segi penggayaan.
Berminat? Sabar dahulu kerana harga jualan skuter BMW CE 04 hanya akan diumumkan pada Mac depan.
GALERI:









