Pandu Uji

BMW 330i M SPORT, SEDAN SPORT EKSEKUTIF DARI RM 319K.

BMW 3 Series merupakan salah satu model BMW yang penting buat kumpulan BMW dengan menyumbang sehingga 30% jualan kenderaan. Mulai tahun 2014, varian yang datang dengan rekaan 2 pintu samaada Coupe ataupun Convertible diberi nama sebagai BMW 4 Series.

Diperkenalkan pada tahun 2019, BMW 3 Series generasi ke 7 ditawarkan dalam 2 varian samaada diberi kod G20 (sedan) ataupun G21 (Touring/Wagon) dibina dengan menggunakan platform CLAR (Cluster Architecture Platform). Ia merupakan platform khusus enjin depan pacuan belakang ataupun pacuan semua roda

Pada tahun ini BMW 3 Series G20 diberikan facelift yang diberi nama Life Cycle Impulse dengan beberapa perubahan kecil pada rekaan luaran. Terdapat 3 varian yang ditawarkan samaada 320i, 330e, 330i, 330Li dan 340i dengan semua varian menerima rekaan M Sport

Rekaan ini termasuklah lampu depan LED Adaptif yang lebih garang, Kidney Grille yang agresif, LED DRL, rim 18 inci Style 848 M bicolour, bampar rekaan baru di belakang serta BMW Curve Display untuk paparan meter

Berbanding dengan generasi ke 6, pekali geseran telah diturunkan dari nilai 0.26 kepada 0.23 manakala kedudukan tayar dianjak ke luar sebanyak 42mm. Untuk bahagian tepi, panjang jarak antara roda dikekalkan pada 2851mm dengan panjang keseluruhan kenderaan adalah 4709mm.

BMW masih mengekalkan formula magik mereka, agihan berat keseluruhan kereta iaitu 1590kg diagihkan sama rata pada gandar depan dan belakang. Cesi G20 ini juga lebih ringan sebanyak 55kg berbanding dengan generasi sebelumnya

Satu perkara yang menarik perhatian penulis ialah saiz tayar adalah berlainan walapun saiz rim adalah sama. Tayar depan menggunakan saiz 225/45 manakala tayar belakang menggunakan saiz 255/40 dengan tayar Michelin Pilot Spot 4 Zero Pressure menjadi pilihan

Bagi varian 330i, ia ditawarkan dengan enjin 4 silinder 2000cc turbo B48 yang menjana 254 kuasa kuda dan 400Nm tork, dipadankan dengan transmisi 8 kelajuan ZF. Dalam keadaan pemanduan santai, BMW 330i mampu menawarkan penggunaan bahan api sekitar 13.44km bagi setiap liter petrol

Ruang kargo belakang kekal 480 liter, manakala bahagian bampar di bawah menerima kemasan berwarna hitam ala-ala diffuser dan sepasang paip ekzor berkembar di bahagian belakang. Setiap kali enjin dihidupkan, ekzos ini akan menghasilkan sedikit not bunyi yang garang bagi menaikkan mood pemandu

Duduk saja di bahagian depan anda akan dihidangkan dengan BMW Live Cockpit Professional yang menawarkan 2 skrin Curved Display sebesar 12.3 dan 14.9 inci dan juga BMW Head Up Display yang nampak sangat sofistikated.

Model 330i juga ditawarkan dengan ciri BMW Intelligent Personal Assistant yang boleh menerima arahan suara dari pemandu bagi melaksanakan arahan mudah seperti mencari arah navigasi. Sistem Multimedia boleh dikawal dengan menggunakan butang navigasi rotasi selain diberikan ciri sambungan Apple Car Play dan Android Auto tanpa wayar

Ruang di bahagian belakang pula luas, cukup selesa untuk 3 penumpang walaupun wujud ” transmission hump” di bahagian tengah. Penumpang belakang ditawarkan dengan corong penyaman udara yang boleh ditetapkan suhu dan juga 2 sambungan poin USB

Dari segi pemanduan, BMW 330i menawarkan pengalaman yang biasa diberikan oleh jentera dengan logo BMW. 330i M Sport menawarkan pecutan deras dan “brutal” daripada janaan 400Nm tork menerjah masuk seawal 1550 RPM jika anda tekan pedal minyak dengan penuh geram

Tapi ajaibnya pertukaran gear dibuat dengan sangat lancar, menjadikan pecutan tadi sangat licin dan lancar. Malah pada halaju 160km/jam, bacaan RPM hanyalah sekitar 2300 RPM sahaja seolah-olah kita sedang memandu secara santai. Itulah keajaiban gear 8 kelajuan pacuan belakang yang dihasilkan ole ZF Transmission

Jika anda mahu mengawal sendiri gear, gunakan sahaja paddleshift yang ada di belakang stering. Ia mampu memberikan anda feel kawalan gear yang kemas, lebih bagus daripada mana-mana gear 7 kelajuan DSG yang pernah diuji oleh penulis. Respon adalah pantas dan rasa engine braking yang dihasilkan adalah sekata dan kemas

BMW 33i M Sport juga diberikan M Sport brek dengan angkup brek berwarna biru. Pujian harus diberikan pada sistem brek ini kerana ia mampu menawarkan kuasa membrek yang sangat padu, mampu membrek dengan kemas terutama pada halaju tinggi.

Roda steering pula diberikan diameter yang cukup, terasa padat bila digenggam dengan ciri Variable Sport Steering. Input yang diberikan pada roda stering menghasilkan tindakbalas yang cepat pada cesi dan anda boleh memandu laju BMW 330i M Sport ini dengan hanya menggunakan sebelah tangan saja

Namun ada 2 aspek yang kurang digemari oleh penulis berkenaan dengan 330i ini. Pertama, tombol gear konvensional seperti yang dipasang pada BMW 530i M Sport digantikan dengan suis gear yang kecil. Tombol gear yang ada pada 530i M Sport merupakan tombol gear yang paling sedap digenggam oleh penulis

Kedua unit pandu uji ini tidak diberikan ciri penyerap hentakan adaptif, sebaliknya menggunakan M Sport Spring. Ia agak keras pada kebanyakan masa dan pada halaju tinggi, cesi 330i terasa seperti sedikit melantun dan merompak aspek keselesaan.

BMW 330i M Sport dipadangankan dengan Front Collision Warning, brek AEB, Rear Cross Traffic Warning , Lane Change Warning, Speed Limit Info, dan juga Lane Departure Warning lengkap dengan sistem pembetulan steering

BMW 330i M Sport dijual dengan harga permulaan RM 299,600, tapi jika anda memilih pakej servis dan jaminan penuh, harganya adalah sekitar RM 319,800 tanpa pilihan sistem suspensi adaptif. Jika anda mahukan sebuah sedan yang sporti dan agresif dengan warna Skyscrapper Gray ini, mungkin BMW 330i M Sport ini sesuai dengan jiwa anda

Google ads
Back to top button