Motosikal

SAMPAI DAH! HONDA ADV160 LEBIH SPORTY – METER DIGITAL LED, LEBIH JIMAT, 15.8HP, HARGA RM12,999!

Honda ADV160 serba baharu akhirnya mendarat di Malaysia pada hari ini. Ia didatangkan dengan penampilan lebih menawan untuk ditunggang di atas jalan raya mahupun jalan tidak rata.

Sejak ADV150 mula diperkenalkan pada tahun 2021, skuter pengembaraan ini telah menjadi kegemaran penunggang yang mahukan sebuah jentera bergaya dan berbeza.

ADV160 2023 nyata kelihatan lebih lasak. Skuter itu dilengkapi pelbagai ciri canggih dan hadir dalam dua pilihan warna iaitu Mat Charcoal Grey Metallic dan Vivacity Red.

Reka bentuk Honda ADV160 mengekalkan DNA ADV dengan bahagian hadapan menampilkan sistem pencahayaan LED penuh, beserta reka bentuk terkini untuk memberikan imej yang sporty.

Untuk ciri keselamatan, Honda ADV160 didatangkan dengan Sistem Kunci Pintar, sistem penggera, brek ABS pada roda hadapan dan brek cakera beralun di belakang. Ini bagi menambah baik sistem brek dalam tindak balas semasa kecemasan.

Naik taraf lain berbanding Honda ADV 150 termasuklah visor angin baharu lebih tinggi yang boleh dilaras (2 tetapan), panel meter digital LED baharu, ruang di bawah pelana bertambah 2 liter kepada 30 liter, ketinggian pelana direndahkan 795mm ke 780mm dan tangki bahan api yang kini 8.1 liter (8 liter Honda ADV 150).

Honda ADV160 dikuasakan oleh enjin 156.9cc 4-injap eSP+ baharu yang mempunyai lebih kuasa, tork dan dilengkapi Idling Stop System (ISS) bagi membolehkan lebih penjimatan. Dengan enjin tersebut, Honda ADV160 mampu menghamburkan kuasa mencecah 15.8hp dan tork 14.7Nm.

Skuter pengembaraan ini turut menampilkan ciri Honda Selectable Torque Control (HSTC) untuk mengoptimumkan kuasa enjin, selain memberi lebih kawalan cengkaman tunggangan lebih selesa dan santai.

Honda ADV160 boleh didapati pada harga RM12,999 iaitu RM1,000 lebih mahal berbanding model ADV150.

Google ads
Back to top button