Buletin

KERETA TERLARIS DI SWEDEN IALAH VW GOLF, BUKANNYA VOLVO

Buat pertama kalinya selepas lebih separud dekad, kereta terlaris di Sweden bukan lagi Volvo. Sebaliknya, model paling popular di negara tersebut pada tahun 2016 ialah Volkswagen Golf. 

Memetik laporan BBC, persatuan pengeluar kereta Sweden mengesahkan bahawa 5.9 peratus jualan kereta baharu di sana pada tahun lalu ialah Golf. Sebagai perbandingan, tiga model terlaris Volvo hanya merangkumi 5.7 peratus perkongsian pasaran.

2017-Volvo-S90-V90-R-Design-mekanika (5)

Persatuan itu juga menyatakan bahawa tahun 2016 menyaksikan rekod jualan kenderaan dengan 372,000 unit didaftarkan, naik lapan peratus berbanding 2015. Situasi itu didorong oleh ekonomi yang semakin kukuh.

Adakah ini bermakna pengguna Sweden tidak lagi sukakan kereta buatan tempatan mereka? Tidak juga, kerana Volvo masih menguasai 21.5 peratus pasaran keseluruhan kenderaan di Sweden. Menakala Volkswagen pula memegang pasaran sebanyak 15.7 peratus.

volvo-xc90-malaysia-press-pics-001 (2)

Walaupun perniagaan Volvo kini dimiliki oleh syarikat Zhejiang Geely Holding Group, ia masih dilihat sebagai jenama ikonik Sweden. Sweden merupakan pasaran kedua terbesar Volvo selepas China.

Menjelang akhir tahun lalu, Volvo mengesahkan bahawa China akan menjadi hab pengilangan dan eksport globalnya. Selari dengan keputusan tersebut, produksi S90 akan dipindahkan ke China, sekali gus menyertai pemasangan model-model lebih kecil seperti siri 60 dan 40.

Google ads
Back to top button